Industri penerbangan adalah salah satu penyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang boleh menyebabkan pencemaran dan pemanasan global. Tetapi, dengan kesedaran ramai pihak dan kecanggihan teknologi penyelidikan yang semakin berkembang, sekarang masalah ini semakin dapat diatasi dengan menggunakan minyak masak terpakai.
Bahan yang dahulunya dibuang begitu sahaja, kini boleh diubah menjadi bahan bakar penerbangan lestari (sustainable aviation fuel – SAF) untuk menerbangkan pesawat komersial. Pengeluar biodiesel terkemuka di dunia, Neste, telah menghasilkan bahan bakar yang inovatif ini. Seperti mana biodiesel, SAF adalah mesra alam dan boleh diperbaharui.
Penggunaan SAF dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus berbanding dengan bahan bakar fosil. Ia dapat digunakan pada semua jenis pesawat yang menggunakan bahan bakar fosil tanpa memerlukan sebarang pengubahsuaian, begitu juga dengan saluran paip dan lori tangki.
Minyak masak terpakai yang dikumpulkan akan melalui proses pembersihan di kilang penapisan. Kemudian ia akan melalui proses tindak balas kimia dengan hidrogen dan mengasingkan oksigen yang terkandung di dalamnya kemudian terhasillah bahan bakar bio.
Walau bagaimanapun, ia masih perlu dicampurkan dengan bahan bakar fosil dengan nisbah campuran tertentu. Ini kerana, bahan bakar untuk penerbangan perlu mengandungi sebilangan kecil molekul organik berbentuk cincin yang disebut aromatik yang tidak ada di dalam bahan bakar bio.
Syarikat minyak British Petroleum (BP), telah memulakan jualan bahan bakar penerbangan hijau, BP Biojet, kepada Lapangan Terbang Oslo Norway pada tahun 2016. Ini diikuti oleh Halmstad di Sweden dan Bergen di Norway, kedua-duanya pada tahun 2017. Syarikat penerbangan AIR France-KLM pada Mei 2021 telah menerbangkan pesawat Airbus A350 dari Paris di Perancis, ke Montreal di Kanada, menggunakan bahan api bio SAF yang dihasilkan oleh syarikat penapisan minyak Total di Perancis.
Mulai tahun depan, penerbangan dari Perancis diwajibkan menggunakan 1% SAF. Ia susulan matlamat Kesatuan Eropah (EU) untuk mencapai 2% penggunaan SAF pada 2025 dan 5% pada 2030 di bawah dasar hijau blok itu.
Permintaan terhadap penggunaan SAF di Amerika Syarikat juga semakin meningkat. Syarikat penerbangan utama di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco (SFO) tidak lama lagi akan menggunakan SAF dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida di negara mereka. Syarikat-syarikat besar seperti Microsoft dan Amazon telah menyatakan komitmen mereka terhadap penggunaan SAF. Jeff Bezos dari Amazon mengatakan bahawa syarikatnya mahu menerbangkan pesawat kargo mereka menggunakan SAF. Sementara itu, pengasas Microsoft, Bill Gates, mengatakan syarikatnya adalah pengguna terbesar SAF di negara itu.
Rujukan:
- Pelepasan Karbon: Pesawat Air France terbang ke Kanada guna minyak masak terpakai
- How to make jet fuel from used cooking oil
- This New Bio-Fuel Uses Old Cooking Oil to Fly Jets With 80% Less Carbon Emissions
- Aviation fuel made from used cooking oil lands in San Fransisco Airport to curb emissions
- The Oil That Cooked Your Fries Is Now Refueling Your Aircraft
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.