Hampir semua sukan permotoran mengandungi hentian pit. Hentian pit adalah situasi di mana kereta lumba perlu berhenti seketika semasa perlumbaan untuk diservis atau menjalani pembaikan jika terdapat kerosakan. Ini untuk menjamin perlumbaan yang lebih lancar dan mendapatkan catatan masa yang lebih konsisten. Secara umumnya setiap hentian pit akan ada prosedur menukar tayar dan pembaikan jika terdapat kerosakan.

F1 merupakan sukan yang memerlukan kecekapan yang tinggi dari segi strategi, kecekapan pemandu, dan semestinya hentian pit yang pantas. Rekod dunia dalam hentian pit di F1 sudah dipecahkan dua kali dalam dua perlumbaan sebelum ini oleh pasukan Red Bull iaitu 1.91 saat pada Silverstone GP dan 1.88 saat semasa GP di Austria. Hentian pit yang secepat itu mesti dilaksanakan dengan krew yang ramai dan berkebolehan.

Dalam setiap hentian pit mesti mengandungi 21 orang krew keseluruhannya dan setiap dari mereka mempunyai tugas yang khusus bagi memastikan prosedur yang pantas itu dapat dilaksanakan dengan lancar. Berikut merupakan tugas setiap krew dalam pit;

  • 4 orang – penukar tayar.Mereka menggunakan sepana lug yang berkuasa tinggi untuk menanggalkan lug tayar pada tayar yang lama dan menyambungkannya semula pada tayar yang baharu.
  • 8 orang – pembawa tayar. 4 daripada mereka ditugaskan untuk mengeluarkan tayar yang lama daripada suspensi kereta manakala 4 lagi ditugaskan untuk memasukkan tayar yang baru ke suspensi kereta F1 tersebut.
  • 2 orang – penstabil. Mereka ditugaskan untuk menstabilkan kereta agar tidak bergoyang supaya prosedur hentian pit dapat dijalankan dengan lancar.
  • 2 orang –  orang jek. Mereka dibekalkan dengan jek setiap seorang dan ditugaskan untuk mengangkat kereta agar prosedur pit dapat dijalankan dengan lancar. Ada seorang jek di depan dan lagi seorang di belakang. Orang yang memegang jek di hadapan perlu mempunyai keberanian yang tinggi apabila melihat kereta yang bergerak pada 80 km/j bergerak ke arah anda. Terdapat juga sesetengah kemalangan melibatkan orang di jek depan ini

 

  • 2 orang – mereka ditugaskan untuk membersihkan segala elemen asing daripada sayap depan kereta. Mereka juga akan membetulkan susut sayap tersebut berdasarkan pilihan pemandu.

Terdapat juga krew pit yang tidak terlibat secara langsung dalam hentian pit seperti;

  • 1 orang – sentiasa dengan pemadam api. Sebagai langkah berjaga-jaga.
  • 1 orang – untuk menghidupkan semula kereta sekiranya kereta itu mati tiba-tiba
  • 1 orang – sebagai orang yang memberi air setelah habis prosedur hentian pit

Rutin hentian pit yang sangat pantas dan memerlukan konsistensi semestinya memerlukan krew pit yang berada dalam tahap terbaik.Kesemua 21 krew ini semestinya memerlukan latihan yang sangat ketat dan banyak. Selalunya terdapat berpuluh latihan pit yang akan dilaksanakan semasa sesi latihan bebas. Ini demi memastikan hentian pit dapat dijalankan dengan lancar dan mampu membantu pasukan ke arah kemenangan.

Terdapat beberapa situasi yang membuatkan perlumbaan sesuatu pasukan itu menjadi sangat teruk disebabkan hentian pit yang kurang kemas. Sebagai contoh, seorang krew pit pasukan Scuderia Ferrari terpaksa direhatkan selama kira-kira lima bulan setelah terlibat dalam kemalangan semasa melakukan hentian pit bagi kereta Kimi Raikonen semasa GP Bahrain 2018 sehingga menyebabkan pemandu itu juga terpaksa dikeluarkan daripada perlumbaan kerana tayarnya yang longgar akibat kemalangan tersebut.

Selain itu, ada juga situasi apabila krew pit yang kurang peka sehingga menghancurkan perlumbaan. Semasa GP Hockenheim, Jerman baru-baru ini, kereta nombor 44 yang dipandu Lewis Hamilton mengalami kerosakan pada sayap depan hasil daripada keadaan yang amat buruk ketika itu dan Lewis terus menuju ke pit dan krew beliau yang tidak peka menjadi kelam kabut. Hentian yang sepatutnya hanya selama 2-3 saat menjadi 50 saat dan menyebabkan Lewis jatuh kedudukannya.

Oleh itu hentian pit menjadi satu elemen yang sangat penting dan perlu dimanfaatkan oleh setiap pasukan untuk mencapai kejayaan dalam setiap perlumbaan. Strategi yang digunakan melibatkan hentian pit ini sangat kompleks, ia bergantung kepada konsistensi dan nasib yang baik serta kemahiran yang mantap. 

 

Rujukan: WTF1Formula1, Wikipedia

Imej paparan artikel dari @KCas via Twenty20

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.