Konon mahu berjimat, rupanya ada kesan buruk pada kesihatan: Padah guna minyak masak berulang kali

Makanan bergoreng sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia. Kuih-muih seperti pisang goreng atau pun lauk-pauk seperti ayam goreng, hidangan bergoreng seperti ini sememangnya membuka selera kita.

Akan tetapi, menggunakan banyak minyak masak meningkatkan perbelanjaan barang-barang dapur. Adakah anda menggunakan semula minyak masak yang sudah digunakan berulang-ulang kali?

Ataupun pernahkah anda singgah ke gerai menjual kuih-muih bergoreng kemudian anda terlihat di kuali minyaknya sudah kehitaman?

Minyak masak yang sudah hitam itu adalah minyak yang sudah digunakan berulang-ulang kali, sebenarnya layak dibuang saja.

Tahukah anda menggunakan minyak masak yang sama berulang kali boleh memudaratkan kesihatan?

Minyak masak pada asalnya ialah suatu bahan masakan yang berkhasiat dan menyihatkan. Minyak masak daripada sawit misalnya sangat kaya dengan kandungan vitamin E, baik untuk mata, mengandungi antioksidan, menurunkan kolesterol dan banyak lagi kebaikannya. Anda sendiri boleh buat carian di internet tentang kebaikan-kebaikan minyak masak khususnya yang diperbuat daripada kelapa sawit.

Semasa minyak masak dipanaskan, kandungan vitamin E akan terhapus sedikit demi sedikit. Kajian mendapati apabila minyak masak ini digunakan sehingga lima kali, lebih kurang 98% vitamin E telah terhapus berbanding sebelum minyak ia dipanaskan.

Minyak masak yang digunakan berulang-ulang kali ini juga akan menghasilkan kandungan toksik tinggi yang sukar dihapuskan. Kandungan toksik ini  boleh menyebabkan:

  • saluran darah tersumbat
  • meningkatkan tekanan darah
  • mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya terutamanya serangan jantung

Satu kajian telah mendapati bahawa pemberian minyak sawit yang digunakan sebanyak lima dan sepuluh kali menyebabkan peningkatan tekanan darah dan kerosakan tisu pada jantung.

Seorang pengumpul minyak masak terpakai, saudara Aziz memberitahu, beliau pernah bertanya kepada beberapa peniaga pisang goreng di sekitar pekan tempat kediamannya.

“Saya tanya kakak peniaga pisang goreng tu mahu tak dia jual minyak masak yang dah digunakan, saya tawarkan harga tinggi. Tapi dia jawab, dia tak pernah tukar atau buang minyak masak. Bila minyak berkurang dia akan tambah minyak yang baru saja,” kata Aziz.

Ada satu kajian yang dibuat oleh pakar kesihatan terhadap gerai-gerai menjual makanan bergoreng di sekitar Kuala Lumpur. Pengkaji mendapati kebanyakan peniaga menggunakan minyak masak berulang-ulang kali.

Kajian dibuat ke atas sampel minyak masak yang diambil dari gerai-gerai tersebut mendapati paras peroksida minyak tersebut adalah sangat tinggi yang melebihi aras yang ditetapkan oleh Peraturan Peraturan Makanan 1985. Ini bermaksud keadaan minyak masak yang digunakan oleh peniaga-peniaga makanan ini sudah mencapai tahap membahayakan kesihatan dan tidak boleh digunakan lagi!

Minyak masak yang digunakan berulang-ulang kali juga ada kesan terhadap makanan dari segi rasa dan bau, menjadikannya kurang sedap, dan kurang menyelerakan. Sememangnya makanan akan lebih sedap dengan minyak yang masih baru.

Justeru, anda di rumah janganlah gunakan minyak masak berulang-ulang kali sampai hitam. Gunakan sehingga dua atau tiga kali sahaja. Kemudian simpan dulu dalam satu bekas. Bila bekas sudah penuh anda boleh jual dan hasilnya boleh digunakan untuk beli minyak masak yang baru.

 

Rujukan: Kesan Menggunakan Minyak Masak Berulang Kali kepada Jantung & Salur Darah – Dr Siti Khadijah Adam (PhD)

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *