5 sebab kenapa beri anak guna komputer adalah lebih baik berbanding telefon pintar

Penggunaan peranti elektronik seperti komputer dan telefon pintar sudah menjadi keperluan dalam kehidupan pada zaman sekarang termasuklah untuk tujuan pembelajaran.

Sejak dari dulu, ramai ibu bapa menyediakan komputer di rumah supaya anak-anak boleh gunakannya untuk melayari internet, belajar, dan sekali-sekala bermain game permainan komputer.

Kini, telefon pintar yang bersifat “mudah alih” lebih menjadi pilihan ramai ibu bapa dengan alasan ia senang dibawa dan harganya lebih murah berbanding komputer.

Walau bagaimanapun, saya berpendapat menggunakan komputer adalah lebih baik untuk anak-anak, khususnya bagi tujuan pembelajaran. Berikut adalah lima sebab kenapa beri anak guna komputer adalah lebih baik berbanding telefon pintar.

 

1. Mudah memantau penggunaan komputer anak-anak

Telefon pintar yang bersifat sangat mudah alih, membolehkan ia dibawa kemana-mana saja. Dengan membiarkan saja telefon pintar di tangan anak-anak tanpa pengawasan dan kawalan, boleh meningkatkan risiko mereka terjebak dengan banyak perkara-perkara negatif, seperti bermain game secara berterusan tanpa henti, atau lebih dahsyat lagi apabila mereka terlibat dengan perjudian atau menonton kandungan pornografi, di dalam bilik mereka dengan pintu berkunci.

Memang ada kaedah untuk mengawal penggunaan dan akses di telefon pintar yang diberikan kepada anak-anak, misalnya dengan penggunaan aplikasi Google Family Link for parents.

Akan tetapi, anak-anak yang semakin cerdik boleh saja mengubah akaun (yang asalnya dikawal oleh ibu bapa) kepada akaun baru.

Berbanding dengan komputer yang saiznya lebih besar, membuatkan ibu bapa lebih mudah memantau aktiviti anak-anak. Satu cara paling mudah ialah meletakkan komputer di ruang tamu dan memberikan login khusus buat anak-anak, supaya anda sebagai ibu bapa boleh memantau akses dan apa yang mereka lihat.

Ada satu lagi cara yang baik, iaitu membuat “kunci komputer” menggunakan pemacu USB. Kunci ini nanti hanya diberikan pada waktu yang mereka boleh gunakan komputer sahaja. Tanpa kunci ini, anak anda tidak boleh menggunakan komputer pada waktu yang tidak dibenarkan.

 

2. Saiz skrin komputer yang jauh lebih besar

Skrin telefon pintar mempunyai kelebihan yang mana kita boleh besarkan paparan dengan kombinasi sentuhan jejari pada skrin. Jadi, apabila guru-guru memberikan anak-anak latihan untuk dibuat di rumah, paparan skrin boleh dibesarkan supaya soalan mudah dilihat.

Malangnya, gambar, ayat-ayat, dan elemen-elemen pelajaran yang lain pula jadi tidak kelihatan di dalam skrin.

Anak kecil berkerut-kerut dahi, cuba membaca tulisan di skrin.

Oleh sebab saiz skrin yang kecil, anak-anak juga terpaksa melihat skrin dengan lebih dekat dan lebih lama. Melihat skrin dengan waktu yang lama dan pada jarak yang dekat boleh menjejaskan mata anak-anak kita.

Komputer sama ada jenis desktop atau laptop, mempunyai skrin yang jauh lebih besar berbanding telefon pintar. Mata anak-anak pula berada pada kedudukan yang sesuai semasa melihat skrin komputer. Paparan skrin yang lebih besar ini membuatkan anak-anak lebih selesa dan kurang berbahaya untuk mata mereka.

 

3. Komputer lebih tahan lama dan tahan lasak

Disebabkan saiznya yang kecil dan mudah dibawa kemana-mana, telefon pintar lebih berisiko untuk cepat rosak jika dibiarkan dengan anak-anak sepanjang masa.

Mungkin anda pernah mendengar rungutan daripada kawan-kawan atau saudara-mara, apabila telefon pintar diberikan kepada anak-anak, tidak lama selepas itu skrinnya pecah disebabkan oleh terjatuh atau terpijak. Kadang-kadang kita biarkan anak-anak kita gunakan telefon pintar sambil baterinya dicas. Ini agak berbahaya kerana boleh terjadi risiko renjatan elektrik ataupun bateri meletup.

Dengan penggunaan berterusan, sebahagian telefon pintar sering mengalami masalah kepanasan melampau (overheat), yang berlaku disebabkan ia tidak mempunyai sistem penyejuk aktif seperti kipas, seperti mana yang terdapat pada komputer. Ini boleh mengakibatkan ketidakselesaan apabila telefon pintar tersebut dipegang.

Pernahkah anda melihat atau mendengar tentang komputer yang sudah berumur belasan tahun tapi masih boleh digunakan? Walaupun spesifikasinya sudah tidak sehebat komputer yang terkini, ia masih boleh digunakan untuk anak-anak belajar di rumah, asalkan masih dalam keadaan baik.

Jika komputer lama itu terasa “berat” apabila dipasang sistem operasi Windows, cubalah pasang sistem operasi Ubuntu pula untuk kelainan.

Laptop
Keyboard laptop rosak dan kekunci tercabut-cabut? Sambungkan saja keyboard USB. Selesai masalah!

Jika ada kerosakan pada perkakasan komputer sekalipun, anda cuma perlu menggantikannya dengan yang baru. Contohnya seperti apa yang telah saya lakukan kepada laptop ini yang sudah lama terbiar dalam stor.

Masih terdapat banyak kedai menjual alat ganti perkakasan komputer untuk jenis dan spesifikasi lama. Cubalah cari komponen-komponen komputer lama tersebut di internet, seperti di Shopee atau Lazada.

komponen komputer
Cari komponen komputer lama atau baru? Cari sajalah di internet, berlambak!

Cari di Shopee Cari di Lazada

4. Berbagai-bagai perkara boleh dilakukan serentak

Pastinya anda sudah sedia maklum bahawa komputer ada keupayaan untuk melakukan banyak perkara secara serentak. Katakanlah anak-anak anda diberikan tugasan oleh guru mereka untuk mencari sesuatu perkara dan kemudian karangkan esei berkenaan hasil kajian.

Sambil melayari internet menggunakan pelayar web mencari bahan-bahan yang diperlukan, anak anda boleh terus membuat catatan dan penulisan menggunakan perisian Word atau Google Docs. Sambil itu juga mereka boleh berhibur mendengar lagu sambil membuat kerja

Aktiviti anak-anak anda menjadi sangat terhad apabila menggunakan telefon pintar untuk membuat kerja. Kebanyakan peranti telefon pintar hanya membolehkan satu paparan saja dilihat pada satu-satu masa. Dengan ukuran skrin yang kecil, mata anak anda akan menjadi cepat letih.

 

5. Boleh dipertingkatkan keupayaannya (upgrade)

Anda boleh mempertingkatkan keupayaan komputer dengan menambah perkakasan (hardware) mengikut kesesuaian dan kegunaan. Contoh paling mudah, jika anda ada komputer yang lama, sebelum diberikan kepada anak anda untuk kegunaan pembelajaran, anda boleh tambahkan memori komputer RAM atau tukarkan hard disk drive (HDD) kepada solid state disk (SSD) atau lakukan kedua-duanya sekali. Ia akan meningkatkan kelajuan dan keupayaan komputer lama anda itu.

Manakala telefon pintar anda tidak boleh di upgrade apa-apa, walaupun anak anda menjaganya dengan baik. Aplikasi-aplikasi telefon pintar yang sentiasa diperbaharui (update) menjadikan telefon pintar semakin lama semakin terasa perlahan dan berat.

 

Komputer harganya mahal?

Mungkin ada yang beranggapan bahawa sebuah set komputer itu harganya mahal, lalu memilih untuk berikan anak-anak telefon pintar semata-mata untuk tujuan pembelajaran atas talian.

Tahukah anda, sebenarnya anda boleh memiliki sebuah komputer lengkap yang sesuai untuk kegunaan anak-anak belajar atas talian, bermula dari sekitar empat ratus ringgit sahaja?

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *