Sekitar bulan Julai dan Ogos 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan hanya 1 atau 2 digit kes baharu COVID-19 di negara kita. Setelah setahun berlalu, jangkaan dan harapan bahawa COVID-19 akan lenyap di muka bumi belum menunjukkan sebarang tanda lagi.

Pada waktu artikel ini ditulis, statistik kes baharu yang dilaporkan semakin mencanak naik setiap hari hingga menunjukkan peningkatan berganda-ganda, berbanding bulan yang sama tahun lalu. Pembelajaran di sekolah dan universiti terganggu, ekonomi semakin melumpuh, sistem kesihatan pula semakin meruncing dan hampir tumbang.

Pada masa yang kritikal ini, amatlah penting untuk kita menjaga kesihatan diri. Bukan sahaja menjaga diri daripada dijangkiti wabak COVID-19, tetapi juga memelihara daripada mendapat penyakit lain.

Di kala hospital-hospital di seluruh negara dipenuhi dengan pesakit COVID-19 yang memerlukan perhatian dan rawatan, bagaimana pula dengan penyakit-penyakit jangkitan dan penyakit bukan jangkitan yang masih juga memerlukan penjagaan para petugas kesihatan?

Penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, masalah buah pinggang, kanser, asma, dan bermacam-macam lagi penyakit kronik, memerlukan janji temu ulangan di hospital atau di klinik bagi rawatan susulan dan ubat-ubatan.

Selain berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang lebih teruk, mereka juga berisiko untuk jatuh sakit seperti serangan sakit jantung, strok, kencing manis, atau darah tinggi yang tidak terkawal.

Penyakit jangkitan selain COVID-19 seperti demam denggi, leptospirosis (penyakit kencing tikus), keracunan makanan, atau jangkitan kuman yang lain, sudah tentunya tidak lenyap pada waktu pandemik ini.

Penyakit-penyakit ini tetap juga berisiko mengancam nyawa manusia. Penyakit-penyakit akut ini masih memerlukan rawatan khusus di wad-wad hospital.

Bagaimana harus ditempatkan pesakit-pesakit yang bukan COVID-19 ini, sekiranya katil untuk pesakit COVID-19 pun sudah memenuhi segenap ruang Jabatan Kecemasan dan wad-wad di hospital? 

Bagaimana dengan pesakit kanser yang memerlukan pembedahan elektif, namun terpaksa ditunda berkali-kali kerana hospital tidak dapat menjalankan pembedahan tersebut?

Bagaimana dengan pesakit yang mendapat serangan jantung dan memerlukan bantuan pernafasan di wad rawatan rapi, tetapi malangnya tiada lagi mesin pernafasan untuk mereka?

Bagaimana dapat dipastikan pesakit yang masuk kerana demam denggi, tidak dijangkiti COVID-19 daripada pesakit di katil sebelah yang mungkin tidak tahu dia adalah pembawa coronavirus?

Bagaimana dengan pengurusan diri bagi pesakit strok yang lumpuh di dalam wad, ketika para jururawat tidak cukup dan terlalu sibuk untuk membantu keperluannya, manakala waris pula tidak dibenarkan berada di wad ketika wabak ini?

Sesetengah penyakit akut ini tidak dapat dielak, dan kita juga tidak tahu qada’ dan qadar yang Allah telah tetapkan untuk kita. Tetapi sekurangnya-kurangnya kita perlu berusaha untuk menjaga kesihatan dengan baik, mengamalkan cara hidup yang sihat seperti bersenam, menjaga pemakanan, mengambil ubat-ubatan dengan teratur dan mematuhi temujanji yang diberikan, serta mematuhi SOP yang disarankan.

Sekiranya tidak tahu berkenaan penyakit yang  dialami, carilah ilmu dengan membaca daripada sumber yang betul dan bertanya kepada pakar bertauliah. Berusaha, berdoa, dan bertawakal memohon perlindungan Yang Maha Berkuasa agar kita dan ahli keluarga kita sihat-sihat sahaja pada musim pandemik yang tidak tahu lagi penghujungnya.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.