Kesihatan mata anak-anak anda dalam bahaya jika tidak dikawal ‘screen time’ mereka

Budak tengok tablet dalam selimut alert

Sedekad lebih yang lalu, kanak-kanak boleh dilihat banyak menghabiskan masa dengan bermain di luar rumah. Bermain kejar-kejar, pondok-pondok, dan berbasikal dengan kawan-kawan adalah aktiviti yang sangat menyeronokkan bagi mereka pada ketika itu.

Namun kini zaman sudah banyak berubah. Kanak-kanak pada zaman ini menghabiskan masa di dalam rumah dengan gajet masing-masing. Tanyalah anak-anak anda, pastinya mereka sudah advance dengan Facebook, Youtube, dan pelbagai lagi hiburan dan permainan di internet.

Tambahan lagi, peralihan cara pembelajaran dari sekolah ke rumah secara online akibat pandemik COVID-19 juga menyebabkan anak-anak anda menghabiskan banyak masa melihat skrin. Oleh kerana sentiasa berada di rumah sahaja, selepas habis kelas online, bersambung pula dengan permainan game online, atau bersembang dengan kawan-kawan di media sosial.

Maka, anak-anak menghabiskan masa berjam-jam lamanya menatap skrin komputer, tablet, dan telefon pintar. Screen time yang berlebihan ini boleh mempengaruhi kesihatan fizikal kanak-kanak, termasuklah kesan terhadap mata mereka.

Kajian yang dibuat oleh American Academy of Pediatrics (AAP) mendapati kanak-kanak sudah mula terdedah dengan gajet mudah alih seperti telefon pintar dan tablet, seawal usia 6 bulan. Pada usia meningkat remaja, kanak-kanak menghabiskan masa hampir 7 jam melihat skrin dan lebih lagi jika mereka asyik bermain game.

 

Kesan buruk kepada kesihatan mata anak-anak akibat screen time yang berlebihan

Rabun jauh

Pendedahan terhadap cahaya matahari sangat penting untuk perkembangan kesihatan mata anak-anak. Dengan bermain di luar rumah, bukan saja meningkatkan kesihatan fizikal anak-anak tetapi juga kesihatan mata mereka. Screen time berlebihan menjadikan anak-anak berada terlalu lama di dalam rumah sahaja.

Kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di dalam rumah lebih cenderung mengalami rabun jauh. Para penyelidik percaya bahawa sinaran UV dari cahaya matahari memainkan peranan penting dalam perkembangan mata yang sihat (dengan syarat mata dilindungi dari cahaya matahari yang kuat).

Kelesuan mata

Otot-otot di sekeliling mata, seperti otot yang lain juga, akan menjadi letih apabila digunakan tanpa henti. Mata anak-anak anda menjadi letih setelah melihat skrin terlalu lama. Apabila melihat skrin di tempat yang kurang pencahayaan sekeliling, cahaya terang yang dipancarkan oleh skrin menyebabkan mata menjadi silau dan ketegangan tambahan.

Kekeringan dan kegatalan

Kajian mendapati yang mata kita akan kurang berkedip daripada biasa ketika sedang menumpukan perhatian ke skrin gajet. Kelopak mata yang terbuka lama menyebabkan penyejatan air dari permukaan luar mata. Seterusnya screen time yang terlalu lama ini menyebabkan mata menjadi kering dan gatal-gatal.

Kehilangan fleksibiliti fokus

Apabila mata anak-anak tetap memfokus jarak dekat dalam masa yang lama, mereka akan alami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan penglihatan jarak jauh. Walau bagaimanapun, ini cuma masalah jangka pendek. Mata akan menyesuaikan diri dengan fleksibiliti normal mereka dalam beberapa jam atau paling lama beberapa hari.

Oleh yang demikian, sudah tiada alasan lagi membiarkan anak-anak anda bermain dengan gajet terlalu lama.

 

Tanggungjawab ibu bapa pantau screen time anak-anak

Untuk kebaikan dan kesihatan mereka, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan gajet bagi anak-anak.

Hadkan screen time mereka

Daripada kajian yang dibuat oleh pakar psikologi tentang kesan screen time berlebihan terhadap kesihatan mental, ibu bapa disarankan untuk melalukan perkara-perkara berikut:

  • Tetapkan screen time mereka, waktu bila boleh menggunakan gajet dan hadkan masanya. Jelaskan kepada mereka tujuan dan sebabnya.
  • Ketika waktu bukan screen time pada siang hari, galakkan anak-anak meluangkan masa di luar rumah.
  • Tetapkan masa dan zon bebas skrin, contohnya ketika berada di meja makan sama ada di rumah atau di restoran.
  • Tiada screen time di bilik tidur atau hampir waktu untuk tidur.
  • Tunjukkan contoh yang baik sebagai ibu bapa kepada anak-anak dengan tidak ‘melekat’ sahaja di skrin telefon serta meluangkan masa bersama mereka.

Kerap rehatkan mata dan kelipkan mata

Selalu ingatkan anak-anak supaya kerap rehatkan mata bila sudah rasa letih. Pakar-pakar optometri mengesyorkan supaya orang dewasa menjauhkan diri dari memandang skrin setiap 20 minit, fokus pada objek yang jaraknya 20 kaki, sekurang-kurangnya selama 20 saat. Bagi kanak-kanak pula disyorkan tidak memandang skrin sekurang-kurangnya 10 minit setiap jam. Anda boleh gunakan jam pemasa ataupun perisian tertentu di dalam telefon pintar yang mereka gunakan.

Teknik Pomodoro bantu anda kekal fokus dan tingkatkan produktiviti kerja anda

Galakkan anak anda untuk berkedip lebih sedikit, terutama ketika sedang berehat. Anda boleh menggunakan ubat titisan mata pelembap atau alat pelembap udara jika anak anda masih mengalami masalah mata kering dan letih.

Sesuaikan kedudukan skrin

Pastikan kedudukan skrin komputer desktop atau laptop anak anda berada sedikit di bawah paras mata. Melihat ke atas skrin membuatkan bukaan mata lebih luas dan mengakibatkan kekeringan dengan lebih cepat.

Pakar-pakar mata mencadangkan kedudukan skrin peranti dari mata dengan jarak seperti berikut:

  • Telefon pintar: 1 kaki
  • Monitor komputer: 2 kaki

Bagi pembelajaran di rumah, menggunakan komputer adalah lebih baik berbanding menggunakan telefon pintar kerana saiz skrin yang lebih besar dan mudah untuk menjarakkan mata dari skrin pada kadar yang sesuai.

5 sebab kenapa beri anak guna komputer adalah lebih baik berbanding telefon pintar

Berikan pencahayaan yang cukup

Bagi mengurangkan silau dan keletihan mata anak anda, berikan tahap pencahayaan yang cukup ketika mereka menggunakan komputer atau telefon pintar. Pasangkan lampu dan laraskan kecerahan skrin ke tahap yang lebih selesa untuk dilihat.

Gunakan ‘kunci komputer’

Ada satu lagi cara terbaik yang boleh anda boleh gunakan untuk mengawal screen time anak-anak, iaitu dengan membuat kunci komputer dengan pemacu USB. Dengan kunci komputer ini, anak anda tidak dapat lagi curi-curi bermain komputer pada waktu yang tidak dibenarkan.

Kanak-kanak sentiasa perlu dibantu dan diberikan peringatan supaya menggunakan gajet dengan baik dan menjaga screen time mereka. Sekiranya anda mendapati ada masalah tentang kesihatan mata anak-anak anda, rujuklah dengan pakar perubatan kanak-kanak atau pakar optometris.

Kawal keselamatan komputer & anak-anak, buat kunci dengan pemacu USB

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *