PENAFIAN: Artikel ini bertujuan untuk berkongsi informasi sahaja. Anda dinasihatkan supaya tidak meniru perbuatan mereka yang diceritakan dalam artikel ini. Sila amalkan pemakanan sihat secara “suku-suku-separuh” seperti yang disarankan oleh KKM.

Tanah adalah lapisan permukaan muka bumi. Oleh kerana ia mengandungi banyak kandungan mineral, maka tanah menjadi medium untuk manusia bercucuk-tanam menghasilkan makanan yang kita makan hari-hari. Peribahasa Melayu ada menyebut ‘berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya.’

Tahukah anda ada manusia di dunia ini yang mempunyai tabiat memakan tanah?

Anda mahu cuba makan tanah? (foto oleh Josh Gabbatis, dipetik dari bbc.com)

Sebenarnya, budaya memakan tanah yang disebut sebagai geophagy ini sudah lama wujud sejak zaman dulu lagi. Ia bertujuan untuk kecantikan dan kesihatan.

Masyarakat pada zaman purba Yunani memakan tanah liat sebagai ubat bagi menyerap toksin di dalam tubuh. Tanah yang mengandungi mineral seperti magnesium, kalsium dan zat besi dikatakan dapat menyihatkan dan mencantikkan tubuh badan.

Di beberapa negara di benua Afrika seperti di Tanzania dan Cameroon misalnya, memakan tanah sudah menjadi kebiasaan yang diwarisi turun-temurun.

Kek tanah yang diperbuat daripada tanah liat yang biasanya digunakan untuk membuat tembikar dimakan seperti snek sahaja. Ia menjadi satu produk dagangan yang sangat menguntungkan dan mudah didapati di pasar-pasar di seluruh negara tersebut.

Di negara Haiti, ada dalam kalangan rakyatnya yang terlalu miskin sehingga terpaksa memakan kek yang dibuat daripada lumpur kering. Haiti yang dikenali sebagai negara termiskin, semakin memburuk keadaannya sejak dilanda gempa bumi besar pada tahun 2010. Kek lumpur kering ini mereka makan sama seperti kita memakan biskut atau roti. Mereka juga mempercayai bahawa kek lumpur kering ini boleh dijadikan ubat.

Pada tahun 2020, penduduk di selatan Madagascar yang kebuluran akibat kemarau berpanjangan terpaksa memakan tanah liat dicampur asam jawa bagi menahan lapar. Penduduk di situ menganggap tanah liat adalah ‘tanah kehidupan’ dan terpaksa memakannya untuk menahan lapar dan meneruskan hidup.

Kanak-kanak di Madagascar yang kebuluran menderita akibat perut kembung selepas terpaksa makan tanah liat bercampur asam jawa bagi menahan lapar (gambar oleh AFP)

Mereka mengharapkan bantuan bantuan makanan kecemasan segera dibekalkan bagi mengelakkan penduduk terus berdepan musibah yang lebih teruk.

Nukala Koteshwara Rao, seorang lelaki yang tinggal di desa Kalasapadi Andra, Pradesh, India memakan satu kilogram tanah setiap hari. Nukala yang berusia separuh abad ini sudah 20 tahun hidup memakan tanah setiap hari menggantikan beras. Bekalan tanah ditimbunkan di depan rumahnya sebagai stok makanan.

Nukala memberitahu yang dia tidak pernah sakit selama memakan tanah.

Ganten, seorang wanita berusia 70 tahun yang di Dusun Semanding, Kabupaten Mojokerto, Indonesia menceritakan beliau memakan tanah sejak usia remaja lagi. Disebabkan kesulitan hidup dan masalah ekonomi, beliau menjadikan tanah sebagai hidangan sampingan bersama nasi.

Nenek pemakan tanah (foto dipetik dari jawapos.com)

Nenek tua ini mengatakan tidak pernah mengalami masalah kesihatan dengan memakan tanah, kerana ia disangai dahulu sebelum menjamahnya.

Di negara kita pula pada tahun 2010, empat orang kanak-kanak di Kampung Padang Lembu, Gurun, Kedah dilaporkan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Sungai Petani kerana keracunan akibat memakan tanah. Mereka berempat memberitahu sudah setahun memakan tanah dan menurutnya lagi tanah-tanah itu rangup dan rasa seperti coklat.

Empat kanak-kanak perempuan dimasukkan ke hospital apabila salah seorang daripada mereka dalam keadaan lemah selepas memakan tanah. (Foto oleh G.C. Tan dipetik dari The Star)

Doktor yang merawat mereka melaporkan paras hemoglobin mereka terlalu rendah. Menurut doktor lagi, tanah yang mereka makan mengandungi telur cacing dan telah menetas di dalam perut mereka. Cacing-cacing ini menghisap darah di dalam badan mereka, menyebabkan mereka lemah, sakit perut dan muntah-muntah.

Mineral yang terkandung di dalam tanah liat dilaporkan mempunyai manfaat seperti melindungi perut daripada racun, parasit, dan patogen. Walaubagaimana pun ia juga boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan sekiranya tanah yang dimakan sudah tercemar oleh kotoran najis, bakteria, dan telur cacing. Kandungan mineral yang terlalu tinggi juga boleh mendatangkan masalah kepada tubuh badan.

Keadaan hidup yang susah boleh memaksa seseorang itu melakukan perkara yang luar dari kebiasaan manusia. Kita bersyukur kerana di Malaysia terdapat banyak pihak, sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO, dan masyarakat setempat, yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan mereka yang didalam kesusahan. Bagi mereka yang mengalami kesusahan, jangan segan dan malu untuk meminta bantuan. Meminta bantuan itu adalah jauh lebih baik daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi agama dan melanggar undang-undang negara.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.