Sebelum ini saya menulis travelog di bumi api dan ais, Iceland, dalam Bahasa Inggeris.

Travelog kali ini ditulis dalam Bahasa Melayu. Semoga ianya tidak terbaca seperti skrip filem Sembilu atau dokumen polisi kerajaan. Beberapa perkataan atau terma akan dikekalkan dalam Bahasa Inggeris supaya tidak terlalu skema.

Alkisahnya

Jerung paus atau “whale shark” (nama saintifiknya Rhincodon typus) ialah spesies ikan terbesar di perairan tropika dan subtropika, termasuklah di Maldives. Secara zahirnya, tiada kisah dongeng  turun temurun daripada penduduk Maldives yang diceritakan kepada kami berkenaan seekor ikan ini. Alkisahnya yang dongeng itu adalah harapan kami.

Pada Disember 2023 kami berempat (saya, adik saya: Apis, dan dua lagi dive buddies – Arief dan Rafael) berselisih bahu dengan berpuluh ikan pari dan ber-posing dengan beberapa jerung pelbagai rupa di dasar Lautan Hindi Maldives ini, pada kedalaman 30 meter (atau lebih). Lebih spesifik di sekitar Kaafu Atoll berhampiran dengan Bandar Male. Kami menginap di Pulau Maafushi waktu itu.

Kaafu Atoll. Disember 2023

Pulang daripada ‘misi’ tersebut, kami – atau lebih spesifiknya: saya – lebih teruja, berharap dan berhajat untuk kembali ke lautan ini bertemu si jerung paus pula. Tetapi lokasinya di atoll atau pulau yang lain.

Salah satu lokasi yang paling popular untuk melihat jerung paus di Maldives ialah di South Ari Atoll, iaitu tempat laluan migrasi tahunan jerung paus. Kombinasi arus laut yang membawa plankton menjadikan perairan ini tempat makanan yang sesuai bagi ikan besar ini.

Tiket sudah dibeli sejak bulan Januari, lapan bulan awal! Email tempahan South Ari Scuba Dive untuk 4 orang diver dan 1 orang OWS (open water snorkeler/nondiver) sudah dihantar 4 bulan sebelum tarikh penerbangan. Respon yang pantas dan professional. Tiada episod berbalas mesej WhatsApp seperti kebanyakkan operator diving di Malaysia.

Ada juga rakan-rakan lain yang beria-ia atau berura-ura mahu menyertai kembara laut South Ari Atoll ini, tetapi akhirnya hanya kekal saya dan 3 dive buddies kental ini bersama ahli baru, Za (OWS) sahaja. Takpe. Nanti kita hantar poskad kalau rajin.

Tentang Maldives

Maldives ialah sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi, terletak di barat daya Sri Lanka dan India. Ia terdiri daripada gugusan terumbu karang seperti bulatan, yang membentuk 26 atoll utama serta lebih 1,000 pulau kecil. Hanya sekitar 200 pulau yang didiami penduduk tempatan, manakala selebihnya dijadikan pusat peranginan mewah atau kekal tidak berpenghuni.

Geografi Maldives ini unik kerana berada di paras laut yang amat rendah, menjadikannya antara negara paling berisiko dengan kenaikan paras laut. Penduduk Maldives majoritinya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Dhivehi.

Pelancong asing dikehendaki mematuhi larangan menutup bahu dan lutut di tempat awam seperti di jeti dan di perkampungan penduduk. Saya amati, setiap kru bot atau operator pelancongan amat perihatin perkara ini dan akan menegur pelancong untuk mematuhi larangan tersebut. Saya suka peraturan tersebut. Rasa lebih tenang dan aman mataku.

Tapi AWAS! Peraturan ini tidak terpakai di pantai persendirian milik hotel, atau di atas bot diving! Selain itu, membawa atau meminum arak di pulau berpenduduk juga tidak dibenarkan. Syabas Kerajaan Maldives kerana menghormati sensitiviti rakyat tempatan.

Pulau tempatan yang paling popular adalah Maafushi yang terletak di Kaafu Atoll dengan jarak hanya 30 minit menaiki bot laju daripada jeti airpot Male.

Sejak kerajaan Maldives membenarkan pelancong menginap di rumah tamu dan hotel milik penduduk tempatan, pulau ini berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan bajet.

Berbanding dengan kali pertama saya berkunjung ke Maafushi dalam Febuari 2019 (bersama travel buddies sebagai OWS amatur), pada Disember 2023 pulau ini telah banyak berubah dan membangun.

Lebih banyak bangunan hotel tinggi didirikan, dan ada sedikit kawasan pantai yang ditambak untuk menambah keluasan pulau.

Maafushi Disember 2023

Matahari terbit. Maafushi, Disember 2023

Pada kembara Lautan Hindi kali ini di South Ari Atoll, kami menginap di Dhangethi. Pulau ini lebih jauh, kurang padat, lebih tenang dan lebih ‘tradisional’ berbanding Maafushi.

Selain Dhangethi, terdapat pulau kecil lain berhampiran di atoll ini seperti Dhigurah (terkenal dengan pantai panjang berpasir putih), Mahibadhoo (pusat pentadbiran bagi South Ari Atoll), Fenfushi, dan Omadhoo.

Sekiranya anda hartawan kaya raya atau pempengaruh dengan jutaan pengikut, boleh saja anda menginap di pulau persendirian resort 7 bintang dengan harga paling kurang RM 15 ribu satu malam selama seminggu, menaiki seaplane dengan butler peribadi, duduk santai di tepi kolam infiniti, banglo atas air menghadap laut biru pirus sambil bersiaran secara langsung di media sosial.

Kisah Bermula

Pada hari penerbangan, seawal 6.45 pagi kami berkumpul. KLIA sudah dipenuhi dengan manusia yang luar biasa ramainya yang mahu ke destinasi mereka. Mungkin kerana minggu cuti sekolah dan cuti Hari Malaysia. Barangkali mereka juga seperti kami yang sudah berbulan merancang perjalanan.

Waktu penerbangan dijadualkan pada 10.15 pagi. Setelah berhempas pulas melalui pelbagai cabaran – barisan yang berlengkar panjang di kaunter bag drop, melalui sekuriti dan menunggu giliran menaiki bas – kami tiba juga di terminal satelit.

Terdapat beberapa kumpulan yang memohon belas ihsan untuk memotong barisan kerana kelewatan. Oleh kerana kami orang baik-baik dan masih punya banyak masa, ruang diberikan.

Pada 9.10 pagi, kami menerima email daripada Batik Air memaklumkan bahawa jadual penerbangan ditukar ke 12.15 petang. Katanya: keperluan operasi! Iya lah tu!

Mujur kami berjalan juga ke pintu C15. Kami dipanggil oleh seorang staf lelaki yang bertugas di situ untuk diberikan kupon makanan RM30 kepada penumpang disebabkan kelewatan ini. Kekesalan berkurang sedikit lapan puluh peratus.

Ketika itu juga, sepasang suami isteri lingkungan 30-an bersama dua orang anak lelaki berusia 9 ke 11 tahun, tiba dalam keadaan tercungap-cungap berlari. Mereka kelihatan tercengang apabila mendapati pintu C15 sangat lengang.

Hanya ada kami berlima yang sedang menerima kupon daripada wakil Batik Air itu. Tak tahu lah apa yang difikirkan mereka – lega kerana tidak ditinggalkan kapal terbang, atau rasa tertipu kerana susah payah dan debaran mereka berlari ke pintu pelepasan hanyalah untuk mendapatkan kupon makanan daripada Batik Air.

Waktu 12.15 tengah hari yang dijanjikan berganjak ke 12.45, namun tiada tanda penumpang akan dipanggil masuk ke dalam kapal. Selepas puluhan minit yang meresahkan berlalu, hinggalah akhirnya lebih kurang 1.30 petang barulah kapal terbang meninggalkan landasan KLIA menuju ke Male.

Penerbangan dianggarkan lebih kurang 4 jam 25 minit, dan perbezaan masa Maldives adalah 3 jam kebelakang berbanding waktu Malaysia.

Bot penumpang  ke pulau Dhangethi pada hari Jumaat dijadualkan bertolak pada pukul 3 petang (hari lain adalah 4 petang) dan kalau mengikut perkiraan, kapal kami akan tiba di Airpot Male hampir 3 petang.

Sempatkah?

Dimaklumkan sebelum ini, bot ke Dhangethi daripada Male pula setiap hari hanya ada 2 waktu: 10 pagi dan 4 petang pada hari biasa atau 3 petang  pada hari Jumaat. Penumpang perlu bersedia 30 minit lebih awal. Sejak di balai perlepasan saya sudah sedikit gelisah.

Lagi lambat kapal terbang bertolak, lagi tinggi kemungkinan kami akan ketinggalan bot ke Dhangethi. Geng yang lain tu nampak rileks-rileks, borak-borak dan gelak-gelak. Bagai tiada apa.

Saya (selaku ketua rombongan / ejen pelancongan / mastermind) berfikir – kalau terlepas bot, kena pula bermalam di bandar Male dan kemudiannya pergi ke Dhangethi dengan bot keesokkan harinya.

Kena fikir pula menginap di hotel mana – nanti cari di Agoda – kenderaan ke hotel bagaimana – lepas tu perubahan jadual diving pula – kalau naik private boat, mahal sangat pula – Fuhhh!

Ketika dalam kapal terbang saya mengira-ngira anggaran waktu tiba. Tak putus zikir di dalam hati. Sebelum berlepas pun saya sudah bagi ‘arahan’ kepada yang lain untuk turut berdoa banyak-banyak!

Zikir Nabi Yunus diputarkan berulangkali di YouTube Music App sambil cuba untuk lelapkan mata. Hmmm.. perkara paling buruk yang akan terjadi hanyalah kami akan ketinggalan bot petang itu.

InsyaAllah kami masih selamat bernyawa tanpa cedera apa-apa. Yang diperlukan adalah plan B sahaja. It’s okay. Setiap kesulitan ada kemudahan. Sentiasa percaya Allah ada bersama.

Kapal terbang mendarat pada hampir pukul 2.50 petang. Syukurlah Airpot Male tidaklah sebesar mana. Jadinya semasa keluar pintu kapal ke bas penghantaran dan seterusnya mengambil bagasi tidak memakan masa yang lama.

Sejurus keluar dari balai ketibaan, terus saya mencari ejen bot yang dimaklumkan sebelum ini, Ali di kaunter 8. Ali, lelaki tempatan separuh umur kelihatan sangat ramah. Beliau meminta kami kembali ke kaunter tersebut pada pukul 3.30 petang kerana bot akan bertolak pada pukul 4 petang.

Ya Allah! Alhamdulillah!! Jadual bot petang Jumaat itu ikut sama seperti hari lain.

Terasa seperti kerisauan dan keresahan beberapa jam sebelum itu terbang melayang dibawa angin lautan Hindi. Dengan bantuan tunjuk jalan Ali, kami sempat selesaikan solat jama’ Zohor dan Asar dengan selesa di surau balai berlepas domestik tidak jauh dari situ.

Everything fell into its place. Baru boleh senyum.

Kisah Di Dhangethi

Berjalan keluar dari airport, air laut biru terhidang memukau pandangan. Hembusan angin nyaman  dan bunyi ombak kecil menghempas tebing menemani langkah kami ke jeti yang hanya beberapa minit dari pintu airport.

Beberapa bot penumpang dilabuhkan di dek sambil penumpang berbaris menunggu giliran dan kru membantu mengangkat bagasi-bagasi yang sedia tersusun.

Tepat pukul 4 petang, bot laju yang membawa hampir 30 penumpang bergerak dari jeti airpot Male ke Dhangethi. Hampir separuh penumpang kelihatan seperti warga tempatan.

Perjalanan agak lancar dan mengambil masa hampir 2 jam. Deruan bayu laut segar berpusu-pusu masuk di antara sedikit ruang terbuka penutup sisi bot yang berfungsi mengelakkan tempias air laut.

Kami tiba pada hampir waktu Maghrib dan matahari mula melabuh. Mujur sudah selesai solat Zohor dan Asar.

Ibrahim, tuan rumah tamu tempat kami menginap, sudah menunggu kami di jeti dengan senyuman ceria. Turut bersama, pekerjanya Badar, yang sudah mula mengangkat bagasi kami ke atas motor beroda tiga.

Kami berlima berjalan kaki lebih kurang 300 meter dari jeti menuruti Ibrahim ke rumah tamunya, Banyan Villa, yang terletak ditengah-tengah pulau. Kampung pulau ini kelihatan tenang dan tidak sesak.

Kelihatan sebuah masjid kecil comel berhampiran jeti. Beberapa pokok rendang melambai-lambai ditiup angin, menyambut ketibaan kami.

Rumah tamu hanya 1 tingkat dan ada 6 bilik. Sederhana tetapi kemas dan bersih. Bilik saya dan Za agak luas dan selesa.

Selepas selesai menyimpan bagasi dan barang-barang lain, kami berkumpul di kafe kecil di tengah laman rumah.

Sementara menunggu makan malam, Ibrahim memberi sedikit taklimat berkenaan rumah tamu beliau. Lantas dengan ramah bercerita berkenaan penduduk tempatan, populasi, pendapatan utama penduduk (perikanan dan pelancongan), dan beberapa kemudahan yang terdapat di pulau kecil ini.

Pakej bajet kami bersekali dengan sarapan, makan tengahari, dan makan malam. Penghuni rumah tamu hanya ada lebih kurang 5 ke 7 orang pada satu-satu masa, maka tiadalah sajian buffet sepanjang keberadaan kami di sini. Harapan untuk menikmati buffet sarapan seperti di resort 5 bintang, hanyalah angan-angan semata.

Kami makan sajalah apa yang terhidang. Menunya, boleh tahan. Namun, selera masing-masing agak besar juga. Apabila disaji dengan spaghetti hampir setiap hari, tekak mula mogok mahu nasi lemak lah, nasi goreng kampung lah, sate lah. Mengada betul!

Malam ketiga, kami mencuba restoran di tepi laut. Cantik dan tenang. Tapi nasi lemak atau sate memang tiada dalam menu. Makanya makanan orang putih juga jadi pilihan. Apa-apa selain spaghetti boleh saja.

Pelayan restoran dari Bangladesh yang melayani kami meraikan saja karenah kami. Menikmati pizza paling sedap sepanjang 6 hari di situ, sambil ditemani beberapa ekor ikan pari yang bermain di gigi air.

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”

Mencuba restoran tepi laut yang bersebelahan di hari lain pula. Membandingkan burger daging Maafushi vs Dhangethi vs Perhentian. Maafushi Burger won!

Sarapan pagi tradisional di Maldives. ‘Mas huni’ iaitu campuran tuna hancur bersama kelapa parut, bawang merah dan cili. ‘Roshi’, sejenis lempeng versi Maldives.

Misi Mencari Jerung Paus

Hari pertama diving di South Ari Atoll, Alhamdulillah cuaca sangat baik. Seawal pukul 7 pagi matahari sudah bersinar terang. Pukul 8 pagi sesudah sarapan, kami berkumpul di bot besar South Ari Dive Center berwarna putih.

Beberapa orang kru sibuk menyiapkan kelengkapan selaman. Ada lebih kurang 12 orang diver pada hari itu dari pelbagai negara – Sri Lanka, Sepanyol, Korea, UK, dan lain-lain. Semua diver ini dibahagi kepada 3 kumpulan kecil dengan seorang divemaster (DM) sebagai diveguide bagi setiap kumpulan.

Salah seorang kru / DM memberi taklimat berkenaan keadaan dive site yang akan diterjuni pagi itu. Misi mencari si jerung paus sudah bermula. Beberapa ‘pantang larang’ dimaklumkan bagi menjaga keselamatan diri seperti mengekalkan jarak selamat (sekurang-kurangnya 3-4 meter), tidak menyentuh dan tidak memberi makan jerung paus.

Bot bergerak perlahan, mencari bayang si jerung paus. Kapten bot dan kru meninjau-ninjau ke dalam air mencari kelibat si jerung paus. Mereka bercakap dalam bahasa mereka yang tidak kami fahami. Kami pun bercakap-cakap sesama kami dalam bahasa kami yang tidak mereka fahami.

Kami sudah sedia lengkap dengan fin dan BCD. Tinggal terjun dan sedut gas saja. Kamera aksi ada satu atau dua biji – setiap seorang.

Sepuluh minit berlalu. Bot meluncur mara sedikit sedikit kehadapan. Masih menunggu. Sepuluh minit yang kedua. Drone kecil diterbangkan melihat persekitaran. Air laut biru yang jernih kelihatan terumbu di dasar laut. Tidak mustahil si jerung paus akan kelihatan jika ia berada di kawasan persekitaran.

Sepuluh minit yang ketiga, Kapten menjerit. “Jump! Jump! Jump!” akhirnya.

Tetapi… Ini bukanlah dive site pelan asal. Sudah sedikit terlencong agaknya.

Dapatkah kami bertemu si jerung paus di Lautan Hindi ini?

Ikuti kisah seterusnya di BAHAGIAN KEDUA