Pasang niat nak berniaga? Ketahui 3 perkara ini sebelum anda mula

Masuk tahun baru, ada yang pasang azam nak mula berniaga, atau nak jadi usahawan berjaya.

Tetapi..

Kebanyakan orang yang berniat begitu seperti ‘angan-angan mat jenin’ saja. Tulis niat dalam buku azam tahun baru, hanya untuk penuhkan mukasurat. Berniaga entah  ke mana, apa pun tak jadi buat.

Ada juga yang kuat semangat menunaikan azam dan niat, tapi “sangkanya panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Awal-awal lagi dah gulung tikar (mohon dijauhkan!).

Sebab apa?

Sebab utama ialah kurang pengetahuan tentang dunia perniagaan. Tak berpengalaman? Tak mengapa. Pengalaman boleh ditimba.

Tapi tak berpengetahuan itu susah sikit. Pengetahuan kena dicari terlebih dulu!

Kalau dah yakin dan berani nak terjun ke alam perniagaan, ini ada beberapa perkara penting yang perlu anda teliti dulu.

1. Anda harus JUJUR dengan diri anda

Tanya diri anda;

  • Kenapa nak berniaga?
  • Apa yang anda harapkan?
  • Apa dan berapa banyak yang anda sanggup buat supaya perniagaan anda berjaya?

Kalau semata-mata hanya fokus untuk mengejar keinginan peribadi anda – contohnya, nak untung supaya banyak duit dan boleh jadi kaya. Anda tak fikir langsung pun berapa banyak yang harus dilakukan untuk satu perniagaan kecil supaya boleh terus hidup dan bertahan seterusnya berkembang. Jika ada mentaliti seperti ini, kemungkinan besar takkan menjadi. Risiko untuk GAGAL itu ada!

2. Tahu kunci aspek perniagaan

Menyebut tentang kejayaan sesuatu perniagaan, sebahagian besarnya adalah berkenaan dengan pemasaran. Tukar prospek jadi pembeli, kemudian jadi pula pelanggan tetap. Jika baru nak menapak dalam bidang ini, anda harus tahu dengan sebaiknya tentang kunci aspek kepada perniagaan.

Anda perlu biasakan diri dengan;

  • penjenamaan
  • pemasaran
  • promosi
  • rangkaian perniagaan dan keusahawanan
  • asas simpan kira-kira dan jualan
  • perkhidmatan pelanggan

Anda harus bersedia dengan semua aspek di atas, lebih-lebih lagi jika anda adalah orang baru yang kemungkinan besarnya belum ada atau kurang dana untuk upah pekerja, sama ada tenaga buruh atau tenaga pakar untuk uruskan kesemuanya di peringkat permulaan.

Jika anda tidak cukup persediaan, atau tiada sikap dan etika yang betul, dukacita anda berkemungkinan akan menggolongkan diri anda dalam statistik orang yang ‘gulung tikar’.

3. Minta bantuan dan sokongan

Walaupun setelah anda menguasai aspek-aspek perniagaan secara strategik, operasi, dan fungsinya, anda tetap perlu sedar bahawa anda tak boleh melakukan sendiri. Tak kisahlah sama ada anda memulakan perniagaan ketika anda sedang bekerja , mahupun secara komited sepenuh masa, anda tetap memerlukan nasihat dan kepakaran luar.

Carilah di mana sahaja yang anda boleh. Bina rangkaian perniagaan yang betul, baca dan sertai forum dan kumpulan yang sesuai, dan carilah mentor dan juga rakan baik yang bukan sahaja boleh diharapkan, tetapi juga sebagai wadah dan penasihat yang dipercayai.

Diharapkan dengan tiga perkara yang dikongsikan di atas tidaklah buat anda kecut perut untuk merealisasikan niat anda melangkahkan kaki ke dunia perniagaan.

Jika anda ‘gabra’ tiba-tiba apabila membaca apa yang dikongsikan tadi, mungkin hanya sebab anda tak pernah sedar tentang kewujudan perkara-perkara tersebut.

Buka minda, fikir dengan lebih terbuka. Pertimbangkan poin-poin tadi, bersiap-sedia dengan mental dan fizikal; dan anda pasti sudah bersedia untuk melangkah ke hadapan.

SELAMAT BERJAYA!

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *