Kopi adalah minuman kegemaran ramai orang di seluruh dunia. Terdapat pelbagai jenis citarasa kopi yang dapat dinikmati oleh para penggemarnya.Menurut pakar pemakanan, dianggarkan sebanyak 2.25 billion cawan kopi diminum orang di seluruh dunia setiap hari.
Apabila hendak meminum kopi, biasanya anda fikirkan kemampuannya sebagai penggalak tenaga. Tetapi tahukah anda, menurut kajian, kopi juga dapat memberikan banyak manfaat kepada kesihatan kita.
Kopi mengandungi banyak nutrien baik untuk tubuh badan manusia. Di antara nutrien ini termasuklah riboflavin (vitamin B-2), niasin (vitamin B-3), magnesium, kalium dan sebatian polifenol iaitu sejenis antioksidan. Antioksidan dapat membantu menyingkirkan radikal bebas dari tubuh badan kita, iaitusejenis produk buangan yang dihasilkan oleh tubuh secara semula jadi.
Walaupun ia membawa kebaikan, terlalu banyak meminum kopi bermakna anda mengambil kafein yang tinggi, yang kemudiannya akan menimbulkan kesan sampingan yang tidak elok, malah boleh jadi berbahaya. Lebih-lebih lagi bagi individu yang tidak biasa dengan minuman berkafein, mungkin mengalami gejala setelah mengambilnya walaupun dalam kadar sederhana.
Penyelidikan tentang kopi masih berterusan dijalankan sehingga kini. Berikut adalah kesan positif dan negatif meminum kopi yang telah ditemui oleh para pengkaji dan penyelidik.
Kesan positif meminum Kopi
+ Meningkatkan prestasi fizikal
Dengan meminum secawan kopi kira-kira sejam sebelum bersenam, prestasi anda meningkat sebanyak 12%. Kafein yang terkandung di dalam kopi meningkatkan paras adrenalin di dalam darah. Adrenalin ialah sejenis hormon yang membantu anda mempersiapkan diri untuk melakukan aktiviti fizikal.
+ Membantu membakar lemak dan mengurangkan berat badan
Kafein membantu memecahkan sel-sel lemak dan menggunakannya sebagai tenaga untuk aktiviti anda. Sementara magnesium dan kalium yang juga terkandung di dalam kopi membantu tubuh manusia menggunakan insulin, mengatur kadar gula dalam darah dan mengurangkan keinginan anda untuk makanan manis dan makanan ringan.
+ Membantu untuk fokus
Pengambilan kafein secara sederhana sekitar 1 hingga 6 cawan sehari membantu anda untuk fokus (memberi tumpuan) dan meningkatkan kewaspadaan mental anda.
+ Menajamkan daya ingatan
Kafein juga dapat meningkatkan ketajaman daya ingatan dengan merangsang otak untuk mengingat suatu perkara yang anda telah lupa.
+ Melindungi jantung
Meminum kopi boleh melindungi anda dari kegagalan jantung. Orang yang minum kopi dalam jumlah sederhana setiap hari mempunyai risiko kegagalan jantung 11% lebih rendah daripada mereka yang tidak minum kopi.
+ Menceriakan mood dan membantu melawan kemurungan
Kafein merangsang sistem saraf pusat dan meningkatkan pengeluaran neurotransmitter seperti serotonin, dopamine, dan noradrenalin, yang menaikkan mood anda. Meminum dua cawan kopi sehari membantu anda melawan kemurungan. Daripada hasil kajian, minum kopi boleh mencegah keinginan untuk bunuh diri sebanyak 50%.
+ Membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit
Nutrien dan kafein yang terkandung di dalam kopi membantu mengurangkan risiko barah hati, sakit jantung, parkinson, diabetes jenis 2, alzheimer dan demensia.
Kesan negatif meminum kopi
Berikut adalah beberapa kesan yang disebabkan oleh pengambilan kafein yang berlebihan.
– Keresahan (anxiety)
Pengambilan kafein yang tinggi sebanyak 1000mg atau lebih setiap hari akan menyebabkan gangguan kegelisahan dan kegugupan. Risiko paling besar kesan kafein ini terutamanya di kalangan orang yang mengidap gangguan panik (panic disorder) dan gangguan keresahan sosial (social anxiety disorder). Pengambilan yang sederhana juga boleh menyebabkan kesan gangguan yang serupa pada individu yang sensitif terhadap kafein.
Pengambilan dalam kadar sedikit dan sederhana boleh membantu meningkatkan kewaspadaan (alert). Oleh sebab pengambilan yang banyak boleh mendatangkan masalah, anda perlu memantau sendiri tahap pengambilan yang badan anda boleh terima.
– Gangguan tidur (insomnia)
Keupayaan kafein untuk membantu anda berjaga malam adalah salah kemudahan. Sebaliknya, terlalu banyak kafein boleh menyusahkan anda. Ini kerana pengambilan kafein yang tinggi menyebabkan anda susah untuk tidur dan kekurangan waktu tidur.
Kafein berada di dalam badan anda dalam jangka masa 90 minit hingga 9 jam, bergantung kepada individu, dengan purata 5 jam.
Kafein boleh membantu anda berjaga pada waktu siang, tetapi boleh memberi kesan negatif kepada masa dan kualiti tidur anda. Kurangkan pengambilan kafein bermula pada awal petang untuk mengelakkan masalah tidur pada waktu malam.
– Masalah penghadaman
Kafein dapat merangsang pergerakan usus dengan meningkatkan peristalsis, pengecutan yang menggerakkan makanan melalui saluran pencernaan. Kesan julap selepas banyak minum kopi disebabkan oleh pembebasan gastrin, hormon yang dihasilkan oleh perut yang mempercepatkan aktiviti usus besar. Tidak menghairankan sesetengah orang yang banyak minum kopi menyebabkan cirit-birit pada sesetengah orang.
Oleh kerana kopi boleh memberi kesan besar pada fungsi pencernaan, anda mungkin perlu mengurangkan jumlah kopi yang anda minum atau beralih ke minuman lain seperti teh jika anda mengalami masalah.
– Kerosakan otot
Pengambilan kafein berlebihan boleh menyebabkan rhabdomyolysis, iaitu serat otot yang rosak memasuki aliran darah, menyebabkan kegagalan buah pinggang dan masalah lain. Walaupun perkara ini jarang berlaku, masalah ini boleh terjadi dengan pengambilan dos kafein yang sangat besar dalam tempoh yang singkat.
Bagi mengurangkan risiko ini, sebaik-baiknya hadkan pengambilan kopi dalam kadar yang sesuai dengan penerimaan oleh badan anda.
– Ketagihan
Walaupun meminum kopi membawa manfaat kepada tubuh badan, tidak dapat dinafikan kafein yang terkandung di dalamnya boleh menyebabkan ketagihan.
Kajian menunjukkan kafein mencetuskan bahan kimia tertentu di dalam otak manusia, sama seperti kokain. Walau bagaimana pun, ia tidak menyebabkan ketagihan seperti mana mengambil kokain. Kafein tidak menyebabkan ketagihan yang sebenarnya seperti mana dadah, tetapi dengan pengambilan dos kafein yang tinggi dan kerap akan mengakibatkan ketagihan dari segi ketergantungan psikologi atau fizikal.
– Tekanan darah tinggi
Kafein tidaklah meningkatkan risiko penyakit jantung atau strok secara langsung pada kebanyakan orang. Walau bagaimanapun, ia telah terbukti meningkatkan tekanan darah dalam beberapa kajian kerana kesan perangsangnya pada sistem saraf.
Tekanan darah tinggi adalah faktor risiko serangan jantung dan strok kerana boleh merosakkan arteri dari masa ke semasa, menyekat aliran darah ke jantung dan otak anda. Mujurlah kesan kafein pada tekanan darah kelihatan sementara. Tetapi ia mempunyai kesan yang kuat pada orang yang tidak biasa minum kopi.
Pengambilan kafein yang tinggi juga terbukti dapat meningkatkan tekanan darah semasa bersenam pada orang yang sihat dan juga pada mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.
Oleh itu, memperhatikan dos dan masa kafein adalah penting, terutamanya jika anda sudah mempunyai tekanan darah tinggi.
– Degupan jantung laju
Pengambilan kafein yang tinggi merangsang jantung anda bergedup laju. Kesan ini juga dapat menyebabkan rentak degupan jantung berubah-ubah (atrial fibrillation).
Walau bagaimanapun, kesan ini nampaknya tidak berlaku pada semua orang. Malah, sebilangan orang yang mengalami masalah jantung boleh masih boleh menikmati kopi berkafein tanpa mengalami kesan buruk. Cuma ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan pada tubuh badan anda.
Jika anda merasakan ada perubahan pada degupan atau rentak jantung anda setelah minum minuman berkafein, pertimbangkan untuk mengurangkan pengambilannya.
– Keletihan
Kopi, teh dan minuman berkafein lain telah diketahui dapat meningkatkan tahap tenaga. Walau bagaimanapun, ia juga boleh memberi kesan sebaliknya dengan menyebabkan keletihan setelah kafein keluar dari badan anda.
Kafein menyekat reseptor adenosine di dalam otak. Adenosine adalah hormon di dalam otak yang mempengaruhi kitaran tidur. Tahap adenosine meningkat pada waktu bangun tidur dan menurun semasa tidur. Kafein mencegah penurunan adenosine dengan mengikat reseptornya. Apabila kafein sudah habis, adenosine dapat mengikat reseptornya, lalu menyebabkan anda rasa mengantuk.
Ada kajian yang dibuat terhadap 41 peserta yang diberikan minuman tenaga berkafein, mood dan kewaspadaan mereka meningkat selama beberapa jam, tetapi seringkali lebih letih daripada biasa pada hari berikutnya. Ini disebabkan mereka kekurangan tidur.
– Kerap membuang air kecil dan masalah menahannya
Anda mungkin menyedari bahawa anda kerap membuang air kecil setelah anda minum banyak air kopi. Kekerapan membuang air kecil adalah kesan sampingan biasa daripada pengambilan kafein yang tinggi kerana diuretik yang terkandung di dalamnya meransang pundi kencing.
Di samping itu, pengambilan yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko inkontinensia (incontinence) iaitu masalah menahan buang air kecil pada orang yang sihat, tanpa ada masalah pada pundi kencing.
Sekiranya anda minum banyak minuman berkafein dan merasakan anda lebih kerap buang air kecil daripada biasa, ada baiknya anda mengurangkan pengambilan kopi berkafein.
Sebagai kesimpulan, pengambilan kopi berkafein dalam kadar sederhana sudah dibuktikan memberi manfaat kesihatan yang mengagumkan kepada ramai penggemarnya. Walaupun begitu, pengambilan yang sangat banyak dan kerap boleh menyebabkan kesan sampingan yang mengganggu kehidupan seharian, bahkan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Walaupun tindak balas kafein berbeza bagi setiap orang, meminum kopi dalam kadar sederhana adalah cara yang paling terbaik.
Rujukan:
- Health benefits and risks of drinking coffee
- 12 HEALTH BENEFITS AND 6 DISADVANTAGES OF COFFEE – SMASHING IT!
- Is Coffee Good for You?
- Is coffee good or bad for your health?
- The Nutrition Source
- Coffee drinking tied to lower risk of suicide
- 9 Side Effects of Too Much Caffeine
- 20+ Harmful Effects of Caffeine
- Pros And Cons Of Drinking Coffee
- The Advantages and Disadvantages Of Drinking Coffee
- Health benefits and risks of drinking coffee
- Why does coffee make me tired?
- Does Coffee Dehydrate You?
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.