Kucing adalah haiwan peliharaan yang penuh dengan misteri. Tingkahlaku si comel ini kadang kala menjadi tanda tanya dan sukar dibaca oleh tuannya, sama ada dalam keadaan gembira atau sedang kebosanan.
Sifat kucing ini berbeza sungguh dengan anjing, kerana anjing lebih mudah difahami. Anjing peliharaan akan membawa sesuatu seperti bola tenis atau frisbee kepada tuannya apabila mahu mengajak tuannya bermain-main di luar.
Menurut Carole Wilbourn, seorang pakar perilaku kucing di New York, Amerika Syarikat, “Perangai anjing lebih terbuka dan mudah difahami. Kucing pula agak misteri dan kadang-kadang sukar diduga. Jika kucing menjadi manusia, ia akan menjadi seniman dan penulis di kalangan kita.”
Carole Wilbourn yang dikenali sebagai “The Cat Therapist”, telah mengasaskan pusat veterinar khusus untuk kucing di bandar New York pada tahun 1973.
Pakar kucing ini telah banyak menulis buku tentang haiwan peliharaan ini. Beliau juga telah mengembara ke seluruh dunia bagi membantu orang ramai memahami haiwan kesayangan mereka dengan lebih baik.
Carole menjelaskan bahawa anda perlu luangkan masa untuk bermain bersama kucing peliharaan anda, apabila si comel ini menunjukkan 5 tanda-tanda berikut.
1. Mencari lebih perhatian
Adakah kucing peliharaan pernah datang kepada anda, menggesel-geselkan badannya pada kaki, atau duduk di meja ketika anda sedang bekerja menggunakan komputer? Ini adalah tanda-tanda si comel itu mahu mengajak anda bermain.
Kelakuan si comel ini mungkin agak mengganggu. Kucing berkelakuan begini kerana mahukan layanan dan bermain bersama anda. Kucing gemarkan permainan yang interaktif dan penuh bertenaga. Jika kucing peliharaan hanya menghabiskan masa tidur sepanjang hari, maka hari itu adalah hari yang tidak menarik bagi haiwan ini.
“Kucing peliharaan di rumah tidak memiliki kehidupan dan hiburan seperti kucing liar. Kucing peliharaan ini bergantung kepada kita sebagai tuannya untuk menceriakan hidupnya,” menurut Carole.
Anda boleh luangkan sedikit masa untuk bermain dengan si comel ini. Ambil sesuatu dan lemparkan untuk dikejar, atau layani si comel ini bermain menyusuri cat tunnel.
2. Merajuk
Kucing yang tidak dapat menikmati waktu bermain yang cukup akan berada dalam keadaan muram. “Sesetengah kucing akan berkelakuan ekstrem, kelihatan merajuk atau bersedih. Ini adalah cara kucing peliharaan membantah perlakuan tuannya,” kata Carole.
Ada kemungkinan juga si comel ini sedang keletihan, mahu bersendirian, atau mungkin juga kebosanan. Anda boleh tarik perhatian kucing kesayangan dengan mainan berisi catnip supaya si comel ini datang kepada anda.
3. Banyak makan
Jika berat badan kucing kesayangan anda itu meningkat dengan cepat, kucing itu perlukan lebih masa bermain dan anda perlu kurangkan memberi snek.
Ramai pemilik kucing lebih suka memberikan kucing mereka makan daripada mengajak mereka bermain. Lama kelamaan, kucing akan mengalami obesiti dan perkara ini akan turut menjejaskan kesihatan kucing.
“Jika kucing datang mengganggu anda atau mahu ajak anda bermain, jalan paling mudah ialah anda berikan makanan daripada bermain bersama. Bila kucing anda sudah terbiasa begitu, jika mahukan perhatian, kucing anda akan pergi ke pinggan makanan, dan bukan kepada anda lagi.”
Rancanglah pola pemakanan dan diet seimbang untuk si comel anda. Dapatkan nasihat doktor haiwan jika kucing anda mengalami obesiti.
Seterusnya, anda perlu pastikan kucing peliharaan anda banyak bergerak dan bermain. Anda boleh cuba gunakan permainan interaktif dan puzzle untuk si comel ini mencari makanannya. Aktiviti sebegini secara tidak langsung akan membuatkan si comel ini aktif bergerak dan makan dengan perlahan.
4. Mencakar-cakar perabot anda
Kucing peliharaan yang jarang diajak bermain akan mula mencakar-cakar perabot, seperti sofa mahal anda itu.
“Jika kucing anda kurang diajak bermain, tabiatnya boleh berubah. Kucing boleh menjadi terlalu agresif sehingga boleh membuat kerosakan terhadap barang-barang anda kerana ada banyak tenaga,” jelas Carole.
Belikanlah mainan-mainan untuk kucing kesayangan anda yang ada bermacam-macam jenis dan bentuk di pasaran. Anda boleh beli di kedai haiwan peliharaan atau dapatkan sahaja melalui kedai-kedai atas talian. Jangan lupa untuk bermain sekali dengan si comel anda itu.
Berbelanja mainan untuk kucing peliharaan anda itu lebih murah harganya berbanding dengan terpaksa memperbaiki, atau lebih teruk, menggantikan sofa yang sudah koyak dikerjakan kucing peliharaan anda. Untuk mengelakkan sofa daripada dicakar kucing, pelindung sofa mungkin boleh membantu.
Dapatkan di Shopee Dapatkan di Lazada
5. Menyerang kaki anda
Kucing pada asalnya memburu makanan untuk hidup. “Walaupun kucing peliharaan anda sangat jinak, ia masih mempunyai naluri liar. Di alam haiwan liar, kucing tidak disajikan makanan. Kucing dilahirkan dengan keinginan untuk berburu,” kata Carole.
Apabila kucing tidak dapat memenuhi nalurinya untuk mendapatkan mangsa, kucing akan mencari sesuatu untuk diburu, sama ada kaki anda atau benda-benda lain.
Bagi menarik sisi liar si comel ini, simpan mainan berbulu yang kelihatan dan bergerak seperti burung atau tikus. Biarkan kucing menangkap “mangsa” itu dan memberikannya kepada kita.
Dapatkan di Shopee Dapatkan di Lazada
Selain daripada bermain dengan si comel ini, anda juga perlu sentiasa grooming kucing peliharaan anda itu untuk memastikannya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, sihat, dan terhindar daripada jangkitan penyakit.
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.