Tulisan ini adalah bahagian kedua dari siri travelog Maldives saya bersama rakan-rakan. Baca travelog bahagian pertama di sini.
Di permukaan air, udara dalam BCD dilepaskan. Seluruh tubuh beransur tenggelam ke dalam hamparan lautan. Kami pelawat dunia dasar laut telah tiba. Pada setiap nafas gelembung udara yang beredar ke atas, kami bergantung nyawa.
Darjah penglihatan (visibility) dalam air sangat baik. Cahaya matahari menembusi ke dasar. Arus agak tenang. Ada terumbu karang. Ada banyak ikan. Pelbagai rupa, saiz dan warna.
Tapi si jerung paus tidak kelihatan, walau sudah hampir 50 minit di bawah laut. Penyelaman dihentikan. Begitulah juga untuk dive yang kedua pada hari itu.
Di Mahibadhoo Rock, hari kedua selaman tidak menghampakan. Bukan berjumpa si jerung paus.
Tapi si manta pari, watak sampingan kisah ini. Sayapnya yang lebar, selebar sebuah Myvi, terbang melayang di dalam air laut biru. Beberapa ikan kecil mengikuti rapat bersimbiosis. Saiznya yang besar menjadi tumpuan kami, pelawat dari darat.
Silih berganti ia datang, berpusing-pusing. Ada dua ekor mulanya, datang yang ketiga, lalu terbang hilang satu, muncul lagi dua dari arah lain pula.
Kami berhenti melutut di dasar berpasir. Kadang kala perlu berpaut pada batu berhampiran.
Untuk sekian kalinya, saya terpegun. Kami semua terpegun. DM dan kru yang mungkin sudah selalu ke sini juga kelihatan terpegun. Semua asyik.
Seperti melihat sebuah persembahan di atas pentas. Gadis dari Sri Lanka yang berada di depan sekali, mendepakan tangannya seperti sama turut beraksi. Beberapa kali juga dia masuk frame kamera. Kacaulah. Nanti kita cuba ‘edit & erase’.
Kalaulah si jerung paus ada ‘cleaning station’ macam ni, cukup 2 sesi diving. Esok boleh terus balik dan pergi kerja. Tak perlu bayar untuk 6 kali dive.
Seperti semalam, waktu antara diving ‘surface interval’ dimanfaatkan untuk berehat dan makan-makan, mengembalikan semula kalori yang mungkin sudah hilang, dan ada juga yang bersosial.
Sementara itu, Kapten dan kru bot masih lagi meninjau-ninjau. Bot dihentikan di kawasan air tenang berhampiran Dhigurah.
Tiba-tiba seperti ada sedikit kekecohan sesama kru. Enjin bot dihidupkan. Kapten mengarahkan kami dan diver lain bersedia untuk terjun snorkeling.
Bot meluncur laju ke satu arah. Ada banyak bot lain datang juga. Entah muncul dari mana. Mungkin lebih 20 bot dan kapal di situ! Pelbagai saiz dan bentuknya, Bot-bot ini bersama penuh penumpangnya.
“Here!! Here!!” Jeritan bergema.
Bot kami bergerak hampir dengan kumpulan bot-bot tadi. Ramai pelawat dari darat sudah terjun ke laut. Ada juga yang masih terjenguk-jenguk saja dari atas bot masing-masing. Lebih ramai yang sudah terjun. Enjin dihentikan di satu posisi yang sedikit jauh dari bot lain.
“Jump!! Jump!! Jump!!”
Beberapa kru sudah terjun. Dituruti Rafael dan Arief serta beberapa diver lain. Za bersama ‘pemandu lautnya’ lebih dulu terjun. Menyertai lebih 50-60 orang (mungkin lebih?) dari bot-bot lain di hamparan laut itu.
Kelihatan seperti penumpang kapal Titanic yang jatuh ke laut saat ia mula karam. Sesak dan kucar kacir. Berenang mengejar si jerung paus yang singgah lalu di kawasan itu.
Saya antara yang kemudian terjun. What the heck!
Berbekalkan kekuatan otot hamstring, quadriceps dan gastrocnemius dibantu dengan fin merah jambu, snorkel sepadan dan mask hitam, saya turut sama berenang dengan bergaya mengikuti arah mereka. Ramai-ramai tadi sudah di depan dalam 50 meter. Keliling saya lengang. Ada lagi yang di belakang, mungkin bot mereka baru tiba.
Yang ramai-ramai tadi mula berenang bergerak ke arah saya pula. Rupa-rupanya si jerung paus sudah menghala ke mari. Sempatlah saya melihat bayang-bayangnya betul-betul di bawah saya. Jauh dan kelam. Seperti lembaga hitam berbentuk ikan.
Momen berdurasi 40 saat itu sempat dirakam sebelum ia hilang dari pandangan. Tak sempat nak beri salam. Ada yang sudah terjun masuk ke dalam laut freediving. Saya agak sibuk sebelum trip, tak sempat praktis tahan nafas. Tanpa regulator dan tank, jadinya setakat di permukaan sajalah pertemuan kita.
Kumpulan manusia tadi sudah berada di keliling saya. Berpusu-pusu. Bagi fin pada kita pula. Tak sopan langsung! Cepat-cepat saya cari bot. Antara banyak-banyak bot dan ramainya manusia di permukaan laut waktu itu, inilah cabaran terbesar misi ini.
Akhirnya berjaya juga saya berenang sampai ke bot kami mengharungi pelbagai jenis manusia sambil mengelak fin-fin mereka. Fuh!! Rafael dan Arief sudah naik ke bot juga. Zaza yang paling akhir naik. Betul-betul ‘enjoying the moment’ Za ni.
Kelihatan jauh dan kelam dari permukaan laut
Gambar screenshot video yang diambil dan dikongsi oleh seorang diver yang terjun freediving.
Hari terakhir menyelam di South Ari Atoll, tapak selaman pertama di Kudarah Thila. Tapak laut ini terkenal dengan biodiversiti marin serta formasi terumbu karang yang unik.
Dalam bahasa Dhivehi, “thila” merujuk kepada terumbu berbentuk pinnakel atau dataran terumbu yang tenggelam. Arus di sini agak kuat.
Di awal selaman kelihatan 3 ekor ‘grey reef shark’ bergerak pantas membuat pusingan. Kurang 3 minit ia hilang daripada pandangan.
Darjah penglihatan tidak sebaik seperti hari sebelumnya. Namun masih jelas kelihatan tumbuhan laut serta karang lembut (soft coral) pelbagai warna, serta beratus-ratus ikan bluestripe snapper meraikan arus kuat bersama kami.
Rezeki waktu ‘surface interval’ hari ketiga ini. Sekumpulan ikan dolphin berenang melintasi bot kami. Ke utara dan ke selatan mereka membuat aksi. Beberapa kru dan diver sudah terjun mengejar dolphin-dolphin yang laju itu.
Gambar screenshot video DJI OSMO 4 *Kamera baru Rafael*
Selaman terakhir selepas itu adalah peluang terakhir misi kali ini untuk mencari si jerung paus. Sedang santai-santai, kami diarah bersiap dengan segera. Kabut sekejap. Sepantas anggota Paskal kami sudah sedia. Tapi kemudian kena tunggu pula. Okay rileks dulu.
Tak semena-mena, kapten mendapat khabar si jerung paus ada di sekitar. Dia menjerit, “Ok divers! Jump!! Jump!! Jump!!”
Okay! Jump! DM kami menunggu di bawah hingga kami berempat berkumpul di kedalaman 15 meter. Divesite terakhir ini LUX Beyru, tempat yang sama kami selam pada kedua-dua dive pada hari pertama.
LUX Beyru merujuk kepada kawasan terumbu luar di sekitar resort LUX* South Ari Atoll, yang terletak di sebelah luar (beyru) dinding atoll. Di sini, struktur terumbu yang berlapis-lapis dan cerun ke laut dalam.
Terumbu karang masih baik, walaupun pada pendapat saya, tidak sebanyak atau secantik di Bidong atau Perhentian. Ia masih menjadi tarikan pelbagai hidupan marin, terutama jerung paus.
Namun rezeki tidak menyebelahi kami. Si jerung paus tidak juga kelihatan pada selaman kali ini.
Three-minute safety stop
Underwater Hari Malaysia 16 September 2024
Kembali ke bot, DM tu kata kepada kami, “You went to different direction. The whale shark went to other direction.” Eh! Kami semua ikut kau je tadi kut. Tak tahu pun whale shark tu pergi arah mana. Well… No heart feeling. Dia frust juga agaknya. Diver lain dan DM mereka juga senasib.
Tamat sudah 6 kali sesi diving. Kapten tidak puas hati. Bot tidak terus bergerak pulang ke Dhangethi. Masih berlegar-legar perlahan menunggu ketibaan si jerung paus, mungkin sebab tak mahu menghampakan pelanggan divernya yang datang dari jauh.
Tidak lama selepas itu kekecohan seperti semalam berlaku. Ada beberapa bot turut berada di sekitar. Tidak banyak seperti semalam. Fobia dengan kejadian semalam, saya memilih untuk menikmati situasi tersebut dari atas bot saja bersama Za. Melihat manusia berenang mengejar si jerung paus. Kelakar pun ada.
Si jerung paus tu mesti bangga punya ramai peminat. She/He moved like a boss, chased by many.
Za menikmati suasana pemandangan manusia mencari si jerung paus.
Salah seorang kru bot menuding ke arah si jerung paus yang kelihatan di bawah bot kami. Mungkin saya nampak si jerung paus itu. Mungkin juga saya berimaginasi.
Sudah jumpa geng, tak mahu balik Malaysia katanya.
Rafael sedang ‘menggoreng’ diver mat Korea
Sudah hampir satu jam bot berlegar-legar di situ. Akhirnya kapten juga pasrah dengan ketentuanNya. Bot bergerak pulang ke Dhangethi.
Hari kelima di Dhangethi, kami tidak menyelam. Jalan-jalan dan menerokai pulau sahaja, sebelum pulang keesokkan harinya.
Melihat kanak-kanak pulang dari sekolah tengah hari. Orang muda bermain bola di padang. Anak-anak kecil bermain air laut di tepi pantai. Penduduk bersantai petang beramai-ramai di jeti menikmati angin laut sambil melihat matahari terbenam.
Pemandangan sekitar pulau:
Matahari menerbit
Salah satu masjid comel di pulau ini.
Kedai cenderamata di kiri kanan blok antara rumah-rumah penduduk. Beberapa kali terjumpa seorang makcik penduduk tempatan, ketika melalui lorong ini untuk ke jeti bot. Kadang kala dia menyapu dedaun. Ada masa dia duduk santai di luar rumah. Setiap kali, dia menyambut salam dengan tersenyum simpul.
Everyone’s favourite jetty. Suasana berbeza waktu pagi, tengahari, petang, dan malam.
Hari pulang. Kami tiba semula di perkarangan Airpot Male selepas 2 jam perjalanan bot yang agak mendebarkan dan menghentakkan lumbosacrum.
Refleksi
Adakah saya hampa dan kesal tidak bertentang mata dengan si jerung paus di Dhangethi?
Tidak pun. Rezeki untuk diving seiring dan serenang dengan jerung paus itu mungkin belum lagi. Tapi Allah beri rezeki sihat, masa, dan ringgit untuk sampai dan menyelam di situ pada ketika itu. Ada jugalah rezeki ‘berjumpa’ dari jarak jauh ketika snorkeling tempoh hari kan.
Itu adat dan lumrah. Lagi ia rare, lagi ia dikejari. Namun, apa yang dihajati tak semestinya dikecapi. Eh?!
Cuma, berhati-hati. Jangan menaruh harapan tinggi 100% peluang untuk bertemu si jerung paus atau hidupan laut lain yang jarang ditemui. Harapan yang dongeng.
Mana-mana dive operator / pusat perlancongan tentunya tidak akan mempamerkan ‘dark side’ mereka – situasi menunggu yang membosankan, puluhan manusia yang sama mengejar dan menunggu, dan juga 50-50 kebarangkalian.
Mereka hanya memberi anda harapan dengan menunjukkan kejayaan penemuan, kehebatan dan kegembiran – yang terpampang di media sosial mereka. Well… It’s all business.
Si jerung paus ada juga beberapa kali kelihatan di Pulau Tenggol, Dungun. Pernah juga saya terjebak tanpa rela, statik di kedalaman 20-23 meter di Tokong Timur Tenggol, sambil menjaga daya apung (buoyancy) selama 20 minit dengan merenung di kejauhan laut dalam dan kelam – kononnya menanti si jerung paus – yang tidak kunjung tiba.
What a waste of air and bottom time!
I’d rather move around and enjoy the corals and small fish than stay still in the deep ocean, waiting for something totally uncertain.
Ketepikan sebarang kekesalan. Mahu lihat jerung paus dengan peluang 100% kebarangkalian? Hanya di akuarium! Tapi bukan di Aquaria KLCC lah…
Osaka Aquarium Kaiyukan, 2016
Kenapa taksub dengan jerung paus ini?
Sebab jerung paus tiada di parit besar tepi rumah. Juga tidak didapati di persisiran pantai Port Dickson.
Tanyalah mana-mana diver kental atau diver kencang (mahu pun diver kentang). Menyelam di samping pelbagai jenis jerung, ikan pari dan hidupan besar laut yang jarang ditemui adalah antara bucket list atau milestone pengalaman sebagai seorang diver.
Namun, adakah pengalaman tersebut menambah nilai dan kesyukuran sebagai seorang manusia? Mungkin ya, mungkin tidak.
Lagi, adakah berjalan jauh dan melihat hidupan laut yang besar seperti jerung paus ini barulah kita dapat melihat kebesaran ciptaanNya?
Of course not!
Kebolehan paru-paru anda untuk menyedut oksigen di saat ini juga merupakan salah satu daripada banyak tanda kebesaranNya.
Tidak takut menyelam air laut dalam?
Mari cuba. Buat discovery diving dulu pun boleh. Baru tahu takut atau tidak.
Bukan semua orang boleh melakukan selam skuba (scuba diving). Bagi ‘adrenaline junkie’ yang mahu mencuba pengalaman atau hobi yang baru – memasuki ke alam lain. Let’s do it!
Ini hanya sebuah hobi. Hobi yang mahal. Impaknya juga mahal.
Mahal dari segi pengalaman, pengembaraan, kesan fizikal dan mental, keterujaan, euforia dan ketagihan endorphin, juga risiko dan hubungan dengan alam. Alam bawah laut.
Selain hidupan laut, apakah perkara lain yang mengujakan di bawah laut sana? Bangkai kapal (wreck)!!
Kenapa Maldives lagi?
Sebab best. Sebab saya tidak perlu memandu kereta 5-6 jam. Sebab KLIA di belakang rumah sahaja.
Sebab di Maldives ada banyak pulau. Setiap pulau ada ciri-ciri dan keunikan tersendiri. Begitu juga hidupan lautnya. Cara kehidupan penduduk Maldives juga menarik perhatian saya.
Jika anda mahu cuti-cuti pulau dengan air laut biru pirus, dengan tebing pasir (sand bank) yang cantik. Semporna Sabah ada pulau-pulau dengan pemandangan lebih kurang sama, dengan resort pelbagai bajet mengikut kesesuaian dompet digital (e-wallet) anda.
Maldives lagi akan datang? Mungkin. Jika ada rezeki lagi 2-3 tahun, ke Fuvahmulah kita, mencari tiger shark pula.
Tapi sebelum itu, InsyaAllah kembara epik lautan akan datang adalah misi mencari puluhan hammerhead di Pulau Mikomoto, Shizuoka Japan. Jom kita?!
Kenapa travelog kali ini ditulis dalam Bahasa Melayu?
Sebab saya orang Melayu di Malaysia yang punya dwibahasa.
Tak cemburukah tengok kawan-kawan kita satu Malaysia yang fasih 3 bahasa? Kalau orang Melayu sendiri pun tak tahu cakap Bahasa Melayu. Rugi banyak. Pergi Eropah, mahu mengumpat mat saleh sebelah pun tak boleh. Rugi!
Bahasa Melayu yang elok perlu dilatih. Bahasa yang sopan, dengan ejaan dan tatabahasa ayat yang betul serta kosa kata yang sesuai, bukan mudah.
Selain itu, saya sedang melatih pusat bahasa (language center) di otak untuk membantu menajamkan minda, daya pemikiran dan melambatkan kemerosotan fungsi kognitif, dengan menulis travelog ini. Kali ini latihan saya dalam Bahasa Melayu. Lain kali tulis travelog dalam Bahasa Arab pula (boleh percaya ke?).
Seperti yang selalu saya sarankan kepada pesakit demensia awal dan strok, untuk mula menulis jurnal. Merakam memori dengan menulis travelog ini adalah salah satu cara saya menajamkan minda. Cara anda bagaimana pula?
Ini saya kongsikan beberapa tip menajamkan minda selepas umur 40 tahun.
*Gambar-gambar dalam travelog ini diambil daripada pelbagai kamera (kepunyaan saya dan dive & travel buddies)
**Terima kasih travel & dive buddies, famili-buddies, cikgu diving, kawan-kawan rapat dan kenalan sekalian yang memberi sumber inspirasi dan sokongan. Join me in the next travelogue, will ya?!
Amat memberi inspirasi