Sebelum pergi

Buat carian dan kaji hotel penginapan anda di laman web carian. Buat senarai hotel yang dirasakan sesuai, dan buat perbandingan. Perbandingan tidak semestinya hanya pada harga yang lebih murah, tetapi juga buat perbandingan pada kemudahan dan perkhidmatan hotel yang disediakan, lokasinya, dan mungkin pengalaman orang lain yang pernah menginap di hotel tersebut. Buku dan majalah panduan travel juga sangat berguna dan boleh membantu anda membuat keputusan.

Sebaik sahaja anda selesai menempah bilik secara online, cetak maklumat dan perincian tentang hotel tersebut. Cetak juga seluruh muka borang-borang online apabila selesai mengisi. Ini boleh dijadikan bukti untuk anda sekiranya terdapat kesilapan ketika anda ingin daftar masuk nanti. Simpan satu salinan untuk anda. Satu salinan juga untuk saudara terdekat atau orang yang mudah dihubungi apabila berlaku kecemasan.

 

Apabila daftar masuk (check-in)

Pastikan bila masa daftar masuk dan masa daftar keluar yang tepat. Lihat dan tentukan sama ada kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan betul-betul ada dan sama seperti yang yang disebutkan dalam laman web. Minta tunjukkan arah atau pelan kedudukan (map) hotel tersebut.  Minta kad perniagaan rasmi hotel tersebut. Selalunya dalam kad tersebut telah dinyatakan nama hotel,  alamat, dan nombor untuk dihubungi. Jika anda tersesat, anda boleh terus tunjukkan  sahaja kepada pemandu teksi atau orang sekeliling anda dan minta bantuan mereka.

Sesetengah hotel mungkin ada menyediakan perkhidamatan ekstra yang tidak dinyatakan. Jadi, ringan-ringankanlah mulut untuk bertanya. Tak perlu nak segan!

  • perkhidmatan mencuci baju
  • pengering rambut,
  • adaptor pengecas bateri
  • suratkhabar,
  • makanan setiap sesi,
  • mesin faks, printer, komputer, kata laluan Wi-fi,
  • sebarang bnetuk hiburan dalam bilik seperti siaran TV berbayar, filem untuk disewakan, video games,
  • katil mudah alih, katil bayi,
  • perkhidmatan kenderaan ulang-alik ke lapangan terbang,
  • peti keselamtan sewa uuntuk menyimpan barang berharga,
  • perkhidmatan pemandu pelancong.

 

Di hotel

Sudah tentu keselamatan sangat penting untuk setiap orang dan anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Jika anda keluar seharian atau akan ke banyak tempat, lebih baik tinggalkan kunci bilik di kaunter penyambut tetamu. Pastikan bila masa tutup kaunter tersebut. Sesetengah hotel ada peraturan tertentu yang mana pintu utama akan dikunci pada waktu malam bagi tujuan keselamatan. Jika ada, anda haruslah menyimpan kunci  anda sendiri jika anda merancang untuk balik lewat malam. Kalau tak nanti merasalah anda tidur di luar. Orang lain tidur di atas katil, anda pula tidur atas jalan!

 

Sebelum meninggalkan hotel

Pastikan tiada barang penting atau barang berharga yang tertinggal. Jika anda perlu lebih masa, terlajak sikit daripada waktu check-out biasa yang ditetapkan (selalunya waktu check-out adalah dari pukul 11.00 pagi  ke 2.00 petang, bergantung pada peraturan hotel) beritahu kepada pihak hotel dan minta kebenaran terlebih dahulu supaya anda tidak dikenakan bayaran tambahan untuk tinggal satu malam lagi.

Semak bil hotel. Manalah tahu mungkin ada kesilapan dan ada cas bayaran ‘tersorok’ yang anda tak perasan. Pastikan semuanya tepat.

Selamat bercuti dan selamat berseronok!

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.