Sejak di bangku tadika lagi, anak-anak sudah ditanya, “Nanti bila sudah besar mahu jadi apa?” Sampailah ke sekolah menengah, selalunya anak-anak akan didedahkan dengan kerjaya dan cita-cita menjadi seorang pekerja, sama ada seorang guru, polis, akauntan, doktor, peguam, dan sebagainya. Adakah nampak janggal jika ada pelajar yang menuliskan cita-citanya mahu menjadi peniaga atau usahawan?
Sedangkan sekarang, juruterbang pesawat pun sudah ada yang menjadi peniaga burger. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menyebabkan ramai orang diberhentikan kerja, yang akhirnya memaksa mereka berikhtiar dengan cara lain supaya dapat terus menyara diri dan keluarga, salah satunya dengan berniaga.
Jika anda sendiri adalah seorang usahawan atau mempunyai minat terhadap bidang perniagaan, anda boleh galakkan anak-anak anda menjadi seorang ahli perniagaan apabila mereka sudah besar nanti. Mungkin sudah ada diantara anak-anak yang memang minat berniaga.
Anda boleh mula mengasah bakat mereka dengan 7 langkah ini.
1. Terapkan kepada anak-anak yang berniaga adalah satu kerjaya mulia
Terapkan dalam pemikiran anak-anak bahawa berniaga juga adalah satu kerjaya. Nabi Muhammad S.A.W. ketika mudanya adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Begitu juga dengan para sahabat baginda, ramai yang menjadi ahli perniagaan yang sangat kaya-raya.
Pupuk rasa cintakan perniagaan hinggakan mereka tidak ada rasa malu untuk menulis mahu jadi peniaga atau usahawan, pada bahagian ‘Cita-cita’ dalam kad rekod peribadi pelajar. Bukan sahaja ia satu kerjaya biasa, malah anak anda akan menjadi “boss” apabila perniagaan sudah maju nanti, ada pekerja, premis perniagaan, kenderaan syarikat, dan sebagainya.
2. Didik anak-anak untuk mempunyai matlamat dan impian
Anak-anak melihat anda, bagaimana anda bekerja. Selalu ingatkan mereka supaya menjadi usahawan yang lebih baik dan lebih berjaya daripada anda.
Daripada sekarang anda latih mereka supaya mempunyai matlamat; apabila sudah besar nanti mahu berniaga apa, berniaga di mana, perniagaan mahu jadi sebesar mana. Walaupun nampak macam cuma berangan-angan, tidak salah melatih mereka supaya mempunyai impian.
3. Latih anak-anak untuk mula berniaga secara kecil-kecilan
Anak-anak yang sudah kuat minatnya untuk berniaga, sudah boleh dilatih berniaga sendiri dari sekarang. Contohnya, jika anak anda pandai melukis, pesan kepada mereka supaya menjual lukisan kepada kawan-kawan di sekolah, atau tawarkan kepada kawan-kawannya sesuatu untuk dilukis dengan bayaran upah. Selain itu, duit belanja saku yang anda berikan kepada mereka boleh dijadikan modal untuk membeli gula-gula dalam bungkusan besar, kemudian dipekkan menjadi bungkusan-bungkusan kecil untuk dijual kepada kawan-kawan.
4. Bimbing anak-anak supaya menabung dan pandai mengurus wang
Menjadi usahawan mestilah perlu pandai menabung dan menguruskan wang. Duit belanja saku boleh diasingkan sebahagiannya untuk dijadikan modal. Keuntungan berniaga mestilah disimpan dahulu dan dicatatkan. Daripada untung itu, mereka bolehlah ambil sebahagiannya sebagai upah diri sendiri, untuk beli aiskrim, mainan, atau apa-apa yang dihajati.
5. Asah kreativiti anak-anak untuk membuat promosi
Bagi anak-anak yang mempunyai telefon pintar sendiri dan menggunakan media sosial, ajarkan kepada mereka bagaimana untuk membuat promosi. Iklan yang bagus adalah gabungan gambar dan tulisan yang dapat menarik minat bakal pembeli. Tunjukkan kepada mereka iklan-iklan yang menarik di media sosial, di papan iklan, atau di televisyen, sebagai contoh untuk mereka hasilkan promosi yang dapat menarik perhatian kawan-kawan dan bakal pembeli.
6. Pantau cara berkomunikasi anak-anak
Jika mahu jadi usahawan, mesti kena pandai berkomunikasi dengan pelanggan. Anda boleh latih mereka supaya tidak malu berkomunikasi dengan orang ramai dengan meminta mereka menghantar makanan kepada jiran-jiran. Pantau juga cara komunikasi mereka dengan guru dan rakan-rakan sebaya mereka di media sosial. Biasakan mereka dengan cara percakapan yang elok dan sopan.
7. Ajarkan anak-anak tentang kegagalan dan tidak mudah putus asa
Jika anak-anak menghadapi suatu kegagalan, tidak lulus dalam ujian misalnya, jangan hukum mereka. Bincangkan apa punca kegagalan mereka dan bagaimana ia tidak terjadi lagi.
Beritahu anak-anak bahawa ramai ahli perniagaan di seluruh dunia yang sudah berjaya mesti pernah menghadapi kegagalan pada satu ketika. Tetapi kini, mereka berjaya kerana mereka tidak putus asa dan terus mencuba lagi. Apa yang penting adalah bagaimana mereka belajar dan mengatasi kegagalan itu.
Pandemik COVID-19 menjadi bukti jelas di mata mereka, bahawa anda seorang usahawan yang terus berusaha. Walaupun perniagaan sedia ada terjejas teruk, anda terus berusaha mencari cara dan perniagaan yang lain. Semoga terus berusaha dan berjaya!
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.