Kucing adalah haiwan yang pembersih. Jika anda seorang peminat si comel berkaki empat ini, selain daripada pentingnya bermain-main dengan kucing peliharaan anda itu, anda sepatutnya tahu yang grooming kucing juga adalah satu rutin yang amat penting bagi menjaga kebersihan dan kesihatan si comel ini.
Grooming kucing bermula dengan memberus atau menyikat bulunya.
Ini penting supaya bulu kucing sentiasa rapi, tidak berpintal atau bergulung. Bulu kucing sentiasa gugur dan akan tumbuh semula. Bulu gugur boleh masuk ke dalam perut atau usus kucing anda – bila menjilat badan – lalu berkumpul dengan banyak dan akhirnya menggumpal menjadi bebola bulu (hairballs).
Sebenarnya, kucing boleh memuntah keluar gumpalan bebola bulu ini TETAPI kebanyakan kucing susah nak menyingkirkannya sendiri. Perlukan bantuan dari si tuannya. Jadi, menyikat atau memberus bulu kucing boleh membuang bulu yang gugur. Anda tak mahu ada gumpalan bola bulu dalam perut mereka.
Sebab apa?
Sebab hairballs ini sangat berbahaya kepada kucing. Lagi teruk kalau banyak sangat sampai saluran pemakanannya jadi tersumbat.
Ada kucing yang berbulu panjang. Ada juga yang pendek atau medium. Dan ada juga kucing yang tak berapa nak berbulu langsung. ‘Google’ saja tentang baka kucing kalau nak tahu dengan lebih lanjut.
Kucing berbulu panjang ini perlu disikat hari-hari. Kalau pendek atau medium, seminggu sekali pun tak apa. Kalau yang tidak berbulu tu… tahu-tahu sendirilah ya!
Teknik betul menyikat bulu kucing anda adalah dari hadapan (kepala) ke belakang (ekor), mengikut arah bulu tumbuh. Sikat sebelah badan dulu berberapa kali, dan lepas itu alih ke sisi badan satu lagi.
Semasa tengah menyikat tu, selak-selak sikit bulunya. Tengoklah kalau ada ketulan/gumpalan bulu yang tersimpul atau tergulung; dan tengok-tengokkan kalau ada jangkitan kulit (seperti ringworm), kehadiran kutu dan telurnya di mana-mana.
Kebanyakan orang selalu terkeliru dengan ringworm. Ringworm sebenarnya adalah sejenis penyakit kulit yang sangat berjangkit disebabkan oleh FUNGI atau kulat mikroskopik. BUKAN cacing parasit. Ringworm kelihatan seperti kudis yang berbentuk bulatan atau cecincin kemerahan, atau tompokan kulit yang keras dan seperti bersisik, dan jika dibahagian berbulu, botak kecil terjadi akibat keguguran bulu.
Hati-hati juga ya….
Apabila hendak menyikat bulu kucing, jauhkan daripada muka, dan bagi sesetengah kucing pada kaki (paw) -nya. Takut nanti tangan ada pula yang “disikat” dengan kuku tajamnya. Hahaha…
Kalau kucing anda tak suka disikat, anda boleh pakai alatan lain seperti sarung tangan berberus atau bersikat seperti ini.
Anda boleh menyikat bulunya seperti anda sedang membelai atau mengusapnya. Tak apa! Kucing tak kisah kalau macam tu. Sebenarnya , kalau anda mula biasakan rutin ini sejak mereka kecil lagi, mereka pasti sudah terbiasa apabila sudah besar dan sesetengahnya siap tertunggu-tunggu lagi untuk di-grooming. Senanglah kerja anda!
Beri perhatian juga pada telinga, mata, gigi, mulut dan kuku
Mata Si Comel anda haruslah kelihatan lebih terang, putih dan bersih daripada sebarang tahi mata.
Telinga juga harus bersih, tiada kotoran hitam atau kuning, kering dan bewarna merah jambu. Pastikan tiada kesan hama telinga. Hama / kutu telinga adalah disebabkan sisa kotoran – terhasil daripada campuran lebihan sebum telinga kucing dan habuk pesekitaran – yang menjadi tarikan untuk mikroparasit Otodectes cynotismen mendiami telinga kucing dan menjangkitinya. Parasit ini memakan kulit telinga kucing lalu menyebabkan kegatalan.
Apabila gatal, kucing mula menggaru-garu telinga dengan kukunya. Ini boleh melukakan kulit telinga kucing dan memberi peluang kepada kuman atau bakteria memberi jangkitan kepadanya. Akibatnya, kucing anda tidak selesa dan sentiasa menggulungkan telinganya ke bawah, atau menggoncangkan kepalanya dan dalam kes yang lebih teruk, telinga mereka boleh ‘busuk mereput’ atau rosak (pekak). Jadi sentiasa bersihkan telinga kucing anda. Banyak ubat-ubatan dijual atau anda boleh merujuk ke pakar veterinar.
Setiap kali anda grooming kucing, anda harus selalu lebih peka dan teliti. Tak mengapa….. Buatlah kerja lebih sikit, janji mereka sihat. Kucing adalah haiwan manja. Jika mereka kerjasama semasa sedang di-grooming, pujilah mereka sikit.
Belai mereka dan beri mereka ganjaran. Jika kucing anda meragam atau buat hal, jangan marah atau memukul, tetapi biarkan mereka dulu dan esok-esok cuba lagi!
Selain daripada grooming kucing peliharaan, anda juga perlu ambil perhatian 5 petanda ini pada kucing anda.