Ada sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa harga komputer adalah mahal, perlu ada wang lebih daripada seribu ringgit untuk membeli sebuah komputer lengkap. Oleh sebab itu, mereka belikan telefon pintar untuk anak-anak mereka untuk tujuan pembelajaran secara atas talian.
Memang ada telefon pintar yang boleh didapati dengan harga yang murah bermula dari dua ratus ringgit, bergantung kepada jenama dan spesifikasinya. Akan tetapi, telefon pintar yang murah ini biasanya bersaiz lebih kecil dan ia mungkin tidak tahan lama. Sama ada ia boleh cepat rosak atau terasa sangat perlahan disebabkan spesifikasi memori dan pemprosesnya yang rendah.
Hakikat sebenar yang anda perlu tahu ialah, anda boleh dapatkan komputer untuk kegunaan anak-anak belajar dengan bajet yang rendah. Dengan bajet bermula dari empat ratus ringgit, anda boleh dapatkan sebuah set komputer yang lengkap. Terdapat banyak kedai komputer yang menjual komputer-komputer berjenama terpakai yang telah diperbaharui (refurbished). Anda cuma pilih yang bersesuaian dengan bajet dan keperluan.
Ada dua jenis komputer yang anda boleh dapatkan, iaitu komputer desktop dan laptop, bergantung kepada kesesuaian dan keperluan anda.
Komputer Meja (Desktop)
Komputer desktop memerlukan ruang yang khusus untuk menempatkannya dan tidak mudah diubah kedudukannya. Komputer jenis ini sesuai jika di rumah anda ada ruang dan meja untuk meletakkannya.
Komputer Riba (Laptop)
Komputer laptop adalah bersifat mudah alih dan boleh dibawa ke mana-mana. Ia tidak memerlukan tempat dan ruangan khusus. Ia sesuai jika ruangan dalam rumah adalah terhad. Disebabkan fizikalnya yang kecil berbanding komputer desktop dan senang dibawa, harga laptop selalunya adalah lebih tinggi berbanding desktop yang berspesifikasi yang sama.
Pembelajaran anak-anak secara dalam talian tidaklah menggunakan aplikasi yang berat. Kebiasaannya cuma menggunakan aplikasi pelayar web, pdf reader dan Word. Pelayar web adalah aplikasi yang paling banyak digunakan untuk melayari laman web, menonton video-video di Youtube, dan menyertai kelas atas talian menggunakan Google Meet.
Jadi, komputer berspesifikasi sederhana atau yang rendah sahaja pun sudah memadai untuk keperluan ini.
Berikut adalah spesifikasi komponen-komponen komputer yang terpenting untuk diambil kira, supaya komputer terpakai yang anda mahu beli untuk pembelajaran anak-anak anda nanti dapat digunakan dengan lancar.
CPU (Central Processing Unit)
CPU, atau dipanggil processor (pemproses), adalah “otak” komputer yang menjalankan pelbagai program aplikasi komputer. CPU keluaran Intel seperti Core 2 Duo dan Celeron sudah memadai untuk melayari internet dan membuat kerja-kerja ringan. Jika ada bajet lebih, anda boleh dapatkan komputer dengan pemprosess Intel i3 atau i5 yang berkeupayaan lebih tinggi.
RAM (Random Access Memory)
RAM adalah memori sementara bagi komputer untuk menyimpan pelbagai arahan program komputer. Komputer dengan memori 2GB sudah memadai untuk kegunaan anak-anak belajar. Jika anda dapat naikkan sedikit lagi bajet, dapatkanlah yang memorinya 4GB atau lebih baik lagi 8GB. Semakin besar kapasiti memori komputer, semakin banyak aplikasi dan laman web boleh dibuka serentak dengan lancar.
Pemacu storan (storage drive)
Komponen ini mengandungi sistem operasi komputer dan juga menyimpan fail-fail pengguna komputer. Biasanya, penjual komputer refurbished menawarkan pilihan pemacu storan jenis hard disk drive (HDD) atau solid state disk (SSD). Dari segi kapasiti storan, tidak menjadi masalah jika ia kecil sekalipun. Ini kerana, untuk kegunaan pembelajaran dan kelas atas talian bagi anak-anak tidak memerlukan ruang storan yang banyak. Jika ada bajet yang cukup, anda disyorkan memilih SSD kerana capaian data adalah lebih laju berbanding HDD. Ini sangat membantu kelancaran komputer yang berspesifikasi rendah.
Sambungan internet
Ada dua jenis sambungan komputer ke internet, iaitu berwayar (guna kabel Ethernet) atau tanpa wayar (guna Wi-Fi). Bagi komputer laptop, biasanya fungsi Wi-Fi sudah pun tersedia. Manakala bagi komputer desktop, selalunya hanya tersedia port Ethernet untuk anda sambungkan kabel daripada komputer ke router atau modem internet. Jika anda mahu guna Wi-Fi di komputer desktop, anda perlu dapatkan peranti USB Wi-Fi.
Speaker dan mikrofon
Apabila anda memilih komputer desktop refurbished, anda mungkin perlu membeli sekali speaker dan mikrofon atau headset, apabila ia tidak disertakan bersama dalam pakej pembelian. Bagi komputer laptop pula, speaker dan mikrofon sudah pun tersedia. Walau bagaimanapun, anda boleh juga tambahkan speaker berasingan atau menggunakan headset untuk mendapatkan kualiti bunyi dan rakaman suara yang lebih baik.
[row ]
[col span=”1/2″ ]
[/col]
[/row]
[row ]
[col span=”1/2″ ]
[/col]
[/row]
[row ]
[col span=”1/2″ ]
[/col]
[/row]
Webcam
Untuk membuat sidang video, perlu menggunakan webcam. Bagi komputer desktop, aksesori tambahan ini boleh dibeli. Manakala untuk komputer laptop, biasanya webcam sudah tersedia. Namun, ada laptop dari model-model lama yang tidak mempunyai webcam. Jadi, anda perlu beli webcam ini secara berasingan
Di bawah adalah tangkap layar bagi contoh komputer desktop dan laptop refurbished yang boleh anda dapatkan secara atas talian.
Komputer dengan spesifikasi seperti gambar di atas sudah memadai untuk kegunaan anak-anak belajar. Dari segi saiz, komputer ini tidaklah sekecil telefon pintar yang boleh dibawa kemana-mana, namun bagi tujuan pembelajaran anak-anak, menggunakan komputer adalah lebih baik daripada telefon pintar.
Komputer refurbished ini ada yang sudah dipasang dengan sistem operasi, sama ada Windows 7 atau Windows 10. Walau bagaimanapun, komputer dengan spesifikasi yang rendah akan menjadi perlahan kerana versi Windows yang terbaru memerlukan sumber memori dan pemprosesan yang tinggi. Apa yang anda boleh buat ialah, anda boleh gantikan sistem operasi ini dengan Ubuntu Linux yang tidak memerlukan komputer berspesifikasi tinggi. Ubuntu Linux juga boleh dipasang pada komputer refurbished yang tidak dipasang apa-apa sistem operasi.
----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.