8 tip ulangkaji pelajaran pada saat akhir untuk peperiksaan

Sebagai seorang pelajar di Malaysia, hubungan antara pelajar dan peperiksaan adalah bagai isi dan kuku, juga ibarat aur dan tebing.

Ya.

Pelajar dan peperiksaan memang tidak dapat dipisahkan. Sebagai seorang pelajar, kita seharusnya bersedia dari awal sesi pembelajaran bermula lagi untuk menghadapi peperiksaan.

Walaubagaimana pun, bukan semua pelajar memiliki kebebasan masa untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Ada pelajar – sama ada kerana terpaksa atau secara bersukaria – sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab lain seperti hal-hal keluarga, kerja sambilan, aktiviti persatuan, kelab, atau kemasyarakatan, atau lain-lain aktiviti, sehingga boleh menjejaskan persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Maka, sebahagian besar pelajar ini cenderung untuk mengulangkaji pelajaran pada saat akhir sebelum menghadapi peperiksaan; sebagai salah satu cara bagi mendapatkan sekurang-kurangnya gred “lulus” dalam peperiksaan.

Ulangkaji saat akhir ini boleh kita takrifkan sebagai memulakan proses ulangkaji hanya semasa beberapa minggu atau hari terakhir sebelum peperiksaan. Perbuatan ini sememangnya sangat tidak digalakkan. Tapi bila mana sudah terpaksa, ini sajalah jalannya.

Disini saya kongsikan lapan tip yang anda boleh praktikkan jika terpaksa mengulangkaji pada saat akhir.

 

1. Jangan panik

Ini tip yang paling utama sekali. Kalau anda panik, apa perkara pun anda tak boleh buat. Sebaiknya, anda perlu bertenang.

Mengulangkaji pada saat akhir ini perlu dilakukan dengan berstrategi, cermat, dan penuh fokus supaya objektifnya – iaitu untuk lulus – tercapai.

 

2. Buat senarai

Senaraikan semua subjek peperiksaan yang akan anda duduki, dan kemudian susun mengikut tahap bermula dari subjek yang anda lemah hinggalah ke subjek yang anda mahir.

Beri lebih tumpuan kepada subjek yang anda lemah itu.

Semak senarai isi kandungan buku teks atau rujukan untuk setiap subjek terlibat, dan kenalpasti bab atau topik yang telah dipelajari semasa dalam kelas atau kuliah.

 

3. Tanya guru

Tip ini terbukti sangat berguna terutamanya bagi peperiksaan dalaman, yang mana kertas soalan peperiksaan dibuat sendiri oleh cikgu atau pensyarah yang mengajar anda.

Dalam hal ini, ada tiga kategori guru.

Guru kategori pertama dengan sendirinya akan berikan bayangan kasar atau klu kepada para pelajar tentang topik atau tajuk apa yang bakal keluar dalam peperiksaan nanti.

Guru kategori kedua akan berdiam diri, menunggu sehingga pelajar-pelajarnya sendiri yang bersikap pro-aktif untuk bertanya kepada guru tentang sebarang tip berkaitan peperiksaan.

Bila dah dapat informasi berguna ini, anda boleh terus saja fokus mengulangkaji bab atau topik yang sudah “didedahkan” sendiri oleh guru anda. Ia ibarat shortcut atau “jalan pintas” untuk anda mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan.

Jika ada masa, ulangkaji juga topik-topik lain, manalah tahu ada juga terselit beberapa soalan berkaitan. Jika dapat dijawab, boleh juga tambah beberapa markah.

Guru kategori ketiga pula, memang tidak akan beritahu apa-apa langsung kepada para pelajar berkaitan soalan peperiksan, sama ada pelajar bertanya atau pun tidak.

Walau dalam kategori apa pun guru yang mengajar anda, cubalah minta bantuan mereka dengan bertanya secara beradab dan sopan.

Janganlah kecewa jika guru tidak memberi maklumbalas yang diharapkan. Itu adalah hak mereka. Anggaplah anda “tiada rezeki” dan teruskan usaha dengan lebih gigih dalam mengulangkaji pelajaran pada saat akhir ini.

 

4. Baca nota ringkas semua tajuk terlebih dahulu

Dalam masa yang singkat, adalah mustahil untuk anda mengulangkaji keseluruhan isi kandungan buku teks atau rujukan setiap subjek peperiksaan.

Sebaiknya, dapatkan dan rujuk nota ringkas terlebih dahulu sebelum mengulangkaji tajuk yang hendak difokuskan. Dengan cara ini, anda akan dapat gambaran  apa yang dipelajari dan apa yang akan dihadapi semasa peperiksaan nanti.

Dengan ini anda telah pun ambil langkah berjaga-jaga jika kertas peperiksaan yang diambil nanti mengandungi soalan-soalan yang tidak pernah dijangka. Anda telah pun bersedia dan boleh jawab soalan tersebut dengan jayanya.

Anda pun tidaklah berasa kelam kabut sehingga tidak boleh menjawab soalan yang telah pun diulangkaji. Selepas itu, barulah ulangkaji tajuk yang diyakini akan keluar dalam peperiksaan nanti.

 

5. Belajar secara berkumpulan

Seterusnya tip yang paling paling berguna dalam mengulangkaji pada saat akhir, iaitu mengulangkaji secara berkumpulan.

Ini kerana anda akan dapat banyak maklumat dan akan mengurangkan beban anda dalam mengulangkaji. Kadang kala terdapat maklumat yang anda tidak tahu pun anda memerlukannya yang akan muncul semasa sesi perbincangan tersebut. 

Untuk mengulangkaji secara berkumpulan, ada beberapa syarat yang harus diikuti supaya sesi ulangkaji tersebut menjadi efektif, lancar, dan bermanfaat.

Kumpulan ini seharusnya mengandungi paling maksimum 5 orang. Ini bagi mengelakkan daripada kumpulan tersebut menjadi tempat berbual.

Selain itu, kumpulan ini seharusnya mempunyai seorang ketua. Ketua ini berperanan untuk mengawal suasana dalam kumpulan dan menentukan tajuk yang akan dibincangkan.

 

6. Semak semula tugasan yang pernah dibuat

Sepanjang sesi pembelajaran, ada masanya guru akan berikan tugasan, assignment, atau homework untuk disiapkan. Sudah jadi kewajipan bagi pelajar untuk menyiapkan semua kerja-kerja ini dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh guru.

Hakikatnya, kesemua kerja-kerja tersebut dapat membantu anda dalam menghadapi peperiksaan. Cuba semak semula tugasan yang pernah dibuat, mungkin mengandungi bentuk-bentuk soalan yang akan keluar dalam peperiksaan nanti.

 

7. Rujuk soalan peperiksaan yang lepas

Cuba dapatkan set soalan peperiksaan yang lalu. Bila dah dapat, cuba jawab soalan-soalan  di dalamnya.

Ini sedikit sebanyak akan memberikan pendedahan kepada anda tentang format soalan peperiksaan nanti, disamping menguji pengetahuan dan kefahaman anda dalam subjek tersebut.

Ada kemungkinan juga, soalan-soalan yang lepas akan diguna semula, sama ada diambil secara terus atau ditukar sedikit dari asalnya.

 

8. Minta doa dan restu

Bagi pelajar Muslim, apa lagi yang lebih penting ialah mendapat redha Allah dan restu daripada ibu bapa, guru, dan kenalan. Mintalah ampun dan berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik sepanjang musim peperiksaan. Minta maaf dan mohon restu daripada ibubapa dan guru supaya kehidupan lebih diberkati dan peperiksaan kita akan dimudahkan dengan izin Allah.

 

Jadi begitulah tip-tip bagi sesiapa yang terpaksa mengambil langkah untuk belajar pada saat akhir. Tapi ingat, secara lumrahnya ini bukanlah tip yang boleh menjanjikan keputusan yang cemerlang. Kalau anda menginginkan keputusan yang cemerlang, maka anda perlu bermula daripada awal lagi untuk menghadapi peperiksaan.

Semoga berjaya!

 

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *