Buat rumah lebih kemas ikut kaedah wanita Jepun ini

Rumah anda semak dan bersepah-sepah dengan barang-barang yang banyak? Nak tak jadikan suasana rumah anda itu lebih kemas, tersusun, dan teratur?

Apa kata anda ambil satu barang itu kemudian tanya pada diri anda sendiri, “Adakah barang ini boleh buat aku gembira?”

Itulah salah satu elemen penting yang diajar oleh Puan Marie Kondo, pengasas ‘Konmari method’ atau kaedah KonMari. Wanita berasal dari Jepun ini mula mencetuskan fenomena dunia dengan falsafah, teori, dan teknik mengemas dan menyusun barangan di dalam rumah yang unik dan boleh dikatakan sangat berkesan untuk dipraktikkan. Bukunya yang bertajuk ‘The Life-Changing Magic of Tidying’ telah terjual lebih dari 6 juta unit di lebih 30 buah negara, telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa, dan juga menjadi Bestseller di negara-negara seperti Jepun, United States, United Kingdom, dan Jerman.

Apa yang hebat sangat dengan kaedah KonMari ini?

Jawapan mudah, sebab ia berkesan dan sangat berpengaruh! Cari saja ‘#konmari’ di laman-laman sosial dan anda boleh baca sendiri pengalaman positif orang-orang yang mencuba sendiri teknik mengemas yang di ajar dalam kaedah KonMari ini.

Di Facebook.

Di Instagram.

Di Twitter.

Sampai dah jadi macam jadi satu ‘kegilaan’ pula pada orang ramai untuk kemas rumah! Tapi tak mengapalah, sebab perkara yang baik macam ni memang bagus untuk kita ikut.

Jadi, apa sebenarnya yang Puan Marie Kondo ini ajar dalam ‘KonMarie method’ nya itu?

Antaranya…

Kemas dalam satu masa

Anda kena kemas sekaligus dalam satu masa. Sebab bila kita kemas sikit-sikit lepas tu pula sekejap-sekejap, memang susah untuk nak jadi “betul-betul kemas”. Ada kemungkinan besar yang semua barang-barang yang kita kemas tu boleh jadi bersepah balik semula.

Kemas ikut kategori

Kemas barang ikut kategorinya dan bukan ikut bilik atau kawasan. Barang-barang dalam rumah kita sebenarnya boleh disusun kepada beberapa kategori, ikut turutan yang penting.

  1. Pakaian
  2. Buku-buku
  3. Kertas dokumen
  4. Komono (barang-barang lain)

Barang-barang tersebut boleh berada di mana-mana saja dalam rumah. Jadi anda kena kumpulkan semua yang ada ikut kategori dan kumpul pada satu tempat. Dengan cara ini anda boleh nampak sendiri berapa banyak barang-barang yang anda ada, terutama sekali pakaian. Dalam buku ini beliau terangkan cara nak susun barang ikut kategori dan sub-kategori dengan jelas dan terperinci lagi.

Buang vs Gembira

Biasanya bila kita mengemas rumah, kita akan tumpu pada barang apa yang kita dah tak nak guna lagi dan boleh dibuang. Tapi dalam kaedah KonMari, kita diajar supaya fokus pada barang-barang yang boleh bagi kita gembira dan rasa ceria.

Bagaimana caranya?

Ambil satu barang, kemudian tanya pada diri sendiri, “Adakah barang ini boleh buat aku gembira dan ceria?”. Jika anda jawab YA, anda boleh simpan barang itu. Jika TIDAK, anda boleh singkirkan barang tersebut dengan cara buang, derma, atau berikannya kepada orang lain.

Rasa ‘gembira’ anda itu bertindak sebagai ‘penapis’ yang efektif supaya anda tak buang barang dengan sewenang-wenangnya, tapi pada masa yang sama hanya barang-barang yang boleh buatkan anda gembira dan ceria saja yang perlu berada dalam rumah anda.

Barang-barang yang hendak disingkirkan itu perlu diuruskan terlebih dahulu sebelum anda mulakan mengemas barang-barang yang anda mahu simpan.

Bila mula mengemas, mulakan dengan tertib. Contohnya jika anda nak kemas pakaian, mulakan dengan pakaian atas seperti t-shirt, kemeja, blaus, kemudian pakaian bawah seperti seluar, kain sarung, skirt, dan seterusnya.

Teknik lipat dan susun pakaian

Jika biasanya kita lipat pakaian dan pakaian itu diletakkan mendatar atas lantai kemudian disusun pula secara berlapis-lapis dengan pakaian-pakaian yang lain, lain pula caranya dalam kaedah KonMari ini. Pakaian dilipat supaya boleh tegak berdiri!

Macam mana caranya dan apa faedahnya? Susah nak terangkan dengan tulisan, jadi apa kata anda tonton video di bawah ini.

Ya. Bila anda boleh buat lipatan pakaian anda “berdiri”, anda boleh susun semua semua pakaian anda dari kiri ke kanan atau dari depan ke belakang. Anda boleh nampak semua pakaian anda dengan sekali pandang saja.

Cara ini nampak lebih kemas berbanding susunan berlapis-lapis dari bawah ke atas. Lebih senang juga untuk tarik keluar mana-mana pakaian yang anda mahu pakai.

Selain dari gunakan laci, anda juga boleh gunakan kotak-kotak kecil untuk letak dan susun pakaian anda itu.

Rumah yang kemas dan teratur pastinya akan buatkan sesiapa saja berasa tenang dan selesa bila berada didalamnya. Seharian penat bekerja, ketika sampai saja di rumah, sedap mata bila tengok ruang tamu dalam keadaan yang kemas, tersusun, dan teratur. Begitu juga bila masuk ke dalam bilik. Malah seluruh rumah dalam keadaan yang sama eloknya. Semua barang tersusun pada tempatnya.

Jika anda seorang yang suka mengemas rumah, kaedah KonMari ini pastinya akan buatkan kerja-kerja mengemas anda lebih berkesan dan efektif lagi. Bagi yang baru mula nak belajar kemas rumah, anda juga boleh praktikkan kaedah ini. Buku-buku daripada Marie Kondo boleh didapati di kedai-kedai buku terdekat seperti di MPH, Kinokuniya, dan lain-lain lagi.

Tajuk-tajuk buku dari Marie Kondo:

  • The Life-Changing Magic of Tidying: A Simple, Effective Way to Banish Clutter Forever
    (ISBN: 9780091955106)
  • Spark Joy: An Illustrated Master Class on the Art of Organizing and Tidying Up
    (ISBN: 9781785040481)
  • Spark Joy: An Illustrated Guide to the Japanese Art of Tidying
    (ISBN: 9781785041020)
 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *