Antara fungsi otak yang paling penting ialah menyimpan memori dalam keadaan yang baik. Setiap aksi, perlakuan, dan apa jua tindakan yang kita lakukan sangat dipengaruhi oleh informasi atau maklumat yang diterima daripada bank memori otak kita.

Maklumat tersebut sama ada maklumat jangka pendek; seperti melakukan satu kerja spesifik yang mesti dilakukan ketika itu, atau maklumat jangka panjang; seperti melakukan kerja yang selalu dibuat, misalnya kebolehan memandu atau memasak.

Maklumat jangka panjang mungkin boleh datang secara spontan tanpa memerlukan banyak usaha bila diperlukan.

Berbeza dengan maklumat jangka pendek, yang mana kadangkala kita berusaha sungguh-sungguh untuk cuba mengingat semula sesuatu perkara yang kita pernah ingat dulu.

Sebab itu kita mestilah berusaha menjaga kekuatan ingatan kita supaya berada dalam keadaan yang baik dan supaya kerja dan tugas harian kita boleh dibuat dengan lebih efisien.

Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh lakukan.

 

1. Beri perhatian dan fokus 200% kepada informasi yang ingin disimpan dalam memori anda

Buat tak tahu sahaja dengan segala perkara yang boleh menganggu konsentrasi anda.

Abaikan saja!

Terus fokus dan fokus. Semakin tinggi tumpuan anda, semakin tinggi kebarangkalian untuk subjek tumpuan anda kekal dalam ingatan.

 

2. Gunakan setiap deria yang paling ideal dan yang diyakini oleh anda

Peka kepada persekitaran anda.

Peka dan teliti pada warna, bentuk, bunyi, atau bau benda yang mahu diingati.

Deria badan kita ini sudah terbiasa untuk mengumpul maklumat bergantung kepada keadaan masa dan ketika itu secara automatik. Sudah tentu, mata kita adalah deria terpaling penting untuk pengumpulan informasi.

Tidak kurang juga dengan telinga, hidung, lidah dan tidak lupa, sentuhan dengan hujung jari kita, juga sama penting untuk kita memahami, mengingati suatu perkara, situasi, dan maklumat tentang sesuatu atau seseorang.

 

3. Buat catitan

Tak yakin boleh ingat atau tidak?

Takut maklumat yang anda kumpul, terlupa nanti?

Jadi ambil buku, kertas, pen dan catit!

Tulis dengan terang, dan pastikan boleh dibaca semula. Kalau menggunakan ejaan ringkas, atau selalu kita panggil ejaan “short form”, pastikan boleh difahami oleh diri anda sendiri. Cara ini sangat berkesan untuk mengumpul maklumat yang panjang berjela dan rumit seperti dalam nota kuliah.

Tapi pastikan kertas atau buku kecil beserta pen atau pensel sentiasa senang dalam jangkauan anda, dan jangan pula hilangkan atau letak merata-rata.

Tiada semua benda itu?

Sekarangkan zaman teknologi, gunakanlah telefon bimbit, smartphone, iPad, iPhone atau apa sahaja gajet ditangan anda, asalkan anda boleh menulis.

 

4. Seimbangkan diet harian anda

Diet yang seimbang dan sihat, mengandungi nutrisi lengkap yang bukan sahaja dapat membantu mengekalkan kesihatan badan anda bahkan juga otak anda. Makanan berminyak dan manis boleh menyebabkan sistem memori anda ‘tersumbat’.

Anda susah nak membuang tabiat tidak elok diet anda secara serta-merta? Tak mengapa. Ubahlah sedikit demi sedikit. Lebih baik begitu dari tak buat langsung.

Kalau anda ubah tabiat pemakanan tidak sihat anda secara mendadak, anda boleh mengalami situasi yang dipangil gejala penarikan (withdrawal symptom) seperti menggigil, badan terasa lemah, emosi tidak stabil dan sebagainya.

Ini kerana sistem badan kita dipaksa untuk menerima sesuatu yang tidak biasa kita lakukan. Minum banyak air masak yang bersih juga dapat membantu kerana air sangat penting untuk mengekalkan fungsi badan dan organ kita pada tahap optimum. Ingat, lebih kurang 70% dalam badan kita mengandungi air.

 

5. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup dan berkualiti

Rehat atau tidur yang cukup bukan bermakna anda akan menjadi malas, tapi terlebih-lebih tidur itu yang buat anda nampak seperti orang malas.

Cukuplah hanya sekadar tidur atau rehat untuk hilangkan penat dan stress anda.

Jika penat, berhenti dan rehat.

Ini dapat menjaga otak anda daripada tekanan melampau.

 

6. Ambil masa dan tenangkan badan dan fikiran anda

Tak perlu nak sesakkan otak anda dengan masalah dan tekanan. Tarik nafas sedalam-dalamnya, rancang dan fikir elok-elok sebelum melakukan sesuatu. Jauhi otak anda daripada segala tekanan dan kebimbangan.

Pastinya dalam zaman sekarang yang sangat mencabar, menghilangkan langsung stress 100% adalah misi yang sangat mustahil. Jadi apa yang anda boleh buat adalah mengurangkan stress pada tahap paling kurang seboleh-bolehnya. Apabila anda berada dalam keadaan stress, anda akan jadi bimbang dan seterusnya boleh jadi cemas dan panik. Ini akan menganggu memori anda.

 

7. Kekal positif, jadi kreatif, dan sentiasa bertenaga

Jangan asuh minda anda yang anda tidak boleh buat itu dan ini.

Jangan ajar otak anda yang anda tak akan ingat benda ini.

Jadilah orang positif yang sentiasa katakan, YA!

Beritahu dan yakinkan diri anda yang anda boleh lakukan dan ingat tentang sesuatu perkara.

Memori kita perlu berada dalam lingkaran pelbagai benda yang menjadi pemangkin untuk mencetuskan kreativiti kita. Benda yang datang dalam pelbagai warna, rupa bentuk, dan saiz dapat membantu menaikkan tahap kreativiti kita. Ini adalah cara yang positif untuk kita mengenal persekitaran kita dan kepelbagaiannya.

Elakkan hanya duduk diam di rumah dikelilingi dinding-dinding batu yang kaku seperti dalam penjara. Keluarlah dan terokailah persekitaran anda. Lihat sekeliling anda kerana di situ banyak benda yang boleh membantu menaiktarafkan memori anda.

Sistem memori manusia berada dalam kondisi paling baik dan paling efisien ketika di peringkat awal usia sehingga remaja. Apabila kita meningkat tua, keberkesanan memori kita mula berkurangan.

Oleh itu, guna masa dan kesempatan sebaik-baiknya di usia muda untuk melatih memori kita. Membaca buku, menyelesaikan teka silangkata atau Sudoku, atau mencipta sesuatu dapat membantu mengukuhkan sistem memori kita.

Kesihatan fizikal dan dalaman badan kita sangat penting. Amalkan gaya hidup sihat dan elakkan daripada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi. Penyakit darah tinggi boleh membawa kepada strok atau kelumpuhan dan kegagalan fungsi jantung serta daya ingatan yang lemah. Fungsi memori berkurangan apabila tekanan darah menjadi tinggi.

Kajian telah menunjukkkan bahawa orang yang sihat dengan tekanan darah yang normal, terutama bagi golongan pertengahan usia, pastinya mempunyai daya atau fungsi kognitif yang lebih tinggi. Fungsi kognitif merupakan aktiviti otak yang membawa kepada pengetahuan termasuk semua cara atau mekasnisme umtuk mengumpul maklumat. Ia merangkumi ingatan, pentafsiran dan kebolehan kita untuk menilai dan membuat keputusan. Semua ini akan susut menjadi kurang efisien apabila kita mempunyai penyakit tersebut.

Secara amnya, apa yang baik untuk fizikal badan kita, maka baiklah juga untuk otak dan justeru memori kita.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.