Semasa mengemas stor di rumah, saya terjumpa semula komputer laptop ini. Seingat saya, laptop ini saya beli pada tahun 2014. Ini laptop refurbished jenama HP Compaq keluaran tahun 2008. Semasa itu saya gunakan laptop ini di tempat kerja untuk buat kerja-kerja percetakan menggunakan kertas heat transfer.
Apabila sudah tidak diperlukan lagi, saya bawa balik ke rumah untuk diberi kepada anak-anak. Niatnya supaya mereka boleh bermain game dan menonton video di Youtube. Selepas beberapa bulan anak-anak guna, habis dicabut butang-butang pada keyboard. Pada masa itu mereka semua masih kecil lagi dan tak mengerti apa-apa akibat daripada perbuatan mereka itu. Tetapi geram jugalah saya. Saya pun ambil komputer laptop ini dan simpan dalam stor, sampai saya sendiri pun sudah terlupa.
Disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan sekolah pun ada masanya terpaksa ditutup, sekarang saya beri anak-anak guna komputer untuk mereka belajar dalam kelas atas talian. Sekali-sekala saya benarkan mereka bermain permainan komputer. Saya sudah tidak berikan mereka telefon pintar lagi. Bagi saya, anak-anak kecil lebih baik guna komputer berbanding telefon pintar, lebih-lebih lagi untuk tujuan pembelajaran atas talian. Jadi, komputer lama ini saya elokkan semula untuk kegunaan mereka.
Saya tunjukkan apa yang saya buat untuk elokkan semula komputer ini supaya mereka boleh gunakan untuk belajar. Apa yang menarik sekali ialah komputer laptop ini jadi lebih laju berbanding sebelumnya. Apa rahsianya? Jom tonton!
Secara ringkasnya, saya lakukan perkara-perkara berikut sehingga komputer laptop ini boleh digunakan semula.
1. Bersihkan daripada habuk dan kekotoran
2. Periksa keadaan hardware dan BIOS
3. Gantikan hard disk drive (HDD) dengan solid state drive (SSD)
4. Sambung mouse dan keyboard
5. Pasang sistem operasi Ubuntu Linux
Dalam lima perkara yang saya buat ini, yang paling memberikan impak adalah menggantikan HDD kepada SSD. Disebabkan capaian data SSD adalah lebih laju berbanding HDD, ini sangat membantu untuk meningkatkan kelajuan komputer, ditambah pula dengan memasang Ubuntu Linux sebagai sistem operasi komputer.
Harga SSD pun sudah semakin berpatutan sekarang. Cubalah cari sama ada di Shopee atau Lazada.
Cari SSD di Shopee Cari SSD di Lazada
Jadi, kalau anda ada komputer lama di rumah, jangan terus dibuang. Cubalah periksa dahulu, manalah tahu ia masih boleh berfungsi lagi, boleh juga digunakan oleh anak-anak untuk pembelajaran dan kelas atas talian. Jika tidak lagi berfungsi, anda bolehlah cari set komputer refurbished dengan harga mampu milik berpandukan tip-tip penting ini.
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.