Pegawai Arkib berperanan dalam memperoleh, mengurus, dan mengekalkan dokumen-dokumen dan bahan-bahan lain yang mempunyai kepentingan sejarah. Tugasan-tugasan ini dilakukan sama ada untuk individu, organisasi, atau pun negara. Kerjaya ini mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat yang bermaklumat pada zaman ini dimana Pegawai Arkib ini berfungsi sebagai “penjaga” memori dan rekod yang membentuk identiti pelbagai kumpulan dan masyarakat.
Arkib kebiasaannya dipunyai oleh pelbagai organisasi, seperti kerajaan tempatan dan persekutuan, perniagaan, institusi pendidikan, muzium, badan amal, organisasi profesional, hospital, dan termasuk juga oleh individu dan keluarga. Koleksi-koleksi arkib adalah seperti buku, kertas bercetak, peta, gambar foto, filem, dan juga rekod yang dijana oleh komputer.
Sebahagian besar daripada kerja Pegawai Arkib ini berkait rapat dengan penghasilan maklumat yang boleh diakses oleh pengguna, yang mana mutakhir ini dihasilkan dalam format digital. Pengguna bahan-bahan ini termasuklah penyelidik atau pengkaji, ahli akademik, kakitangan profesional, dan juga orang-orang biasa.
Bidang tugas Pegawai Arkib
Ruang lingkup bidang kerja seorang Pegawai Arkib berbeza-beza mengikut tanggungjawab individu dan jenis organisasi. Kebanyakan Pegawai Arkib juga bertanggungjawab dalam bidang-bidang lain yang berkaitan dengan kerja mereka, seperti pengurusan rekod dan pemuliharaan arkib, yang memerlukan kepada latihan dalam kepakaran teknikal.
Dalam sesetengah organisasi, peranan Pegawai Arkib dan Pengurus Rekod bertindih dan digabungkan. Ini biasa berlaku terutamanya dalam organisasi yang kecil dan sederhana. Rekod disimpan dan diambil secara digital.
Tugasan Pegawai Arkib biasanya melibatkan:
- Menilai rekod untuk pemeliharaan dan pengekalan – ada yang mungkin rapuh dan memerlukan pengendalian secara berhati-hati, pembaikan atau pemuliharaan.
- Mengatur pembelian dan mendapatkan semula rekod-rekod penting.
- Berhubung dengan penderma dan penyumbang kepada arkib, yang melibatkan pihak dalaman atau luaran organisasi.
- Menyediakan sistem penyimpanan rekod dan prosedur untuk penyelidikan bahan-bahan arkib dan prosedur bagi pengekalan atau pemusnahan rekod.
- Pengkatalogan koleksi dan menguruskan maklumat dan rekod arkib.
- Memberikan respon balas kepada panggilan telefon, e-mel, dan pertanyaan bertulis daripada orang ramai.
- Memberi nasihat kepada pengguna mengenai cara terbaik untuk mengakses, menggunakan dan mentafsir bahan-bahan arkib, sama ada melalui kursus-kursus latihan dalaman atau lain-lain cara.
- Memudahkan akses secara jarak jauh dengan menggunapakai sistem carian berbantukan komputer yang mesra pengguna.
- Mengaturkan pameran, ceramah dan lawatan.
- Menghasilkan bahan pengajaran.
- Menguruskan sesi latihan mengenai prosedur-prosedure berkaitan arkib.
- Mengumpulkan dana dan menguruskan belanjawan untuk arkib.
- Mengenal pasti cara untuk melindungi dan memelihara koleksi-koleksi berharga dalam arkib.
- Mengurus dan menyelia kakitangan berjawatan rendah.
- Memberi nasihat kepada organisasi dalam hal ehwal pengurusan dan penyimpanan bahan-bahan arkib dan menggalakkan organisasi untuk merancang tentang masa depan arkib.
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.