Adjustment disorder: Menghadapi kemurungan semasa PKP

Tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) merupakan suatu keadaan yang sangat mencabar buat semua pihak dan cabaran itu datang dalam pelbagai bentuk. Salah satu cabaran tersebut adalah masalah tekanan (stress) yang boleh membawa kepada kemurungan yang sangat merisaukan di kalangan masyarakat. Lebih parah, apabila masalah ini tidak ditangani dengan baik, pelbagai komplikasi boleh terjadi seperti masalah keganasan rumahtangga, meningkat nya kes-kes perceraian dan lebih menyedihkan apabila berlakunya penderaan kepada anak-anak yang tidak berdosa. Masyarakat seolah-olah meraba dalam kegelapan mencari apakah punca terjadi nya situasi ini dan sudah pasti sangat dahagakan pencerahan dan jalan keluar.

Persoalannya, mengapakah perkara ini terjadi? Dan yang lebih penting, apakah cara-cara mengenalpasti masalah ini dan apakah jalan keluarnya? Artikel ini bakal merungkai kan kepada anda apakah itu adjustment disorder, apakah simtom-simtom nya dan bagaimana kah cara untuk merawat keadaan ini. Sekiranya anda ataupun ahli keluarga anda yang terkesan dengan masalah ini, teruskan membaca supaya anda tahu apakah solusi kepada masalah ini.

 

Apakah itu adjustment disorder?

Adjustment disorder adalah kondisi yang berpunca daripada tekanan (stress-related condition). Seseorang yang menghadapi keadaan ini akan mengalami tekanan yang berlebihan daripada sesuatu situasi yang pada kebiasaanya tidak menyebabkan tekanan berlebihan tersebut. Dalam bahasa mudahnya, seseorang itu menjadi lebih sensitif, mudah terasa, dan sukar membuat pertimbangan yang baik apabila berdepan dengan situasi yang boleh memberi tekanan. Kondisi ini biasanya berlarutan selama beberapa bulan, namun jika tidak diurus dengan baik akan berlarutan lebih lama dan boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan pekerjaan.

 

Apa punca adjustment disorder?

Antara punca yang menyebabkan terjadinya keadaan ini adalah apabila berlakunya perubahan besar dalam hidup seseorang. Perubahan ini pula selalunya bersifat negatif ataupun boleh mendatangkan tekanan seperti kehilangan orang tersayang, kehilangan pekerjaan, berpindah ke tempat yang baru, bekerja di jabatan baru dan sebagainya. Semenjak perintah PKP dilaksanakan bermula Mac tahun lepas, ramai yang terkesan dari pelbagai sudut. Antaranya adalah diberhentikan kerja, anak-anak terpaksa bersekolah dari rumah, diminta mengambil cuti tanpa gaji, dan tidak kurang juga perniagaan-perniagaan kecil yang terpaksa gulung tikar.

Situasi-situasi di atas merupakan satu perubahan besar yang telah mengesani sebahagian besar daripada masyarakat dan keadaan ini sudah pasti meningkatkan lagi risiko terdedah nya masyarakat kepada kondisi adjustment disorder ini.

Apakah simtom-simtom adjustment disorder?

Seseorang yang mengalami kondisi ini akan menjadi sukar untuk mengawal emosi dan lebih mudah menjadi reaktif terhadap sesuatu tekanan ataupun stress. Individu tersebut akan menjadi mudah marah dengan sesuatu yang pada kebiasaan nya tidak menyebabkan dia marah. Antara simtom-simtom utama adjustment disorder ini adalah seperti berikut:

  • Mudah berasa sedih dan putus asa (hopeless)
  • Mudah menjadi risau dan bimbang (anxious)
  • Terganggu tidur dan kurang selera makan
  • Sukar membuat pertimbangan yang baik
  • Sukar membuat keputusan yang baik

Simtom-simtom ini jika berterusan, sudah pastinya dapat memberikan kesan negatif kepada keluarga dan pekerjaan. Adakah anda ataupun kenalan sedang mengalami simtom-simtom seperti di atas? Jika ya, maka teruskan membaca untuk mengetahui apakah jalan keluar kepada masalah ini.

 

Apakah rawatan untuk adjustment disorder?

Simtom-simtom adjustment disorder ini selalunya akan berlaku antara 3-6 bulan dan boleh menjadi berlarutan lebih lama sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Untuk itu, kita perlu melakukan beberapa perkara berikut sebagai rawatan kepada masalah ini;

 

1) Fahami adjustment disorder

Apabila kita faham yang kita sebenarnya sedang mengalami kondisi ini, kita akan lebih mudah menguruskan perasaan cepat marah, mudah tersinggung dan lain-lain. Kita juga lebih mudah memaafkan seseorang yang mengalami simtom-simtom tersebut kerana dia mungkin sedang mengalami kondisi yang sama.

 

2) Berkongsi masalah anda

Kongsikan masalah anda dengan pasangan, ahli keluarga, sahabat baik atau sesiapa yang anda percaya dapat membantu. Dengan hanya berkongsi, kita sebenarnya sedang membantu menyelesaikan masalah ini. Ia memberi ruang untuk kita lebih memahami keadaan diri sendiri dan memberi ruang kepada orang lain untuk memahami situasi kita sekarang.

 

3) Lakukan aktiviti fizikal

Aktiviti-aktiviti fizikal akan membantu merembeskan lebih banyak hormon endorphine dan dopamine yang membantu meningkatkan mood dan perasaan gembira. Teruskan hobi anda seperti biasa seperti berlari, mendaki, berenang dan sebagainya walaupun dalam tempoh PKP ini.

 

4) Hargai waktu pagi

Bangun seawal jam 5 pagi ternyata sangat baik untuk diamalkan. Antara kelebihan nya adalah menjadikan kita lebih produktif dan bertenaga sepanjang hari. Selain itu, bangun di waktu ini juga telah terbukti membantu kita membentuk kekuatan spiritual dan emosi yang baik. Pada waktu yang sunyi ini kita dapat meluangkan masa hanya untuk diri sendiri. Rutin ini jika dilakukan pada suatu jangka masa yang lama akan menghasilkan kekuatan emosi dan spiritual yang mantap untuk menghadapi apa jua cabaran.

Sekiranya anda dapat mengamalkan salah satu perkara di atas, anda sebenarnya sedang membantu diri anda untuk keluar daripada kondisi adjustment disorder ini. Bayangkan jika lebih ramai individu di luar sana yang menyedari akan masalah ini dan mengambil inisiatif untuk memperbaiki keadaan, saya yakin kita dapat melahirkan masyarakat yang lebih empati dan saling mengasihi sesama kita.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *