Kekuatan dan daya tahan tubuh bagi kanak-kanak adalah penting untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti setiap hari. Daya tahan tubuh yang baik juga akan membantu melindungi anak-anak daripada ancaman berbagai-bagai jenis bakteria dan virus penyebab penyakit.
Ibu bapa boleh mendidik anak-anak tentang penjagaan kesihatan yang baik di rumah tanpa banyak berbelanja. Amalan kesihatan ini boleh dilakukan bersama-bersama keluarga supaya setiap ahli keluarga mendapat manfaatnya.
1. Beri anak-anak makan sayur-sayuran dan buah-buahan
Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah makanan yang menyihatkan untuk semua orang termasuklah anak-anak anda. Ia membekalkan zat-zat yang sangat berguna seperti vitamin C dan asid folik yang diperlukan untuk tumbesaran.
Fitonutrien di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan sangat kaya dengan anti oksidan dan anti radang. Pengambilan bahan-bahan semulajadi ini dapat menyokong kesihatan tubuh manusia.
Anak-anak sukakan tarikan warna. Berikan anak-anak makan buah dan sayur berwarna seperti lobak merah, oren dan stawberi. Sayur dan buah seperti ini mengandungi karotenoid yang boleh meningkatkan daya tahan tubuh dan mengurangkan risiko penyakit-penyakit berbahaya.
Selalulah galakkan anak-anak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan, walaupun pada mulanya mereka tidak suka. Tunjukkan amalan pemakanan yang baik kepada anak-anak. Mereka belajar tentang pemilihan makanan daripada cara pemakanan ibu bapa mereka. Makan bersama keluarga adalah masa terbaik untuk mendidik anak-anak tentang pentingnya makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
2. Pastikan anak-anak cukup masa tidur
Tidur adalah satu kemestian dalam rutin setiap orang dan bahagian yang sangat diperlukan dalam gaya hidup sihat, termasuklah bagi kanak-kanak.
Tempoh waktu yang terbaik untuk mereka berbeza-beza mengikut peringkat umur. Pakar-pakar tentang kesihatan kanak-kanak mengesyorkan tempoh waktu tidur seperti berikut:
- Bayi di bawah setahun: 12~16 jam
- Kanak-kanak 1 hingga 2 tahun: 11~14 jam
- Kanak-kanak 3 hingga 5 tahun: 10~13 jam
- Kanak-kanak 6 hingga 12 tahun: 9~12 jam
- Remaja 13 hingga 18 tahun: 8~10 jam
Tidur yang cukup bagi kanak-kanak membuatkan mereka mudah menumpukan perhatian, tingkah laku menjadi lebih baik, meningkatkan pembelajaran, dan juga menajamkan ingatan. Ia meningkatkan kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhan.
Kadang-kadang anak-anak tidak mahu tidur awal atau sukar untuk tidur. Cubalah ‘redupkan’ suasana malam di rumah anda mulai selepas waktu makan malam dengan mengurangkan pencahayaan di dalam rumah. ‘Screen time’ berlebihan boleh mengganggu masa tidur anak-anak, jadi hadkanlah masa mereka dengan gajet dan TV dari waktu petang lagi.
3. Berikan anak-anak minum susu selalu
Tabiat minum susu memberikan banyak faedah untuk anak-anak anda. Ia bukan sahaja menjadikan tulang kuat dan sihat, tetapi juga membantu pertumbuhan dan perkembangan anak anda secara keseluruhan. Minum susu setiap hari juga akan membantu anak-anak anda menjaga kesihatan keseluruhan.
Berikut adalah beberapa faedah susu untuk anak-anak:
- Kaya dengan kalsium yang membantu pertumbuhan tulang
- Mengandungi vitamin D yang membantu penyerapan kalsium dan meningkatkan keimunan sistem badan.
- Susu kaya dengan kalsium dan fosforus, yang sangat penting untuk kesihatan dan perkembangan gigi anak anda.
- Membantu tahap tekanan darah anak anda tetap dalam keadaan terkawal.
4. Bermain dan beriadah bersama-sama
Bermain dan beriadah adalah sangat penting untuk perkembangan anak anda.
Bagi kanak-kanak yang masil kecil, semasa mereka bermain pondok-pondok, masak-masak, atau sorok-sorok, anak-anak belajar berfikir secara kreatif dan berinteraksi secara sosial. Melalui permainan, mereka berkembang secara fizikal dan menemui banyak kemahiran emosi, dan mereka belajar bagaimana memproses bermacam-macam situasi.
Galakkanlah anak-anak melakukan aktiviti fizikal dan bermain di luar rumah. Semasa bermain di luar anak-anak mendapat sinaran cahaya matahari, sumber vitamin D yang sangat mudah. Aktiviti ini akan mengeluarkan peluh yang menyingkirkan toksin dari badan dan memberikan kegembiraan.
Anak-anak akan rasa lebih gembira jika ibu bapa mereka beriadah sekali dengan mereka. Andaikata di rumah anda tiada halaman atau dekat dengan jalan yang sibuk, boleh sahaja anda bersama anak-anak beriadah dan bermain di beranda atau di garaj.
5. Sentiasa jaga kebersihan diri
Penyakit mudah datang kepada individu yang tidak menjaga kebersihan. Bermula dari awal pagi, pastikan anak-anak sudah mandi dengan bersih serta sudah berus gigi selepas bangun tidur.
Kadang-kadang anak-anak tidak mandi dengan bersih, mahu cepat-cepat siap mandi sebab mahu bermain dengan gajet. Kalau terbiasa begini, mungkin ada bahagian badan yang tidak bersih, yang mana kulat boleh membiak dan menyebabkan penyakit kulit, misalnya kurap.
Pastikan anak-anak selalu membasuh tangan dengan air dan sabun selepas memegang sesuatu dan sebelum makan. Bakteria dan virus mudah melekat di tangan dan merebak ke tempat lain jika tangan tidak dibersihkan selalu.
Ibu bapa adalah contoh terbaik buat anak-anak. Apabila kita mengamalkan gaya hidup yang sihat, mudah bagi mereka mencontohi amalan-amalan baik ini. Hasilnya kesihatan mereka akan terus terjaga dengan baik sehinggalah mereka dewasa nanti.
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.