Setiap kali anda memasak, terutama sekali ketika menggoreng makanan, pernahkah anda terfikir yang anda boleh jadi wira penyelamat bumi?

Sama ada anda sedar atau tidak, planet bumi yang kita duduki ini semakin hari semakin tercemar. Pencemaran boleh berlaku melalui pelbagai aktiviti yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, apabila anda membuang minyak masak yang sudah digunakan itu di tempat yang tak sepatutnya, seperti di sinki dapur, longkang, atau sungai.

Selain mencemarkan alam, perbuatan ini juga menyusahkan diri sendiri apabila paip atau longkang tersumbat akibat minyak masak beku yang terperangkap didalamnya.

Ada juga yang melakukan “pencemaran” terhadap kesihatan sendiri apabila makan makanan yang digoreng dengan minyak yang telah digunakan berulang kali, dengan alasan mahu berjimat. Jika mahu berjimat, gunalah minyak masak paket yang lebih murah berbanding minyak masak botol.

Anda sanggup makan makanan yang digoreng dengan minyak yang sudah jadi begini?

Selain itu, kita menaiki kenderaan berenjin untuk memudahkan kita ke mana-mana. Sebahagian besar kenderaan di dunia masih lagi menggunakan minyak petrol atau diesel. Kedua-dua bahan ini adalah bahan api fosil yang tidak boleh diperbaharui. Hasil pembakaran bahan api ini akan melepaskan gas-gas berbahaya ke udara yang turut menyumbang kepada pencemaran dan pemanasan global.

Pendek kata, banyak juga aktiviti yang kita lakukan sekarang ini yang boleh membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan alam sekitar, daripada hal masak memasak sampailah kepada berjalan-jalan menaiki kenderaan.

Hakikatnya, kita semua yang duduk di bumi ini adalah wira. Kita ada peranan penting untuk menyelamatkan alam sekitar daripada terus tercemar, kerana kita belum ada tempat lain yang boleh diduduki selain daripada planet bumi ini.

Syukurlah, dengan kesedaran ramai pihak dan kecanggihan teknologi yang semakin berkembang maju, masalah pencemaran alam ini semakin menampakkan sinar penyelesaiannya.

Tahukah anda, minyak masak yang telah digunakan berulang kali itu sebenarnya boleh dimanfaatkan lagi untuk menggerakkan kenderaan pula?

Minyak masak terpakai boleh diproses menjadi biodiesel, sejenis bahan api mesra alam yang boleh diperbaharui. Biodiesel digunakan dalam campuran diesel biasa bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil. Ia juga kurang menghasilkan pencemaran. Rajah di bawah menunjukkan proses pengolahan minyak masak terpakai untuk membuat biodiesel.

Minyak masak terpakai mengandungi jumlah asid lemak bebas (free fatty acid – FFA) yang tinggi yang berguna untuk menjadi biodiesel. Apabila minyak masak digunakan berulang kali, suhu yang tinggi memecahkan molekul-molekul FFA dan terapung dengan bebas di dalam cecair minyak. FFA ini tidak dapat ditukar menjadi biodiesel secara langsung.

Untuk menghasilkan biodiesel, minyak masak yang telah dikumpulkan akan ditapis dahulu untuk membuang kandungan sisa makanan dan air. Kemudian, ia akan melalui proses transesterifikasi, iaitu  pengolahan secara tindak balas kimia bagi menghasilkan cecair biodiesel. Ia perlu dicampurkan dengan diesel biasa mengikut nisbah tertentu, kemudian barulah boleh digunakan sebagai bahan api kenderaan.

Nampak kompleks, bukan?

Sememangnya proses menghasilkan biodiesel ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk anda buat sendiri di rumah. Namun, semestinya ada sesuatu yang anda boleh lakukan untuk sama-sama bantu lindungi alam sekitar.

 

Negara-negara maju sudah banyak menggunakan biodiesel sebagai bahan api kenderaan. Negara kita juga turut sama mengikut langkah yang baik ini. Oleh kerana Malaysia adalah pengeluar kelapa sawit, biodiesel negara kita menggunakan sumber daripada sawit untuk menghasilkan biodiesel secara komersial. Ini adalah untuk menyokong industri sawit negara dan juga merangsang harga komoditi ini supaya terus kukuh.

Walau bagaimanapun, pengunaan minyak masak terpakai untuk menghasilkan biodiesel di Malaysia masih lagi dalam skala yang kecil. Negara kita masih belum mampu untuk memproses minyak masak terpakai menjadi biodiesel dalam skala yang besar untuk kegunaan komersial.

Kebanyakan minyak masak terpakai yang dikumpulkan di negara kita akan dieksport ke Eropah bagi memenuhi permintaan pengeluaran biodiesel yang lebih tinggi di sana. Mereka mendapatkan sumber FFA daripada banyak negara, termasuklah Malaysia, dan ia lebih murah berbanding minyak sawit mentah.

Penggunaan biodiesel dalam penghasilan bahan api di seluruh dunia terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Usaha ini dapat menyelamatkan bumi kita daripada pencemaran dan kesan pemanasan global.

Sebagai pengguna minyak masak yang bertanggungjawab, kita semua memainkan peranan utama sebagai wira penyelamat bumi. Ia bermula dengan tidak membuang minyak masak terpakai itu merata-rata. Minyak masak terpakai itu perlu dikumpulkan di dalam bekas khas dan dilupuskan dengan cara yang sepatutnya.

Tapi jangan risau, kini ada cara yang lebih mudah dan menguntungkan.

Minyak masak terpakai yang sudah terkumpul banyak itu boleh dijual semula untuk pulangan wang lumayan. Anda boleh hantar ke pusat kitar semula yang berdekatan, atau hubungi terus pembeli minyak masak terpakai untuk mereka datang ke lokasi anda.

Setiap tindakan kita pada hari ini boleh memberi impak yang besar kepada masa depan kita. Ambillah langkah yang bijak dan bertanggungjawab, kerana bumi ini akan kita wariskan kepada anak-anak dan cucu cicit kita nanti. Mari kita selamatkan bumi tempat tinggal kita ini daripada pencemaran alam, disamping dapat menjaga kesihatan dan beroleh pulangan wang lumayan.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.