Anda kerap sakit kepala? Adakah anda menghidap migrain?

Anda kerap mengalami sakit kepala?

Sakit kepala adalah masalah biasa yang pernah dialami hampir semua orang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Sifat sakit kepala yang tidak terlalu kuat, sementara, dan tidak berulang dengan kerap adalah biasanya tidak berbahaya. Sebagai contoh, sakit kepala ketika demam panas, terlalu letih atau tidak cukup tidur.

Namun begitu, mereka yang sering mengalami sakit kepala yang berulang-ulang dan kerap sehingga mengganggu aktiviti seharian perlu mendapatkan perhatian khusus dan rawatan doktor. Antara contoh masalah sakit kepala kronik adalah penyakit migrain, sakit kepala ketegangan (tension-type headache) dan sakit kepala kluster (cluster headache).

Artikel ini akan mendalami serba sedikit berkenaan masalah migrain.

Fakta tentang migrain

  • Dianggarkan 2% populasi di dunia mengalami migrain kronik.
  • Migrain mengganggu wanita 3 kali lebih kerap berbanding lelaki dan sering dialami oleh golongan dewasa (umur 25-50 tahun)
  • Kanak-kanak dan remaja juga boleh menghidap migrain.
  • Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mengidap migrain berisiko 4 kali ganda daripada orang lain untuk mengalami penyakit migrain.

Sesetengah penghidap migrain mengalami tanda awal (prodrome) iaitu beberapa jam atau beberapa hari sebelum serangan migrain bermula. Gejala-gejala prodrome tersebut seperti keletihan, kurang selera makan, kehausan berlebihan, sembelit atau cirit-birit atau perubahan mood (seperti kemurungan, cepat marah dan keghairahan). Lebih kurang 25% penghidap migrain mengalami gangguan penglihatan atau deria rasa yang dipanggil aura.

Contoh aura seperti terlihat cahaya berbentuk “zig-zag”, cahaya terang atau merasa kebas pada tangan dan badan, gangguan percakapan, gangguan pergerakan tangan atau kaki. Gejala aura ini biasanya berlaku selama 5 hingga 20 minit dan jarang melebihi 60 minit. Sakit kepala biasanya berlaku sejurus selepas aura berhenti. Terdapat juga sebilangan pesakit yang mengalami aura tanpa sakit kepala.

Contoh aura penglihatan: pandangan ‘zig-zag’

Kesakitan masalah migrain ini biasanya bermula secara beransur-ansur, intensiti meningkat selama beberapa jam, dan hilang juga secara beransur-ansur. Selalunya sakit migrain hanya dialami pada satu bahagian kepala dan penghidap migrain mengadu sakit kepala menjadi berdenyut-denyut ketika serangan yang teruk. Loya atau muntah-mutah juga boleh berlaku.

Sakit kepala migrain mungkin menjadi lebih teruk disebabkan beberapa faktor seperti cahaya yang terang, bersin, ketegangan, kedatangan haid, tidak cukup tidur, keletihan yang melampau, lapar, aktiviti fizikal, sesetengah makanan (contoh: keju, coklat, sosej, MSG) dan minuman (contoh: alkohol, kopi)

Rawatan untuk migrain

Ada 2 jenis rawatan migrain iaitu ubat pencegah migrain dan ubat merawat serangan migrain.

Ubat perawat migrain (ubat penahan sakit):

Ubat yang diambil ketika datangnya serangan iaitu ketika sakit: ubat tahan sakit (contoh: paracetamol, mefenamic acid) dan ubat penahan akut migrain (contoh: Caffox). Ubat ini bertujuan untuk memberi kelegaan dan menghentikan kesakitan serangan migrain yang datang.

Ubat pencegah migrain

Bagi pesakit yang mengalami migrain kronik yang teruk, ubat pencegah migrain pula perlu diambil setiap hari mengikut nasihat doktor, bagi mengurangkan kekerapan dan tahap keterukan sakit migrain yang menyerang setiap kali. Terdapat pelbagai jenis rawatan pencegah migrain yang boleh diberikan doctor mengikut kesesuaian pesakit.

Selain ubat-ubatan, terdapat juga rawatan alternatif yang boleh cuba dipraktikkan oleh penghidap migrain, contohnya: bersenam bagi mengurangkan ketegangan, melancarkan peredaran darah, memberi tenaga dan keceriaan; aromaterapi untuk memberi ketenangkan dan mengurangkan ketegangan; terapi penenang dan terapi kognitif. Pada masa yang sama, penghidap migrain perlu mengubah cara hidup dan pemakanan untuk mengelakkan faktor-faktor pencetus serangan migrain mereka.

Mengikut kajian, bagi penghidap migrain yang teruk dan kerap, jika tidak dirawat akan berisiko untuk mengalami strok di kemudian hari. Selain itu, sakit migrain yang teruk boleh mengganggu kehidupan aktiviti seharian seperti kerap mengambil cuti sakit atau tidak dapat melakukan hobi yang digemari. Bagi penghidap migrain, berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik untuk anda bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sakit kepala juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit lain selain migrain. Sekiranya pesakit mengalami gejala-gejala seperti tidak sedarkan diri, sawan, kelumpuhan anggota badan, dan perubahan perangai dan tingkah laku, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

 

Ditulis oleh:
Dr Hana Maizuliana Solehan
Pensyarah Perubatan Kanan USIM,
Pakar Perubatan Dalaman dan Neurologi
Klinik Pakar Kesihatan USIM (Jumaat: 2.30 – 5.00pm)
Columbia Asia Hospital Seremban (Khamis 2.00 – 5.00pm, Sabtu 9.00 – 12.00 tengah hari)

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *