Zaman sekarang, kita boleh bersosial di alam maya tanpa henti. Kita boleh berhubung dengan keluarga atau rakan-rakan, pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Semua orang ada alat komunikasi sendiri, iaitu telefon pintar yang sentiasa ada di tangan atau dalam poket kita.

Menyingkap semula kenangan kira-kira lebih dua dekad lalu, semasa itu teknologi komunikasi belum lagi sehebat zaman sekarang. Penggunaan internet di Malaysia mula berkembang sejak era pertengahan 90an. Ketika itu, tidak semua rumah ada komputer sendiri, apatah lagi sambungan internet. Jadi, kalau mahu guna komputer dan berinternet, kenalah pergi ke cyber cafe. Kalau berada di kampus, ke makmal komputer.

Kalau ada komputer dan internet di rumah pun, zaman itu cuma guna internet dial up. Ada masa terpaksa berebut dengan abang yang hendak telefon aweknya, mahu ‘bergayut di telefon’ bercakap lama-lama, atau pun emak yang mahu telefon kedai untuk suruh mereka datang hantar tong gas baharu.

Jom dengar kembali bunyi yang sungguh nostalgik ini.

 

telefon bimbit lama

Telefon bimbit lama yang kurang pintar

Telefon bimbit, belum semua orang ada. Sekitar hujung 90an barulah ramai orang yang ada telefon bimbit sendiri. Itu pun bukannya seperti telefon pintar sekarang yang fungsinya sudah macam komputer. Telefon bimbit dahulu cuma boleh buat dan terima panggilan serta hantar mesej teks SMS sahaja.

Walaupun internet dulu-dulu nampak macam tak menarik kalau dibandingkan dengan zaman sekarang, pengguna internet (dulu-dulu tak kedengaran lagi istilah netizen atau warganet) pada masa itu ada satu aktiviti berinternet yang sangat menyeronokkan iaitu bersembang atas talian, atau perkataan popularnya, ber-“chatting”.

mIRC dan Yahoo! Messenger (YM) adalah aplikasi chatting yang sangat terkenal pada masa dulu. Ia seperti wajib ada dalam setiap komputer.

 

Kenangan berinternet… errr… ber-chatting sakan dengan mIRC zaman muda-muda dahulu

mIRC dilancarkan pada tahun 1995. Ia adalah sejenis aplikasi ‘internet relay chat’ yang membolehkan pengguna internet di seluruh dunia berhubung menggunakan teks. Sebelum ada ikon smiley yang pelbagai, efek bunyi dan background theme dalam aplikasi chatting, pengguna sudah sangat seronok ber-chatting dengan teks sahaja dengan mIRC.

Aplikasi chatting mIRC ini memang sangat “lejen”, sudah tentu ada banyak kenangan bagi orang-orang lama. Jadi, cerita panjang sikitlah tentang mIRC ini.

Channel #kampung dalam aplikasi mIRC (gambar dipetik dari kampung IRCnet Server Homepage)

Dengan aplikasi chatting lejen ini, ada warganet yang mulanya mencari kawan baharu, kemudian berbual-bual. Ada juga yang berkenalan dengan kawan berlainan jantina, sehinggalah ada yang bercinta dan akhirnya sampai ke jinjang pelamin. Ada jugalah yang kecewa putus cinta sebab pakwenya atau aweknya dapat kekasih baharu semasa ber-chatting.

Jadi bolehlah dikatakan, pada masa artikel ini diterbitkan, “alumni” mIRC rata-rata berumur sudah sekitar lewat 30an hingga 40 tahun dan ke atas. Ada yang sudah berkeluarga dan anak-anaknya pun pasti sudah besar.

Warganet masuk ke dalam ruang ‘chat room’ yang dinamakan ‘channel’ di dalam mIRC, ibarat masuk ke dalam satu pesta, dan berbual-bual dengan ramai orang dalam satu-satu masa. Ada banyak channel yang terkenal pada zaman itu, antaranya #kampung dan #mamak. Pengguna juga boleh buat channel sendiri, misalnya untuk kawan-kawan satu kampus.

Selain berbual-bual di channel, pengguna juga boleh berbual secara ‘one-to-one’ dengan rakannya secara privasi.

Taip : ) untuk senyuman, ; ) untuk kenyit mata, :”( untuk sedih, dan macam-macam lagi simbol untuk menunjukkan emosi.

Asl pls (age sex location please), brb (be right back) dan gtg (got to go) pula adalah antara pelbagai singkatan perkataan yang biasa digunakan sama ada untuk memulakan perkenalan atau mengakhiri perbualan.

Satu kelebihan mIRC yang boleh tahan hebatnya ialah ia ada scripting editor sendiri. Warganet pengguna tegar mIRC yang pandai tulis skrip program bolehlah ubahsuaikan aplikasi ini untuk menambah fungsi baharu.

Ada ‘mania’ mIRC yang membuat program untuk jadikan chatting lebih seronok. Ada juga yang buatkan fungsi tambahan untuk menghukum pengguna (chatter) yang nakal. Awas buat sesiapa yang mencarut semasa chatting di channel, skrin mereka akan kena flood (dibanjiri dengan karakter teks meraban entah apa-apa, mereka yang terkena sahaja yang nampak).

Ini contoh apabila sudah kena flood.

Apa yang paling menarik dalam mIRC ini adalah ia boleh menjadikan komputer kita sebagai server lagu mp3 dengan menambah sedikit skrip program. Warganet lain boleh memuat turun lagu sebanyak yang boleh, sama ada secara manual atau automatik. Sesiapa yang mahu meminta lagu, cuma taipkan sahaja arahan yang khusus di channel yang berkaitan. Oopss… Amaran kerajaan, mencetak rompak adalah salah disisi undang-undang.

Tak dapat dinafikan, pada zaman itu mIRC membuatkan ramai orang jadi ketagihan berinternet, lebih spesifik lagi, untuk ber-chatting. Sampai ada yang tak tidur malam. Bahkan, ada yang sampai emak dan ayah yang pening kepala sebab terpaksa membayar bil internet yang melambung tinggi. Ini disebabkan pada ketika itu, penggunaan internet dial up akan dicaj mengikut masa. Lagi lama digunakan, lagi banyaklah terpaksa dibayar!

Ibu bapa pening kepala tengok bil telefon & internet yang mencanak naiknya

Bagi yang menggunakannya di makmal komputer pula, akan buatkan orang lain marah sebab mereka ini tak dapat menggunakan komputer. Bagi mereka yang ada duit belanja yang banyak, tiada masalah untuk ber-chatting di cyber cafe sampai berjam-jam lamanya.

 

Selepas ber-mIRC, sambung di YM pula

Yahoo! melancarkan aplikasi instant messaging Yahoo! Pager pada tahun 1998 dan setahun kemudian namanya ditukar kepada Yahoo! Messenger (YM).

Aplikasi Yahoo! Messenger (gambar dipetik dari Wikipedia)

YM menjadi aplikasi untuk chatting yang sangat popular selepas mIRC. Sesiapa yang sudah membuat akaun Yahoo! Mail, bolehlah gunakan YM sebab ia gunakan ‘Yahoo! ID’ yang sama.

Penampilan antaramuka YM lebih menarik dan lebih mesra pengguna. Cuma perlukan ID dan password untuk login, tambahkan ‘friends’, dan bolehlah ber-chatting dengan privasi sampai puas. Ramai yang selepas berkenalan di mIRC akan sambung ber-chatting di YM.

Oleh sebab menggunakan ID yang sama dengan emel, ketika sedang online di YM ada pula orang hantar emel. Maka YM akan keluarkan notifikasi teks dan suara untuk beritahu kita ada emel yang baru masuk.

Nah… Imbas kembali bunyi-bunyian dari YM.

Pada awalnya, pengguna YM cuma boleh chatting one-to-one sahaja dengan pengguna-pengguna YM lain, cuma perlu tahu ID mereka dan tambahkan dalam akaun YM kita. Secara berperingkat, Yahoo! menaiktaraf YM dengan pelbagai lagi fungsi tambahan yang menarik.

Kalau di mIRC kita cuma boleh ber-chatting dengan teks sahaja, dengan YM kita boleh tunjukkan ekspresi emosi dengan ikon smiley atau emoticon yang nampak lebih comel. Lagi nampaklah emosi suka atau sedih kawan chatting atau kekasih kita yang jauh itu. Background theme juga boleh ditukar mengikut citarasa pengguna.

Mahu hantar fail-fail pun boleh juga. Bolehlah kongsikan gambar dan lagu, hantar kepada kawan chatting di tempat lain.

Ketika itu pun dengan gunakan YM ini warganet boleh berbual dengan panggilan suara (voice call) dan video (video call), sama seperti aplikasi Whatsapp sekarang. Cuma bezanya, dahulu cuma dengan komputer dan terhad untuk one-to-one sahaja. Kenalah beli webcam dan headset atau mikrofon untuk membuat video call. Memang teruja sangat pada zaman itu, sebab dapat bercakap lama-lama dan tengok muka sekali. Boleh jimat kredit talian telefon bimbit!

Kemudian, YM ada menambah fungsi chat room terbuka seperti mIRC. Kita boleh buat chat room sendiri atau masuk ke chat room yang sedia ada. Bolehlah jumpa ramai orang dan ber-chatting sekali. Tetapi nampaknya chat room terbuka YM ini macam tak berapa popular. Warganet lebih suka pesta chatting beramai-ramai di mIRC.

 

Aplikasi lain yang sama-sama memeriahkan dunia chatting online

Selain 2 “champion” yang diceritakan tadi, ada lagi aplikasi chatting lain seperti MSN Messenger dan ICQ. Tetapi bagi warganet di Malaysia, aplikasi chatting selain mIRC dan YM mungkin kurang popular atau digunakan sebagai alternatif sahaja.

Sesiapa yang ada komputer yang cukup “power” dengan sambungan internet sendiri pada masa itu, bolehlah pasang semua aplikasi chatting ini secara serentak. Kemudian, pilihlah mahu gunakan aplikasi yang mana, sebab masing-masing ada kecenderungan atau minat dengan aplikasi tertentu.

Aplikasi ICQ (gambar dipetik dari techspot.com dan logicgoat.com)

ICQ muncul setahun selepas kelahiran mIRC, lebih awal sebelum YM, sebagai aplikasi ‘instant messenger’ yang pertama di dunia. Pada awalnya, ICQ hanyalah untuk ber-chatting secara one-to-one sahaja, tetapi beberapa tahun kemudian fungsi chatroom telah ditambah.

Aplikasi ICQ lebih mesra pengguna dan menawarkan lebih banyak fungsi. Kalau di mIRC, apabila hendak menghantar fail perlu menaip skrip arahan, di ICQ cuma perlu klik butang sahaja. Ciri-ciri dan fungsi-fungsinya lebih kurang seperti YM, tetapi tanpa voice call dan video call.

Aplikasi MSN Messenger (gambar dipetik dari blog Ankur Telecom)

MSN Messenger diperkenalkan oleh Microsoft pada penghujung era 90an. Syarikat gergasi perisian komputer ini mahu bersaing dengan Yahoo! dalam dunia aplikasi instant messenger dan chatting. Dari segi fungsi, MSN Messenger tidak jauh berbeza dengan YM, cuma tidak ada chat room umum sahaja. Pengguna hotmail boleh menggunakan ID yang sama untuk login aplikasi ini. Sepertimana YM, MSN Messenger akan memberitahu pengguna apabila ada email yang baru tiba di akaun hotmail mereka.

 

Budaya chatting menggunakan komputer perlahan-lahan malap

Lebih kurang 10 tahun selepas memasuki era millenium 2000an, ramai orang sudah mulai menggunakan telefon pintar yang dilengkapi sambungan internet tanpa wayar. Dalam telefon pintar ini, kita boleh memasang pelbagai aplikasi chatting dan media sosial yang kita mahu guna.

Muncul pula aplikasi-aplikasi chatting baharu yang bersaing sengit dengan aplikasi-aplikasi lama. Whatsapp dan Wechat misalnya, akhirnya mendominasi dunia chatting dan instant messenger di telefon pintar mengalahkan senior-senior mereka.

Lama kelamaan, populariti aplikasi-aplikasi “otai” ini semakin malap, walaupun ada diantaranya berusaha gigih mewujudkan versi untuk telefon pintar.

MSN Messenger yang sempat dijenamakan sebagai Windows Live Messenger pada tahun 2005, telah ditamatkan pada tahun 2014. YM pula ditamatkan secara rasmi pada tahun 2018 kerana sudah ramai warganet meninggalkannya.

ICQ masih ada lagi sehingga kini. Ciri-ciri dan fungsi yang pada aplikasi ini sudah jauh lebih hebat dan lebih banyak berbanding zaman permulaannya dulu. ICQ sekarang sangat popular di negara Russia.

mIRC juga masih ada lagi sampai sekarang, masih lagi dengan interface yang sama. Channel #kampung dan #mamak pun masih ada, cuma tidaklah semeriah 20 tahun dahulu.

Adakah anda bertemu jodoh di mIRC dan siapakah yang anda sudah kecewakan? Ha ha ha…

Sudah tentu anda (orang-orang lama) ada kenangan sendiri dengan aplikasi-aplikasi chatting yang diceritakan ini.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.