Dalam kehidupan seharian kita pasti akan gunakan matematik, sama ada untuk mengira atau membuat macam-macam operasi matematik.
Bagi kebanyakan orang biasa, operasi paling asas yang biasa digunakan sehari-hari sudah tentu adalah campur, tolak, darab, dan bahagi.
Bagi jurutera, akauntan, arkitek, pengaturcara komputer, dan ramai lagi profesional dalam bidang-bidang tertentu, mereka ada set-set operasi matematik tertentu yang mereka gunakan dalam kerja-kerja mereka.
Pernahkah anda terfikir daripada mana datangnya simbol-simbol matematik yang biasa digunakan sekarang ini?
Kita ambil contoh simbol “sama dengan”, iaitu “=”.
Simbol = ini diperkenalkan oleh seorang ahli matematik bernama Robert Recorde yang hidup pada kurun ke 16.
Semasa beliau menulis bukunya bertajuk “The Whetstone of Witte” yang berkaitan dengan algebra, beliau menjadi bosan apabila perlu menulis perkataan “is equal to” (sama dengan) berulang-ulang kali.
Penyelesaiannya?
Beliau menggantikan perkataan tersebut dengan dua garisan mendatar yang selari, kerana melalui pengamatannya tentang simbol itu, tiada dua benda yang boleh jadi lebih sama.
Semakin lama semakin ramai ahli matematik yang menggunakannya, dan lama-kelamaan simbol ini menjadi simbol yang standard untuk “sama dengan” atau “persamaan”.
Bagaimana pula dengan simbol tambah, “+” ?
Simbol ini berasal dari ringkasan perkataan Latin “et”, yang membawa maksud “dan”.
Lain pula kesnya dengan operasi faktorial, yang mana ahli matematik bernama Christian Kramp secara suka-suka memperkenalkan simbol “!” untuk operasi faktorial, hanya sebab beliau mahukan satu ringkasan untuk mudah menulis operasi matematik tersebut!
Simbol-simbol matematik ini kebiasaannya diambil dari abjad-abjad Latin atau Greek.
Hakikatnya, semua simbol-simbol matematik yang kita gunakan sekarang ini adalah kerana ahli-ahli matematik zaman dahulu mahukan cara mudah yang boleh mudahkan mereka daripada menulis perkataan-perkataan yang sama berulang-ulang kali.
Maknanya, daripada menulis seperti ini;
lapan darab satu bahagi dua tambah tiga tolak lima sama dengan dua
Kita hanya perlu menulis seperti ini;
8 × 1 ÷ 2 + 3 – 5 = 2
Senang kerja!
Nak tahu lagi, tonton video di bawah ini.
Sumber: TED Ed
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.