Saya masih ingat lagi semasa belajar di Jepun hampir 20 tahun lalu, saya selalu pesan bekalan makanan halal secara atas talian. Daging ayam, daging lembu, sosej, dan lain-lain boleh didapati dengan mudah kerana ada pembekal makanan halal di sana.
Saya suka pesan dari sebuah kedai di Tokyo, sebab ada macam-macam produk makanan halal di situ. Ada kicap, rempah, dan juga pelbagai produk dari Malaysia.
Tokyo terletak lebih 650km dari tempat saya di Tokushima. Tetapi dengan khidmat penghantaran yang sangat cepat di negara matahari terbit sana, jika pagi hari ini saya buat pesanan, esoknya barang-barang akan sampai di rumah saya dengan keadaan daging yang masih beku.
Pada masa itu di Jepun, pemasaran dan sistem jualan menggunakan internet sudah pun dipraktikkan secara meluas. Tambahan pula, sistem penghantaran yang cepat membolehkan saya sebagai pembeli menerima barang makanan dalam keadaan yang elok.
Saya pernah terfikir, nanti apabila saya sudah balik ke Malaysia, bolehkah saya pesan makanan sejuk beku sebegini dari jauh? Manalah tahu, nanti ada makanan yang sedap dari tempat lain yang saya ingin beli.
Syukur, perkembangan teknologi dan logistik di Malaysia semakin lama semakin mantap. Saya pun baru sahaja “terjebak” dalam perniagaan makanan. Saya akan kongsikan sedikit sebanyak apa yang saya tahu dan pengalaman saya berniaga makanan secara atas talian.
Artikel ini agak panjang, jadi mungkin anda mahu simpan dahulu untuk rujukan kemudian.
Dengan internet, peniaga makanan di Malaysia boleh pergi lebih jauh
Sekarang semua orang pegang telefon pintar yang siap dengan akses internet. Pengguna pula ‘semakin malas’ mahu keluar membeli makanan. Nasi ayam untuk makan tengah hari dan pisang goreng untuk minum petang pun kalau boleh mahu orang hantarkan. Pilih sahaja dalam aplikasi telefon pintar, kemudian bayar. Tak lama nanti makanan pun sampai.
Kemudahan perkhidmatan pesanan makanan dan penghantaran barang semakin hari semakin baik. Ini adalah satu peluang besar untuk peniaga-peniaga makanan meng-online-kan bisnes mereka.
Saya sudah dua kali membeli kuih-muih sejuk beku dari Rozeriya Enterprise di Kuala Krai, Kelantan, perniagaan milik sahabat saya. Beliau selalu kongsikan tentang produk kuih-muihnya di Facebook (FB).
Produk kuih-muih mereka dijual secara atas talian dalam bentuk sejuk beku di portal beli belah Shopee Malaysia. Kuih-muih yang saya pesan sampai di rumah saya di Banting, Selangor, dalam keadaan elok, sehari selepas saya memesannya.
Baru-baru ini pula, isteri saya menceburi perniagaan makanan secara home-biz. Saya cuma bantu dari segi pemasaran dan sistem jualan. Kadang-kadang jadi tukang hantar. Dengan memfokuskan makanan Indonesia yang siap dimakan, kami menggunakan beberapa media atas talian untuk pemasaran dan jualan.
Pada mulanya kami mahu fokus di kawasan sekitar Banting sahaja. Tetapi ada sahabat-sahabat kami di bandar-bandar yang jauh seperti Kajang, Klang, dan Shah Alam, yang terlihat hebahan kami dan teringin merasa makanan Indonesia yang kami buat. Jarak penghantaran sekitar 1 hingga 2 jam, jadi kami gunakan servis penghantaran on-demand.
Mulakan pemasaran di media sosial Facebook
Hampir semua orang ada akaun Facebook peribadi. Sehingga Jun 2021, lebih 28 juta orang di Malaysia menggunakan Facebook. Jumlah ini adalah kira-kira 85% daripada populasi di negara ini.
Rugilah kalau kita tak gunakan FB sebagai media untuk berniaga!
Mula-mula, kongsikan dahulu di FB peribadi kita sendiri tentang produk makanan yang kita jual. Apabila saudara-mara dan sahabat-sahabat kita tahu, pasti ada yang akan sokong kita. Kalau dekat, mereka pasti akan beli. Mereka yang jauh pun akan rasa teringin, lalu cuba mencari cara supaya boleh menikmati produk makanan kita.
Carilah laman-laman Facebook Group tempat anda dan beriklanlah di sana. Kalau di Banting ini, saya akan masuk ke FB Group seperti Banting, Banting Ku, dan Bazaar Makanan Online Banting, untuk menghebahkan produk-produk makanan kami.
Sebelum ini pun, saya dan isteri selalu melayari laman-laman FB Group ini jika teringin makan sesuatu. Apabila tertarik dengan sesuatu makanan yang diiklankan, kami pun terus memesannya. Jadi, produk makanan kami pun tentu ada peluang untuk dijual dengan cara beriklan dalam Facebook Group seperti ini.
Paling baik ialah buatkan laman Facebook Page rasmi untuk perniagaan makanan kita, bukannya sentiasa bergantung dengan akaun FB peribadi. Walaupun anda berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan atau jual minuman dengan food truck, buatlah laman FB Page. Jadikan ia satu identiti perniagaan kita.
Kami buat satu laman Facebook Page Warung Siomay Bandung. Di situ, kami kongsikan segala info tentang produk, perkembangan semasa, tip, dan idea tentang makanan, bagi menarik pengikut. Apabila kita banyak berkongsi, warganet akan jadi suka dan mengikuti FB Page kita.
Selain Rozeriya Enterprise, ada lagi sahabat-sahabat saya dari zaman universiti dahulu yang lebih “otai” dalam perniagaan makanan makanan. Ada yang mempunyai restoran dengan beberapa cawangan, ada yang beroperasi dengan food truck, dan ada juga yang home-biz seperti kami. Mereka semua gunakan Facebook Page sebagai salah satu media pemasaran perniagaan mereka.
- Samurai Kitchenz – ayam golek, nasi ayam dan macam-macam menu
- The Big Lamb – daging kambing perap, kepak ayam perap dan daging arnab perap
- Doplohtiga – burger dan makanan barat level premium
- Little Nana’s Kitchen – sushi dan makanan Jepun lain
Kami pun turut belajar daripada Facebook Page mereka dengan cara melihat bagaimana ayat-ayat jualan, gambar-gambar yang digunakan, dan cara mereka menarik perhatian warganet.
Selain Facebook, anda juga boleh gunakan media sosial yang lain seperti Instagram dan Tiktok. Mungkin ia sesuai dengan produk makanan anda. Kedua-dua media ini banyak digunakan oleh orang-orang muda. Dengan menggunakan kedua-dua platform ini, cubalah tarik minat golongan ini untuk mereka rasa produk makanan anda.
Gunakan khidmat penghantaran makanan yang sesuai
Sekarang sudah ada banyak syarikat perkhidmatan penghantaran makanan. Antaranya:
Anda boleh gunakan platform yang disediakan oleh syarikat-syarikat ini untuk menjual makanan di kawasan masing-masing.
Daftarkan perniagaan makanan anda sebagai vendor dengan syarikat-syarikat ini. Setelah berjaya menjadi vendor nanti, menu makanan kita akan disenaraikan dalam platform mereka. Khidmat penghantaran disertakan sekali, kerana syarikat-syarikat ini menyediakan rider penghantar makanan bermotorsikal.
Syarikat-syarikat ini bersaing antara satu sama lain bagi memberikan perkhidmatan terbaik. Mereka juga membantu perniagaan kita dari segi pengiklanan dan sistem pesanan.
Kami sudah pun menjadi vendor dengan Foodpanda. Di kawasan kami, perkhidmatan Foodpanda boleh dikatakan yang terbesar berbanding yang lain.
Dalam setiap platform yang saya nyatakan di atas, tentu ada bahagian yang menerangkan tentang cara-cara bagaimana menjadi vendor mereka. Cuba cari, baca, dan fahami penerangan yang disediakan ini. Jika ada bahagian yang tak difahami, cuba hubungi khidmat pelanggan mereka.
Saya kongsikan cara macam mana nak daftar sebagai vendor penjual makanan di Foodpanda. Jom tonton video pendek ini.
Selain itu, ada antara mereka yang sudah menjadi vendor kepada platform-platform ini yang berkongsi pengalaman mereka di blog, FB peribadi, dan FB Group. Cubalah cari informasi-informasi ini, dan jika boleh, korek sebanyak mungkin pengetahuan dan pengalaman mereka tentang berniaga makanan dalam platform berkenaan.
Ada juga FB Group yang dibuat untuk vendor-vendor berkongsi pelbagai tip dan mengadu masalah. Rajin-rajinlah bersosial sesama peniaga lain di alam maya.
Saya juga sedang cuba usahakan untuk menjadi vendor kepada syarikat-syarikat lain. Halo Food sedang berkempen menarik vendor-vendor makanan di Banting menyertai mereka. Shopee Food pula akan bermula tidak lama lagi di Lembah Klang, yang mana peniaga di tempat lain juga boleh mendaftar. Apabila ramai peniaga dari satu tempat yang sama mendaftar, mereka akan datang ‘menakluk’ kawasan itu. BungkusIt pula setakat ini menyediakan penghantaran dengan jarak paling jauh sehingga 500km.
Kalau ada banyak peluang tersedia, kenapa tidak kita cuba sebanyak yang mungkin?
Gabungan laman web mini dan aplikasi Whatsapp yang sangat memudahkan
Peniaga-peniaga makanan yang beriklan di Facebook kebanyakannya menggunakan Whatsapp untuk mengambil pesanan. Pelanggan akan bertanya tentang menu, harga dan cara penghantaran, kemudian peniaga akan membalasnya. Setiap satu perkara kena diterangkan.
Kadang-kadang peniaga kena habiskan banyak masa untuk melayan pelanggan di Whatsapp, sedangkan ada banyak lagi kerja lain yang perlu disiapkan.
Kalaulah ada satu sistem yang boleh memudahkan jual-beli di Whatsapp…
Ya, ada! Setakat ini saya sudah temui sistem yang disediakan oleh Yezza dan Wasep.me.
Kedua-dua sistem ini membolehkan peniaga membina laman web ringkas untuk menyenaraikan menu dan harga. Kemudian, pelanggan boleh terus buat bayaran melalui laman web tersebut. Sistem ini juga boleh menggabungkan peniaga dengan perkhidmatan penghantaran oleh Lalamove. Jika peniaga ada buat penghantaran sendiri atau untuk pelanggan datang ambil, boleh juga diaturkan dalam sistem ini.
Jadi, dengan melayari laman web menu ini, pembeli sudah boleh tahu senarai makanan yang tersedia, harganya, maklumat penghantaran, dan boleh terus buat bayaran. Manakala bagi peniaga pula, boleh terus dapat tahu menu apa yang dipesan. Maklumat bayaran pula akan dihantar oleh sistem.
Sistem yang dibina oleh Yezza dan Wasep.me ini boleh dikatakan serupa. Bagi saya, ia adalah sistem yang hebat dan memudahkan urusan. Kami masih cuba menggunakan kedua-duanya buat masa ini. Ia memang mudah digunakan dan kami harap ia boleh membantu perniagaan kami.
Perkhidmatan penghantaran on-demand dan pesanan jarak jauh
Jika peniaga sendiri yang mahu menghantar pesanan pelanggan, biasanya cuma dapat dibuat dalam jarak yang dekat sahaja. Kalau peniaga sendiri mahu menghantar ke tempat yang jauh, akan mengganggu kerja-kerja yang lain pula, dan mungkin tak berbaloi dari segi caj penghantaran.
Selain menghantar sendiri atau menggunakan perkhidmatan pesanan makanan atas talian seperti Foodpanda, Grab Food, dan lain-lain, peniaga boleh bersedia dengan perkhidmatan penghantaran on-demand. Ini sangat berguna bagi penghantaran jarak jauh atau jika mendapat pesanan yang besar.
Anda boleh gunakan servis rider penghantar barang yang bekerja sendiri. Biasanya mereka akan mengiklankan perkhidmatan mereka di laman media sosial seperti Facebook.
Untuk lagi mudah, anda boleh terus gunakan perkhidmatan penghantaran on-demand yang disediakan oleh syarikat-syarikat ini:
Perkhidmatan syarikat-syarikat ini bukanlah khusus untuk penghantaran makanan. Kita boleh hantar apa sahaja barangan dan bungkusan.
Peniaga boleh daftar di laman web mereka sebagai pembekal yang mahu menghantar barang. Gunakan aplikasi atau laman web mereka jika memerlukan perkhidmatan penghantaran. Boleh tetapkan waktu atau mahu panggil sekarang juga.
Jika pek makanan itu kecil dan tidak banyak, bolehlah pilih rider motosikal. Tetapi jika ada banyak pek makanan atau bungkusan besaiz besar, lebih baik pilih penghantar berkereta.
Baru-baru ini, saya menggunakan khidmat 2 orang penghantar Lalamove untuk menghantar pesanan makanan ke Bandar Baru Bangi, Kajang, Kapar, dan Shah Alam.
Seorang menghantar 5 pesanan ke Kapar dan Shah Alam, dan seorang lagi menghantar 10 pesanan ke Bandar Baru Bangi dan Kajang. Dalam masa kurang dari 2 jam, semua pelanggan sudah terima pesanan makanan mereka.
Pembungkusan dan perkhidmatan kurier untuk penghantaran jarak jauh
Banyak jenis produk makanan sesuai untuk disejukbekukan. Tahukah anda yang makanan sejuk beku pun boleh dihantar ke tempat yang jauh?
Peniaga boleh cuba gunakan perkhidmatan syarikat kurier J&T Express. Bagi memastikan bungkusan sampai pada keesokan hari, pilih servis Next Day Delivery.
Produk makanan mesti disejukbekukan dahulu betul-betul sebelum dibungkus dan dimasukkan ke dalam bekas polisterin, kemudian ditambahkan pek ais supaya boleh tahan sejuk lebih lama dalam perjalanan jauh. Pastikan bekas polisterin dibungkus dengan rapi.
Sahabat saya, pengusaha Rozeriya Enterprise, sudah buktikan. Saya pesan pagi semalam, hari ini sampai dalam keadaan produk masih sejuk. Jadi, tidak ada alasan lagi tidak boleh menghantar makanan dan kuih-muih ke tempat yang jauh.
Kini semua makanan boleh terbang
Katakanlah pada suatu masa nanti, cerita tentang kelazatan makanan anda sudah tersebar ke seluruh negara. Di media sosial, warganet berkongsi testimoni yang bagus tentang nasi dagang anda yang berada di Kuala Terengganu.
Tiba-tiba ada seseorang di Kuala Lumpur yang sudah lama tidak balik ke kampung halamannya di Terengganu, yang terlalu rindukan masakan asli Terengganu. Dia terbaca di internet tentang betapa sedapnya nasi dagang anda. Keinginannya tak dapat ditahan-tahan lagi, lalu dia memesan 100 bungkusan nasi dagang. Bolehlah dinikmati bersama keluarga sambil diberikan kepada jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya. “Mahu bersedekah,” niat dalam hatinya.
Tidak sesuailah jika mahu hantar nasi dagang dalam bentuk sejuk beku atau hantar bahan mentah sahaja untuk dimasak sendiri. Kenalah hantarkan nasi dagang itu panas-panas seberapa cepat yang boleh.
Anda boleh gunakan perkhidmatan kargo udara yang disediakan oleh syarikat penerbangan Firefly. Penghantaran boleh dibuat dari lapangan terbang ke lapangan terbang, bermula dari berat 2kg dengan caj dari RM50 sahaja.
Bungkuskan nasi dagang anda dengan kemas dan rapi supaya tidak mudah terbuka. Masukkan dalam kotak polistrin dan bungkuskan dengan kotak atau balutan plastik supaya lebih tahan. Dalam masa lebih kurang 3 jam pelanggan anda akan terima nasi dagang yang masih panas di lapangan terbang di Subang.
Kalau setakat ini, yang paling jauh saya pernah hantar makanan siap dimakan ialah ke Kapar dan Kajang, dalam masa lebih kurang 1 jam. Pada masa akan datang, tidak mustahil pelanggan-pelanggan yang lebih jauh lagi akan memesan.
Tidak ada perniagaan yang terlalu kecil, tidak ada jarak penghantaran yang terlalu jauh.
Nama-nama syarikat penyedia perkhidmatan yang disebutkan tadi cuma sebagai contoh. Mungkin tidak semua perkhidmatan ini ada di tempat kita. Mungkin juga ada perkhidmatan yang ada di tempat kita, tetapi liputannya tidak sampai ke tempat lain.
Buatlah kajian dahulu, syarikat mana yang sesuai untuk perniagaan makanan kita. Ambil kira juga dari segi kosnya, supaya pelanggan kita tidak terbeban dengan harga yang mahal.
Semuanya boleh diuruskan asalkan kita sebagai peniaga tahu mencari cara dan pelanggan pula sanggup membayar kosnya.
Kalau produk makanan kita sudah sampai membuatkan mereka teringat-ingat, duduk pun jadi serba tak kena, makan benda lain pun sudah rasa tidak sesedap makanan daripada kita, maka kos penghantaran yang mahal pun mungkin tidak menjadi masalah buat mereka.
Dapat menikmati produk makanan yang kita hasilkan, itu lebih penting bagi mereka.
Kita pula sebagai peniaga, sentiasalah mencari cara agar perniagaan kita bukan sahaja mampu bertahan, tetapi boleh berkembang. Hasilkanlah produk makanan yang paling baik sekali kualitinya.
Apabila pelanggan puas hati dan ramai yang selalu beli, itu tandanya perniagaan kita diberkati.
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.
Ada juga sistem alternative hantar order ke WhatsApp iaitu orderla.my ( https://orderla.my )