Jika anda suka makan sushi, anda mesti pernah makan makanan Jepun ini di restoran yang menghidangkannya menggunakan konsep seakan tren keretapi. Dalam bahasa Jepun, restoran ini dipanggil kaiten-zushi, yang bermaksud “pusingan sushi”.

Di restoran ini, sushi yang telah disiapkan oleh chef diletakkan di atas piring. Kemudian, piring tersebut diletakkan di atas conveyor belt (tali sawat penyampai) yang membawa kesemua piring berisi sushi itu kepada pelanggan-pelanggan, untuk mereka ambil yang mana mereka mahu untuk dimakan.

Wanita ambil sushi atas conveyor belt di restoran

Tahukah anda siapakah yang mencipta cara menghidang makanan yang unik dan popular di seluruh dunia ini?

Penciptanya adalah Yoshiaki Shiraishi, merupakan seorang usahawan yang cekal dan sentiasa berinovasi. Lahir pada tahun 1913, beliau mula mengusahakan sebuah restoran sushi di Osaka, Jepun, selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Yoshiaki Shiraishi

Yoshiaki Shiraishi (foto dari NHK)

Cuba jadi lain dari yang lain

Pada ketika itu, harga sushi di semua restoran bergantung kepada musim-musim tertentu di Jepun. Ada masa ia naik, ada masa ia turun. Pelanggan hanya akan mengetahui jumlah harga sebenar yang mereka makan setelah mereka mendapat bil bayaran.

Shiraishi mendapat idea untuk mengenakan harga yang tetap untuk setiap sushi yang dijual di restorannya. Ternyata idea Shiraishi itu sangat berkesan apabila ramai pelanggan yang datang ke restorannya untuk menikmati sushi. Walau bagaimanapun, Shiraishi menghadapi masalah yang lain pula.

Disebabkan harganya yang tetap, terlalu ramai pelanggan yang datang ke restorannya pada setiap masa. Ini menyebabkan pekerja-pekerjanya tidak dapat mengambil cuti, dan lama-kelamaan ramai pekerjanya yang tidak tahan dengan keadaan yang terlalu sibuk itu, lalu berhenti kerja.

 

Cetusan idea

Pada suatu hari, Shiraishi melawat sebuah kilang minuman. Di dalam kilang tersebut, beliau melihat botol-botol yang tersusun dan dibawa melalui satu proses ke proses yang lain menggunakan sistem conveyor belt. Daripada situlah beliau mendapat idea yang mengubah cara sushi dihidang buat pertama kali dalam sejarah.

Botol-botol dibawa menggunakan conveyor belt (foto dari NHK)

Shiraishi bercadang menggunakan cara yang sama untuk menghidangkan sushi kepada pelanggan-pelanggan di restorannya.

Dengan menggunakan conveyor belt yang membawa hidangan sushi daripada chef ke satu pelanggan dan ke pelanggan yang seterusnya, beliau tidak lagi memerlukan pekerja yang ramai untuk mengambil pesanan dan menghidangkan makanan. Pelanggan hanya perlu mengambil sendiri sushi yang sudah tersedia dihidangkan di atas conveyor belt yang bergerak.

wanita pilih sushi untuk diambil

Shiraishi lantas mencari kilang tempatan yang dapat menghasilkan mesin berdasarkan ideanya itu. Dalam usaha menyiapkan mesin tersebut, ada dua perkara penting yang perlu diselesaikan.

Perkara pertama ialah mengenalpasti halaju yang sesuai untuk membawa setiap pinggan sushi yang dihidang, supaya dapat diambil oleh pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Setelah bereksperimen beberapa kali, mereka berjaya mengetahui halaju yang sesuai iaitu 8 sentimeter per saat.

Perkara kedua ialah pergerakan yang lancar untuk membawa hidangan sushi di sepanjang laluan conveyor belt. Ini adalah masalah yang sangat rumit, dimana tapak untuk meletakkan piring pada conveyor belt tersebut pasti akan tersangkut di bahagian selekoh, menyebabkan keseluruhan sistem tidak dapat bergerak lagi. Masalah ini cuba diselesaikan oleh Shiraishi selama bertahun-tahun.

Kad terup di tangan

Sehinggalah pada suatu hari, ketika beliau bermain kad bersama anak-anaknya, beliau mendapat idea untuk menyelesaikan masalah tersebut apabila melihat susunan kad pada tangannya. Bentuk susunan kad ini kemudian diaplikasikan kepada mesin conveyor belt sushi tersebut, dan ternyata ia berhasil.

sushi conveyor belt

 

Pembukaan gilang-gemilang

Pada bulan April 1958, Shiraishi membuka restoran sushi yang bernama Mawaru Genroku Sushi secara besar-besaran, dengan memperkenalkan sistem hidangan sushi yang terbarunya itu.

Kedai sushi Yoshiaki Shiraishi

Mawaru Genroku Sushi (foto dari NHK)

Pada ketika itu, restoran sushi milik Shiraishi memang ternyata lain daripada yang lain, dimana selain menggunakan sistem conveyor belt, di restorannya juga tiada kerusi. Pelanggan terpaksa makan secara berdiri dan keluar dari restoran dengan segera setelah selesai. Walaupun begitu keadaannya, orang ramai masih terus beratur menanti giliran untuk makan di restoran beliau.

Dengan cara dan sistem sebegitu, restoran sushi Shiraishi dapat menampung tiga kali lebih banyak jumlah pelanggan berbanding sebelumnya, tanpa perlu penambahan pekerja.

Malah, dengan kos pekerja yang dapat dikurangkan, beliau dapat mengurangkan lagi harga makanan di restorannya. Ini juga menjadi penarik kepada orang ramai untuk datang ke restoran sushinya dan meninggalkan restoran sushi tradisional yang biasanya terlalu mahal.

 

Sentiasa berinovasi dan bersikap positif

Selain daripada ciptaan conveyor belt sushi, Shiraishi juga mencipta pelbagai inovasi lain, antaranya robot pembuat sushi dan tandas mudah alih.

Anaknya, Hiroshi Shiraishi, menyifatkan bapanya itu sebagai seorang yang tabah dan sentiasa berpegang teguh dengan prinsipnya, tanpa menghiraukan pandangan serong daripada orang lain. “Ramai orang menyangka yang beliau tidak akan berjaya dengan ciptaan ini,” kata Hiroshi. “Tapi beliau selalu berkata, ‘Saya tak akan mengalah.’ ” tambahnya lagi.

Yoshiaki Shiraishi yang berumur 87 tahun, meninggal dunia pada tahun 2001 di sebuah hospital di Osaka akibat penyakit cirrhosis pada hati.

Keyakinan Yoshiaki Shiraishi terhadap setiap tindakan untuk memajukan dan membawa kelainan pada perniagaannya wajar dicontohi oleh setiap usahawan. Menyelesaikan masalah dan mengambil risiko adalah lumrah bagi para usahawan, apatah lagi apabila berhadapan dengan status quo dan pandangan masyarakat setempat. Bak kata pepatah Melayu, “genggam bara api, biar sampai jadi arang.” Berusahalah sehingga berjaya!

 

Rujukan: NHK, LA Times

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.