Bertenang, minumlah secawan kopi. Ia mengandungi banyak kebaikan, salah satunya boleh mengurangkan risiko bunuh diri.

Menurut kajian yang telah dibuat di Amerika Syarikat oleh penyelidik di Harvard School of Public Health, meminum dua hingga empat cawan kopi berkafein setiap hari boleh mengurangkan risiko bunuh diri sekitar 50 peratus bagi lelaki dan wanita. Kajian itu diterbitkan pada 2 Julai 2013 di dalam The World Journal of Biolog Psychiatry.

Kajian ini dibuat merangkumi lebih daripada 200,000 responden orang dewasa yang diperhatikan sepanjang tempoh 20 tahun dengan membandingkan risiko bunuh diri bagi orang dewasa yang meminum kopi berkafein dengan bukan peminum kopi, yang kurang minum kopi setiap hari, dan mereka yang memilih kopi tanpa kafein.

Pengambilan kopi berkafein dan tanpa kafein oleh para responden dinilai setiap empat tahun. Penggunaan kafein dihitung dari kopi dan sumber lain termasuk teh, minuman ringan berkafein dan coklat. Daripada keseluruhan kajian ini, terdapat 277 kes kematian akibat bunuh diri.

Kafein yang terkandung di dalam kopi bertindak sebagai antidepresan dengan merangsang sistem saraf pusat untuk meningkatkan pengeluaran neurotransmitter seperti serotonin, dopamine, dan noradrenalin di dalam otak.

Neurotransmitter inilah yang menjadikan ‘sel-sel otak berhubung’, ia adalah bahan kimia penting yang membawa isyarat dari satu sel otak ke satu sel otak yang lain. Ini boleh menaikkan mood baik peminum kopi lalu dapat mengurangkan depresi ataupun kemurungan.

Penemuan ini dikaitkan dengan kajian yang telah dibuat sebelumnya pada tahun 2011 yang mendapati bahawa wanita yang meminum kopi menunjukkan  penurunan 20% risiko untuk mengalami kemurungan berbanding dengan bukan peminum kopi.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa terdapat manfaat yang lain lagi dengan pengambilan melebihi dua hingga tiga cawan sehari atau 400 mg kafein sehari. Walaupun penemuan menunjukkan hasil yang sangat baik tentang kopi, kajian ini juga menasihatkan agar orang dewasa tidak meningkatkan pengambilan kafein apabila mengalami tekanan. Ini kerana pengambilan kafein yang berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan lain yang tidak baik.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.