Dalam zaman kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi, boleh dikatakan semua orang termasuklah golongan kanak-kanak mempunyai peranti telefon pintar atau tablet di tangan masing-masing. Peranti yang lengkap dengan internet ini memudahkan seseorang berhubung dengan sesiapa sahaja walau di mana berada.

Sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda, anak-anak anda berada di rumah menghabiskan masa dengan peranti masing-masing termasuklah belajar secara atas talian. Namun, ketika aktiviti berinternet semakin banyak dilakukan oleh anak-anak anda, semakin banyak pula risiko yang dihadapi. Salah satunya adalah risiko keselamatan siber.

Berdasarkan kajian tentang keselamatan atas talian keluarga yang dijalankan oleh Google, ibu bapa lebih prihatin tentang keselamatan siber selama anak-anak mereka mengikuti kelas dan belajar secara atas talian.

Kajian ini dijalankan mulai Disember 2020 sehingga Januari 2021 di 13 buah negara di kawasan Asia Pasifik (Australia, Hong Kong, India, Indonesia, Japan, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam) dan 4 negara di benua Amerika Latin (Argentina, Brazil, Colombia dan Mexico). Ia melibatkan 4704 ibu bapa yang mempunyai anak berumur 5 hingga 17 tahun.

Lucian Teo dari Global Online Safety Education Lead di Google, menyatakan terdapat 3 perkara yang ibu bapa risaukan tentang keselamatan siber anak-anak mereka, iaitu;

  • Keselamatan maklumat melibatkan penipuan atas talian (scam) dan penggodaman (hacking).
  • Anak-anak berinteraksi dengan orang asing yang tidak diingini.
  • Kandungan yang tidak sesuai dengan usia anak.

Menurut Lucian, “menyediakan keselamatan siber adalah tugas semua pihak, bukan hanya ibu bapa.”

“Apabila semua orang terlibat, internet akan menjadi tempat yang selamat untuk dijelajahi untuk kanak-kanak,” tambah beliau lagi.

Lucian menyarankan beberapa tip kepada ibu bapa bagi memastikan keselamatan siber anak-anak mereka selama menggunakan internet.

 

Lindungi identiti digital anak-anak

Ajar anak anda bagaimana memilih kata laluan yang kuat agar tidak dapat diteka oleh oranga lain dengan mudah. Elakkan kata laluan mudah yang menggunakan nama, tarikh lahir, atau watak kartun kegemaran.

Pastikan juga anak-anak anda menggunakan kemudahan internet yang mempunyai reputasi yang kuat dari segi keselamatan pengguna. Contohnya, dengan menggunakan perkhidmatan e-mel seperti Gmail, pengguna akan memperoleh saringan keselamatan yang dapat mengesan emel phising secara automatik.

 

Ambil tahu dengan siapa anak-anak berinteraksi

Penting bagi ibu bapa untuk sedar bahawa platform sosial atas talian dapat digunakan juga oleh orang asing yang berniat jahat terhadap anak-anak.

Disebabkan anak-anak sudah pandai berkomunikasi dengan rakan-rakannya melalui internet, seperti mana di dunia nyata, menjadi satu keperluan juga untuk ibu bapa memantau dengan siapa mereka berinteraksi di dunia maya. Ingatkan anak-anak supaya memberi tahu anda segera jika berhadapan situasi yang membuatkan mereka berasa tidak selesa dan tidak selamat.

Semasa membuat penilaian sama ada permainan atas talian yang anak anda main itu sesuai untuk mereka atau tidak, periksa kandungan permainan dan adakah ia membenarkan komunikasi dengan orang lain.

Beberapa permainan berbilang pemain (multiplayer) hanya membenarkan beberapa pilihan untuk interaksi sosial, seperti sekadar memberikan tanda like, dan bukannya sembang teks. Ini dapat mengurangkan risiko interaksi sosial yang tidak diingini.

 

Kawal kandungan yang sesuai dengan usia mereka

Masalah anak-anak melayari kandungan yang tidak sesuai menjadi satu kerisauan bagi ibu bapa.

Terdapat ciri keselamatan yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk membantu menghadkan anak-anak daripada kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka. Google ada menyediakan beberapa fungsi yang anda boleh gunakan untuk melindungi anak daripada kandungan yang tidak diingini.

Anda boleh cuba gunakan 3 fungsi berikut:

SafeSearch di Google

Ini dapat membantu menapis kandungan hasil carian Google untuk semua jenis carian, termasuk imej, video, dan laman web. SafeSearch direka untuk membantu menyekat hasil carian kandungan seperti pornografi dari hasil carian Google..

Buatkan anak-anak akaun Google dan gunakan Family Link

Ini membolehkan anda menambahkan penapisan di carian Google, menyekat atau memberi akses ke laman web, atau menjejaki lokasi anak anda jika mereka mempunyai peranti mereka sendiri.

Parenting control

Fungsi yang tersedia di YouTube Kids juga boleh dimanfaatkan untuk menghadkan masa penggunaan, hanya memaparkan video yang anda setujui dengan memilih kandungan video yang sesuai dengan usia anak.

Cabaran mendidik anak-anak dalam era digital kini sememangnya begitu hebat. Adalah penting bagi semua ibu bapa mengambil berat tentang aktiviti anak-anak termasuklah aktiviti atas talian demi keselamatan mereka.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.